BUAH emas merujuk kepada durian. FOTO Salhani Ibrahim
Aniza Zainudin

TERJEMAHAN perasaan rindu oleh pelukis, Lyna Khairi, disuratkan dengan figura wanita berpenampilan anggun berbusana Melayu berada di beranda rumah kayu sambil membelai kucing yang sering dijadikan perlambangan kasih sayang.

Elemen seperti daun keladi berbentuk hati dan sangkar burung kosong turut menyempurnakan simbolik luahan kerinduan individu.

Menariknya, dalam setiap hasil karya, Lyna sentiasa memartabatkan elemen budaya dan warisan Melayu dan tempatan.

Merujuk kepada karya My Heritage: Rindu ini turut diselitkan sentimen tempatan menerusi corak kain batik, selendang putih dan hujung lengan baju bersulam.

Menurut Lyna atau nama sebenarnya Rozlina Mohd Khairi, siri karyanya sinonim dengan suntikan elemen kemelayuan bagi mengangkat tradisi yang kian dilupakan.


WANITA memainkan peranan penting.

“Orang Melayu kaya dengan tradisi unik. Sebagai pelukis, saya melihat karya dihasilkan adalah saluran untuk saya memperjuangkan budaya dan warisan kemelayuan.

“Mempunyai latar belakang dalam bidang fesyen, saya menerapkan idea fesyen dan budaya bukan sahaja Melayu bahkan mencerminkan keharmonian Malaysia dalam setiap karya.

“Karya My Heritage: Cat Lover, paparan idea saya berkisarkan tiga bangsa utama Malaysia membabitkan enam figura manusia pelbagai peringkat usia dan warna kulit.

“Satu persamaan mereka adalah kasih sayang terhadap kucing yang mampu menyatukan kepelbagaian ini. Bukan itu saja, melalui karya ini juga saya cuba menonjolkan keistimewaan budaya berpakaian setiap kaum.


KOI lambang kekuatan dan keinginan tinggi.

“Apabila tema pameran kali ini fokus pada wanita, saya juga membawa bersama karya My Heritage: Rezeki, yang berlatarbelakangkan perkampungan di pesisiran pantai bersama empat figura yang mencerminkan peranan dan tanggungjawab besar dipikul kaum wanita.

“Ia bukan saja bercerita mengenai peranan sebagai ibu yang perlu menguruskan rumah tangga dan mengasuh anak, bahkan wanita juga mampu menjana ekonomi keluarga serta meringankan bebanan sang suami,” katanya ketika ditemui dalam Pameran Lukisan @ Premiera Siri 2 Wanita Inspirasiku.

Pameran ini berlangsung pada 1 April hingga 30 Jun nanti yang menggabungkan tiga lagi pelukis wanita, Asni Abu Mansor, Hidawati Amin dan Zurin Shaari di Hotel Premiera Kuala Lumpur.

Sementara itu, pelukis Hidawati pula tampil dengan teknik berbeza apabila menggabungkan teknik jahitan tangan dan mesin bersama kolaj tekstil bagi menghasilkan karya.


TEKNIK jahitan dan kolaj tekstil.

“Jahitan berkait rapat dengan wanita, jadi saya melihat media ini sangat bersesuaian bagi menggambarkan tema pameran kali ini. Merujuk kepada siri karya Koi, ikan ini adalah lambang kepada keinginan untuk berjaya mengikut mitos dalam penceritaan masyarakat Jepun.

“Elemen bunga teratai itu menjurus kepada wanita yang cantik dan kuat. Seperti kita ketahui, habitat bunga teratai adalah kawasan berpaya yang kelihatan kotor.

“Saya ingin membuat penegasan bahawa wanita yang mungkin datangnya dari latar belakang berbeza, mampu menyerlah dengan bersandarkan kecantikan dan kebaikan dalam diri mereka,” jelasnya.

Katanya lagi, ‘kecantikan’ itu sendiri akan ‘menutup’ latar belakang berkenaan.


LAMBANG keharmonian kaum.

INFO

• Pameran Lukisan @ Premiera Siri 2 Wanita Inspirasiku.

• Artis: Lyna Khairi, Asni Abu Mansor, Hidawati Amin dan Zurin Shaari

• Lokasi: Coffee House, Tingkat 5, Premiera Hotel Kuala Lumpur

• Tarikh: 1 April hingga 30 Jun 2019

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 April 2019 @ 9:35 AM