ARTIS bersama tetamu kehormat hadir dalam pameran terbabit.
Nurul Husna Mahmud

TERUS mendukung budaya dan warisan dalam pengkaryaan seni. Inilah antara misi yang sangat bermakna dilaksanakan

43 pelajar tahun akhir Program Diploma Seni Halus Fakulti Seni Lukis & Seni Reka (FSSR), Universiti Teknologi MARA (UiTM) cawangan Melaka dalam Pameran ‘Local Essences’ baru-baru ini.

Sebanyak 170 karya yang diketengahkan dalam pelbagai disiplin seni iaitu karya catan, lukisan, seni cetak dan arca berjaya mengupas inti pati budaya yang membabitkan kajian dilakukan pelajar dalam tempoh tiga tahun sebelum semua karya ini disiapkan bagi dipamerkan di Balai Seni Lukis Melaka, Banda Kaba, Melaka.

Menurut Penasihat dan juga Pensyarah Kanan FSSR UiTM Melaka, Hisammudin Ahmad, subjek dipilih pelajar juga menarik apabila mengambil kira sejarah dan warisan seni budaya dalam inspirasi semua kerja mereka.


SLOT bicara seni menampilkan tokoh seni tempatan Yusof Ghani (kiri).

“Saya lihat garapan pelajar apabila diberi tema inti budaya berhasil membentuk kematangan mereka dalam memahami seni budaya setempat lalu diperlihatkan dalam setiap naskhah dipamerkan.

“Mereka benar-benar menghayati setiap kisah dan penceritaan budaya apabila turun sendiri membuat kajian selain memahami elemen penting dalam tinggalan warisan budaya.

“Semua elemen dekat dengan masyarakat kita contohnya elemen kampung, alatan muzik seperti gambus, peralatan tembaga yang biasa kita lihat dipakai dalam majlis sehinggalah kepada cetakan motif fabrik tampil elemen tradisi ada dalam pameran ini.

“Malah ada antara pelajar pergi ke Muar untuk menelaah peristiwa Bukit Kepong dan banyak lagi tinggalan sejarah terutama di Melaka untuk dijadikan rujukan lalu direalisasikan dalam setiap lakaran atau karya mereka,” katanya.

Kata Hisammudin, pemilihan tema inti pati budaya dilihat amat tepat kerana ia memberi impak bukan saja terhadap setiap karya dikeluarkan malah jati diri dan personaliti pelukis itu sendiri.


PELANCONG luar negara turut serta dalam bengkel seni cetakan.

“Sebagai penasihat, saya memang gembira dan bangga melihat tema ini dihayati serta meresap masuk ke dalam jiwa artis muda. Malah penghayatan itulah juga yang membolehkan pelajar menghasilkan karya setanding dengan nilai pengisian subjek yang mereka bawa.

“Mereka kini lebih menghargai warisan sejarah ini berbanding sebelum ini yang tidak mengetahui langsung peristiwa penting berlaku di tanah air sendiri,” katanya.

Selain itu, pengunjung termasuk persatuan pelukis tempatan iaitu dari Melaka sendiri mengakui mengagumi kehalusan dan kematangan pelukis yang terdiri daripada pelajar universiti.

“Pengunjung terutama pelukis senior mengiktiraf kemahiran pengkarya muda ini baik segi teknikal dan penyampaian yang tampak setanding dengan pelukis berpengalaman. Ini dapat membuka ruang kepada karya pelukis muda untuk berada dalam aliran pelukis perdana,” katanya.

Pameran itu turut dirasmikan pelukis terkenal tanah air iaitu Yusof Ghani selain kehadiran khas Pengurus Besar Perbadanan Muzium Melaka ( PERZIM) Fadhilah Md Saleh. Kurator pameran itu ialah Ali Azraie Bebit.


SEBAHAGIAN lukisan dan arca pelajar yang ditempatkan dalam balai seni.

PAMERAN LOCAL ESSENSE

• Berlangsung di Balai Seni Melaka Bandar Kaba, Melaka

• Membariskan 170 karya daripada 43 artis yang juga pelajar tahun akhir Diploma Seni Halus Fakulti Seni Lukis & Seni Reka (FSSR), Universiti Teknologi MARA (UiTM) cawangan Melaka

• Persembahan pertama buat kumpulan pelajar memperkenalkan kumpulan mereka dengan nama ART-IVIST

• Empat disiplin karya - karya catan, lukisan, seni cetak dan arca

• Ada hasil karya pelajar turut dibeli pengunjung

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Mac 2019 @ 11:41 AM