ROBERTS (berdiri enam dari kanan), Grace, pegawai kanan Kementerian Pendidikan dan Kurnia Insurans bersama barisan pemenang peraduan mewarna.
Nurul Husna Mahmud


MENURUT Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia, hanya 15 peratus penunggang motosikal mengenakan topi keledar betul ketika menunggang.

Kajian itu memberitahu kanak-kanak antara yang berisiko tinggi terbabit dalam kemalangan ketika dalam perjalanan pergi dan pulang dari sekolah.

Menyedari tabiat buruk dalam kalangan penunggang motosikal tempatan, Kurnia Insurans melancarkan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) menerusi satu siri program Keselamatan Jalan Raya iaitu Program Adiwira Topi Keledar.

Membawa tema ‘Hero yang Selamat adalah Hero yang Hebat!’ bermula sejak Mac lalu membabitkan murid di Kuala Lumpur, Kota Bharu dan Johor Bahru diberi peluang menyertakan idea serta kreativiti mereka dalam penghasilan topi keledar edisi khas akan diagihkan kepada pelajar terpilih.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif AmGeneral Insurance Berhad Derek Roberts, pihaknya berharap kempen berkenaan menyemai perubahan tabiat positif dalam mementingkan aspek keselamatan jalan raya seawal usia kanak-kanak lagi.

“Program perintis kempen keselamatan jalan dilancarkan untuk mendapatkan pandangan umum mengenai impak inisiatif ini kepada isu keselamatan kanak-kanak di jalan raya di seluruh negara.

“Apabila menerima sambutan yang menggalakkan daripada rakan kongsi dan sokongan luar biasa daripada kementerian, pejabat pelajaran daerah, guru dan ibu bapa, objektif kami berikutnya sudah tercapai.


JOHAN pertandingan mewarna, Muhammad Aryan Wijemanna dari Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Sri Damansara 2, Petaling Utama.

“Tambah pula rakan kolaborasi turut menunjukkan minat positif mahu menyertai program ini, dijangka ada usaha sama dengan syarikat korporat lain untuk menjangkau lebih banyak sekolah dan bahkan lebih ramai pelajar.

“Pada akhirnya, kami ingin menyediakan program rakyat Malaysia dapat menyumbang dalam menjadikan jalan di negara ini tempat yang lebih selamat untuk semua peringkat umur rakyat Malaysia, “katanya.

Siri kempen yang bermula dengan dengan pertandingan mewarna topi keledar disertai lebih 20,000 pelajar dari kesemua 30 sekolah mengambil bahagian.

Reka bentuk daripada 30 pemenang akan disesuaikan untuk menghasilkan topi keledar edisi khas sebelum diedarkan kepada penunggang yang layak di sekolah-sekolah terpilih.

Mengenai pemilihan pemenang, Ketua Pegawai Pengedaran dan Penjenamaan AmGeneral Insurance Berhad Grace Quah berkata, bukan nilai estetika dilihat sebaliknya mesej yang pelajar sampaikan serta kesan visual di jalan raya menjadi keutamaan juri.

Helmet yang direka khas ini disasarkan untuk keluar di jalan raya menjelang Julai 2019 ketika jerayawara keselamatan jalan raya di sekolah-sekolah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Mei 2019 @ 10:16 AM