AHLI kelab merakam gambar kenangan selepas aktiviti mengedar sumbangan.
Zaitie Satibi


KEMULIAAN dan kehadiran Ramadan dijadikan peluang kepada kumpulan penggiat sukan lasak Outdoor Team Malaysia (OTiM) untuk melaksanakan kerja amal bagi membantu gelandangan di ibu kota.

Program dengan tema Aku, Kau, Dia...Kita Semua Sama itu disertai 80 ahli OTiM dan menyaksikan 350 pek makanan, pakaian dan kit kebersihan diri diagihkan kepada golongan terbabit.

Presiden OTiM, Suhairy Ismail berkata, program itu bertujuan memberi kesedaran kepada ahli kelab berkenaan realiti kehidupan yang terpaksa dihadapi sesetengah individu yang kurang bernasib baik, tanpa tempat perlindungan sempurna dan mendapat makanan mencukupi.

Pada masa sama ia juga mendidik jiwa dan jati diri ahli kelab supaya saling mengasihi antara satu sama lain. Selain menanam sifat prihatin dalam kalangan ahli kelab.

“Kami pilih Ramadan kerana mahu menyemarakkan bulan mulia ini dengan amalan bersedekah terutama golongan yang tidak berkemampuan. Wang untuk membeli barangan sumbangan pula dikumpul daripada ahli kelab sendiri.

“Aktiviti amal yang bermula pada jam 9.30 malam hingga 12 tengah malam itu berlangsung serentak di lokasi iaitu sekitar Pasar Seni, Masjid India, Masjid Jamek Sultan Abdul Samad dan Jalan Tuanku Abdul Rahman. Sumbangan makanan turut diberi kepada gelandangan bukan beragama Islam.

“Ahli kelab ada yang datang bersama keluarga termasuk membawa anak kecil turun padang bagi merasai sendiri pengalaman mengagihkan sumbangan berbentuk makanan, pakaian terpakai dan kit kebersihan diri seperti berus gigi, ubat gigi dan sabun kepada golongan berkenaan,” katanya.


AHLI kelab mengagihkan barang sumbangan kepada beberapa kumpulan.

Katanya, ini adalah tahun ketiga kelab berkenaan menganjurkan program membantu gelandangan dan kali ini berbeza kerana menampilkan sukarelawan daripada penuntut universiti bagi menggalakkan aktiviti kesukarelawan dalam diri mereka.

“Selama tiga tahun berturut-turut kami memilih gelandangan untuk dibantu kerana menyedari dalam keadaan ekonomi hari ini, kelompok ini mungkin semakin bertambah terutama di bandar besar. Oleh itu, pendekatan membantu mereka adalah langkah yang sangat digalakkan agama.

“Dalam program ini yang membantu meringankan beban golongan terbabit, kami turut mendapat kerjasama pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) dan ini secara tidak langsung memberi peluang kepada mereka untuk melakukan aktiviti amal Ramadan,” katanya.

Ahli OTiM, Badrul Amri Ghazali, 34, berkata, program itu memberi pengalaman kepadanya untuk membantu individu gelandangan yang kurang bernasib baik bukan saja dalam bentuk barangan keperluan, malah memberikan sokongan moral.

“Saya dapati kebanyakan mereka berada dalam dilema masalah kehidupan masing-masing, bagaimanapun mereka tidak mempunyai sesiapa atau saluran untuk meluahkan masalah kerana rata-ratanya hidup bersendirian.

“Biarpun tidak semua ahli kelab ini dilahirkan dalam keluarga berharta, namun kehidupan gelandangan yang disaksikan sendiri sepanjang program ini berlangsung mampu menginsafkan bahawa masih ada insan lain yang hidupnya lebih susah.

“Kerja amal ini bukan saja menyediakan peluang untuk saya membabitkan diri dalam menghulurkan bantuan, tetapi juga menghidangkan ruang untuk melihat sesuatu di luar daripada kebiasaan yang kita alami dan merasai apa yang dilalui orang lain,” katanya.

Rakannya, Hidayah Wahid, 31, berkata, inisiatif pihak kelab mengedarkan makanan dan keperluan kepada golongan terbabit dapat menyemarakkan lagi sifat-sifat kemanusiaan terutama dalam kalangan ahli kelab supaya sentiasa mengambil berat dan membantu golongan memerlukan.

“Saya simpati dan terharu dengan nasib gelandangan yang disaksikan sendiri ketika mengagihkan bantuan. Apa yang kami lakukan ini mampu membuka mata setiap ahli kelab untuk sentiasa mendidik diri supaya tahu erti bersyukur.

“Aktiviti amal ini juga satu usaha yang sangat murni untuk mengurangkan rasa derita dan kesusahan yang ditanggung golongan terbabit,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Mei 2019 @ 9:46 AM