AIDA dan Nancy berkongsi pentas sama. FOTO: Khairul Azhar Ahmad
Aniza Zainudin


BUNGA sentiasa mencerminkan keindahan, kecantikan, kelembutan namun tidak bertahan lama.

Berinspirasikannya, Aida Rahman mula menghasilkan karya flora dan landskap bagi memanjangkan lagi ‘jangka hayat’ keindahan itu menerusi kanvas.

“Saya mula aktif berkarya sejak tiga tahun lalu dan semua hasil tangan ini adalah berpandukan gambar yang diambil ketika melancong.

“Ilham saya lebih dekat dengan bunga tulip yang menjadi bunga kesukaan sejak kecil. Bukan sahaja warnanya yang pelbagai, bahkan bentuknya juga unik.


LUKISAN bertajuk "Early Spring in Marlton Series" oleh pelukis, Aida Rahim.

“Tulip juga tiada di Malaysia dan ia membuatkan karya dihasilkan agak eksklusif. Saya juga menggabungkan kombinasi ton berbeza seperti terang dan lembut.

“Jika ia diperhatikan dari jarak yang jauh, barulah bunga itu nampak hidup,” katanya yang berkongsikan sembilan karya.

Menurut Aida, pameran SHE adalah pameran lukisan pertama disertainya. Menghasilkan lebih daripada 20 karya sepanjang tempoh tiga tahun, beliau menyifatkan pemilihan bunga sebagai inspirasi berkarya yang memberikan cabaran besar buat dirinya.

Memilih konsep ‘realisme,’ Aida mengakui melukis bunga bukan mudah kerana tekstur, bayangan, refleksi yang unik bagi menghidupkan keindahannya.

Sementara itu, pelukis, Nancy Lau berkata, melukis adalah jawapan kepada masalah kemurungan yang ditanggungnya.

“Latar belakang saya adalah lukisan digital, jadi saya ingin mempelajari teknik lukisan pada kanvas. Tanpa disedari, ia dapat mengurangkan masalah kemurungan yang saya alami.

“Tambahan pula, saya menjadikan alam semula jadi sebagai subjek utama dan ia berjaya membuatkan kehidupan saya lebih tenang. Bukan itu saja, fokus saya turut merangkumi bangunan bersejarah dan abstrak.

“Lukisan abstrak bukan senang untuk dihasilkan kerana ia memerlukan kita lebih ‘teliti’ dan bukan kesempurnaan bentuk menjadi ukuran.


ANTARA lukisan yang dipamerkan pada di The ledge Gallery, One Utama.

“Abstrak membuatkan saya lagi bebas berkarya dan lebih ceria. Lukisan abstrak diterjemahkan menerusi lorekan yang dihasilkan,” jelasnya yang mempamerkan 14 karya dalam pameran berkenaan.

Pameran SHE yang berlangsung di The Ledge Gallery, 1 Utama ini mengumpulkan sembilan pelukis wanita dari tiga negara, Malaysia, Jepun dan Australia seperti Alice Chang, Alice Yee, Virginia Kennedy, Loo Ley See, Sanae Yamada, Shahroom Ahmed dan Erica Wong, termasuk Aida dan Nancy.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Mei 2019 @ 4:30 AM