PENGUNJUNG tidak melepaskan peluang melihat pameran seni dua negara. FOTO Sairien Nafis
Zaitie Satibi


HUBUNGAN persahabatan antara Malaysia dan Indonesia dalam bidang seni serta budaya sudah lama terjalin dengan baik. Ia dicerminkan dalam pelbagai kegiatan kesenian yang dilakukan kedua-dua negara berikutan seni bersifat universal dan dapat diterima atau dinikmati sesiapa sahaja.

Bagi mengukuhkan lagi hubungan berkenaan, Galeri Shah Alam dengan kerjasama Lumbung Art Community menganjurkan Pameran Seni Ekpresi Malindo yang menghimpunkan 20 pelukis dari kedua-dua negara. Sebanyak 64 lukisan dan enam lima arca dipamerkan di galeri berkenaan yang berlangsung sehingga 31 Mei ini.


MOHAMMAD Farid (tengah) tertarik melihat lukisan ber konsep alam diiringi Raja Zahabuddin (kanan) selepas merasmikan Pameran Seni Ekspresi Malindo. FOTO Sairien Nafis

Pameran seni Malindo ini adalah pertemuan silaturahim antara pelukis Malaysia dan Indonesia yang sengaja diatur untuk saling berinteraksi dalam majlis seni pada era global ini. Penganjuran pameran ini juga menjadi satu tanda persahabatan budaya yang baik, selain medan untuk masing-masing saling memberi nilai budaya yang dimiliki.

Perasmian pameran disempurnakan Atase Pendidikan dan Kebudayaan, Kedutaan Besar Republik Indonesia, Mohammad Farid Marud. Turut hadir, Pengarah Galeri Shah Alam, Profesor Datuk Raja Zahabuddin Raja Yaacob.

Karya yang dihasilkan bersesuaian dengan konsep kontemporari dan pameran berkenaan adalah acara yang mendukung kesenian antara satu sama lain dalam mengeratkan hubungan antara dua negara berjiran. Malah, program sebegini juga satu perkara penting bagi menarik minat masyarakat untuk menikmati dan menghayati hasil seni.


ARIE Kadarisman bersama karyanya bertajuk The Faces. FOTO Sairien Nafis

Penganjuran pameran ini juga membolehkan peserta dapat berkongsi dan bertukar pandangan berkenaan kesenian budaya yang dibawa serta disatukan dalam pameran khas buat tatapan masyarakat setempat. Keindahan seni ini sewajarnya dikongsi dan diperkenalkan supaya ia terus dikekalkan ke tahap lebih tinggi untuk generasi akan datang menikmatinya.

Beberapa karya yang perlu disampaikan pelukis Indonesia yang menyajikan pelbagai gaya seni lukis, namun masih memiliki karakter dan nafas budaya yang sama.

Arie Kadarisman dari Jawa Barat adalah pelukis yang tetap istiqomah dengan kemampuan menyampaikan gagasannya secara ‘representatif.’ Dalam pameran ini, beliau menghasilkan lukisan berupa himpunan potret pemimpin terkenal.


FAIZAL Suhif bersama karya tekapan muka bumi bertajuk

Uniknya, lukisan itu seakan-akan kertas yang direnyukkan sebelum lembarannya diratakan semula. Ternyata Arie Kadarisman cuba menyampaikan mesej berkenaan kehidupan manusia yang diibaratkan berputar seperti roda, ada kala di atas dan ada kala di bawah.

“Mengambil contoh seorang pemimpin di Malaysia yang dekat di hati rakyat iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim. Beliau pernah dipenjarakan dan kini dibebaskan selepas mendapat pengampunan Yang di-Pertuan Agong.

“Dalam karya ini, saya ingin menyampaikan bahawa sesuatu yang kita anggap sudah tidak lagi berguna dan membuangnya, sedangkan satu hari kelak ia akan berjasa semula kepada kita,” katanya.


PELUKIS dua negara bergabung dalam satu pameran. FOTO Sairien Nafis

Sementara itu, Faizal Suhif, pelukis berasal dari Muar, Johor, pula mengungkapkan nilai budaya dan jati diri menerusi muka bumi.

Beliau yang menggunakan teknik mono print iaitu lukisan atas plet sebelum ditekap ke atas kertas lukisan lain. Imej abstrak terhasil daripada tekapan atas tanah.

“Menerusi tanah, saya ingin menyampaikan mesej bahawa jauh mana pun kita pergi, akhirnya akan kembali ke tempat asal usul,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Mei 2019 @ 9:35 AM