Nor ‘Asyikin Mat Hayin


TARIKH sebenar pertukangan cutam bermula tidak dapat dipastikan kerana tidak banyak maklumat yang direkodkan atau diterbitkan dalam jurnal berbanding ukiran kayu.

Berkemungkinan, disebabkan situasi itu juga barangan logam terbabit tidak popular hingga kurang diketahui umum.

Penulis sendiri tertanya-tanya apakah rupa bentuknya apabila kali pertama mendengar perkataan cutam pada Disember lalu selepas diberitahu seorang pegawai Jabatan Muzium Malaysia (JMM).

Persoalan itu terjawab apabila mengunjungi Pameran Cutam di Muzium Negara sejak 26 November tahun lalu hingga 26 Mac ini.

Cutam adalah aloi hitam yang digunakan untuk menghias ukiran dengan tujuan memberi tarikan dan warna kontra pada barangan perak bagi menambah nilai keindahan terhadap barangan logam berkenaan.


PENGUNJUNG asyik melihat barangan hiasan perak pada Pameran Cutam di Muzium Negara. FOTO NSTP

Mengikut sejarah, pertukangan cutam terawal dikenal pasti dari Greece, Mesir dan Cyprus (sebuah pulau di Laut Mediteranean). Contoh peralatan menggunakan teknik cutam paling awal dijumpai ialah sebiji cawan perak dari Enkomi, Cyprus sekitar 1400 Sebelum Masihi.

Perkembangan perusahaan cutam di Kepulauan Nusantara pula bermula pada abad ke-16 dan 17 iaitu ketika pemerintahan empayar Uthmaniyah yang menjalinkan hubungan perdagangan dengan Sumatera, Indonesia.

Satu masa dahulu, cutam dikenali sebagai perusahaan tradisi masyarakat Melayu di wilayah Nakhon Si Thamarat, di selatan Thailand. Perusahaan ini dikatakan dibawa masuk ke Kedah oleh orang buangan dari selatan Thailand yang terselamat ketika peperangan.


SUDU dengan ukiran flora berwarna emas. FOTO NSTP

Pertukangan peralatan cutam juga terdapat di Perak dan beberapa negeri lain di utara tanah air. Difahamkan, penghijrahan penduduk dari Sumatera ke Negeri Sembilan menjadi permulaan perkembangan industri itu di negeri terbabit.

Penyelidik cutam, Raja Suriaty Raja Ahmed berkata, kira-kira 100 peralatan itu ditunjukkan dalam pameran berkenaan adalah koleksi JMM yang terdiri daripada pelbagai jenis perhiasan diri, peralatan harian dan adat istiadat.

“Ia seperti batil, cerek, sudu, pinggan, cembul, kaki lilin, pahar, gobek sirih, tepak sirih, ketur, pending dan kotak barang.

“Kebanyakan koleksi ini adalah hadiah pemberian Residen Jeneral pertama Negeri Melayu Bersekutu iaitu Sir Frank Athelstane Swettenham,” katanya yang masih melakukan kajian mendalam bagi mengetahui usia sebenar cutam.

Beliau berkata, peralatan cutam antara hasil pertukangan tangan yang memenuhi kedua-dua aspek fungsi dan seni hias berkenaan.

“Keunikan koleksi peralatan cutam terdapat pada ragam hiasannya yang unik dan menonjol.

“Seni hias ukiran menggunakan teknik cutam menghasilkan warna biru gelap atau biru muda menarik pada permukaan barangan logam yang sentiasa mencuri perhatian ramai,” katanya.

Katanya, bukan sembarangan orang boleh membuat kerja pertukangan cutam. Orang yang ‘pandai logam’ perlu mempunyai kemahiran teknik rekaan, ukiran dan pengoksidaan.

Jelasnya, setiap individu ‘pandai logam’ mempunyai formula tersendiri untuk menghasilkan campuran amalgam (aloi yang terdiri daripada campuran merkuri) iaitu perak, tembaga dan plumbum.


KENDI perak dihiasi dengan corak bunga dan tiga kambing berwarna emas

“Bahan ini akan dileburkan pada suhu 300 darjah Celsius selama empat jam dan kemudian dicampur bersama sulfur sebelum dimasukkan ke dalam bekas acuan untuk dibentuk menjadi sebatang rod (logam berbentuk lurus).

“Selepas itu individu ‘pandai logam’ akan mengukir corak dan motif pada barangan perak, emas atau tembaga,” katanya.

Kata Raja Suriaty, motif dan ragam hias juga menjadi keunikan peralatan logam yang menggunakan teknik cutam kerana ia antara elemen tambah nilai sangat menarik pada peralatan itu.

“Lazimnya pandai ukir akan menghasilkan ukiran berdasarkan pemerhatian dan pengalaman, persekitaran serta kepercayaan mereka.

“Pengalaman, persekitaran dan kepercayaan ini diterjemahkan dalam bentuk haiwan seperti singa, gajah, naga, burung, jelmaan mitos serta tumbuh-tumbuhan,” katanya.

Berkenaan koleksi peralatan cutam di Jabatan Muzium Malaysia, kebanyakannya memaparkan sisi pengalaman dan kepercayaan masyarakat Siam di selatan Thailand.


PAHAR yang dihiasi dengan corak bunga, daun berwarna emas dan latar belakang berwarna biru serta hitam. FOTO NSTP

“Antara motif dan ragam hias yang dapat dikenal pasti pada peralatan cutam berupa haiwan mitos seperti singa, gajah dan gajah putih.

“Motif dan ragam rias flora serta fauna pula mempunyai kaitan dengan kepercayaan agama Buddha iaitu bunga teratai dana pohon bodhi kerana ia adalah tumbuhan suci bagi penganutnya,” katanya.

Bagaimanapun, terdapat beberapa koleksi cutam di JMM bercirikan motif tempatan yang hanya ditemui pada koleksi pending cutam.

Katanya, keindahan kesenian pertukangan logam di negara ini tidak boleh dipertikaikan dan terbukti apabila masyarakat luar mengabadikan hiasan ukiran Melayu serta cutam pada peralatan yang mereka gunakan.

Sir Frank Swettenham umpamanya mengabadikan hiasan itu pada barangan hiasan dan peragu meja makan seperti sudu, garpu serta teko miliknya.


BEKAS makanan bertutup daripada perak yang berbentuk bulat dan dihiasi motif flora berwarna emas. FOTO NSTP

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 January 2019 @ 2:02 PM