RUMAH tradisional Perak yang memiliki ciri keselamatan tersendiri. FOTO Azhar Ramli
Aniza Zainudin


KEINDAHAN seni bina dan kehalusan ukiran rumah tradisional Melayu yang menyampaikan mesej tersembunyi kepada tetamu menjadi keunikan kediaman warisan.

Menggunakan kayu jenis cengal sebagai bahan utama binaan rumah, bukan sahaja berupaya menongkah peredaran zaman bahkan berterusan mengekalkan kecantikan tersendiri.

Dikagumi masyarakat tempatan yang menghayati keunikannya, seni bina teratak tradisional kini kian ‘hilang’ sejajar dengan elemen kemodenan hari ini.

Namun sempena Aidilfitri, rumah tradisi Melayu yang berbeza identiti kekal menjadi tumpuan ramai kerana ia sinonim menggambarkan kehidupan tradisional bangsa.

Malah, seni bina Melayu ini sering dijadikan lokasi penggambaran drama, filem bahkan video muzik bagi menzahirkan kegembiraan meraikan Syawal.

Bagi mengekalkan tradisi untuk generasi muda, Muzium Warisan Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM) memulihara empat rumah tradisional dari empat negeri berbeza bersama sejarah istimewa.

Pegawai Tadbir Muzium Warisan Melayu, Siti Noor Aisyah Nazarrudin berkata, rumah warisan sering menjadi tumpuan terutama menjelang hari raya.

“Kebiasaannya segelintir mereka yang berkunjung ke sini tidak mempunyai kampung halaman ataupun kampung sudah bertukar moden.


KEKAL dengan budaya Melayu. FOTO Azhar Ramli

“Bagi merasai keseronokan Aidilfitri dan kehidupan di kampung, mereka datang ke sini untuk merakam gambar atau menghasilkan video peribadi.

“Terdapat empat rumah tradisional asli yang dibina semula di sini selepas kami mendapat kebenaran waris untuk memuliharanya.

“Bagi mewujudkan suasana kampung, kami mengekalkan kehijauan dan landskap menarik.

“Selain merakam gambar, empat rumah warisan ini menjadi tumpuan masyarakat luar terutama mereka yang mempelajari bidang seni bina,” katanya.

Empat rumah warisan berkenaan dimiliki Penghulu Ismail Khatib Bakar (Rumah Tradisional Pahang), Wan Muda Wan Hassan (Rumah Tradisional Terengganu), Uda Noh Kanda Jaafar (Rumah Tradisional Perak) dan Datuk Raja Diwangsa Muhammad Yunos Jabar (Rumah Tradisional Negeri Sembilan).

Menurut Siti Noor Aisyah, rumah milik Penghulu Ismail diperoleh di Kampung Kelola, Jerantut yang dipercayai dibina pada 1919 dan mempunyai ruang lebih besar berbanding rumah lain.

Rumah tradisional ini terbahagi kepada dua bahagian, ruang ibu berfungsi hanya untuk keluarga manakala balai bagi urusan berkaitan penduduk kampung.

Berkapasiti 100 orang, rumah yang sering menjadi tumpuan acara ini bercirikan tangga tinggi menunjukkan status penghulu serta pintu tambahan sebagai laluan untuk menaiki gajah.


RUMAH tradisional Negeri Sembilan dimiliki pembesar istana. FOTO Azhar Ramli

Rumah Tradisional Negeri Sembilan pula dimiliki pembesar istana di Seri Menanti turut dibina pada abad ke-19.

Keunikan rumah warisan ini dengan kewujudan loteng berfungsi sebagai bilik dan tempat persembunyian serta enam tiang tidak jejak bumi yang bertindak sebagai penyambung.

Rumah Tradisional Perak pula dimiliki pahlawan yang dibina pada 1901 di Kampung Pendiat, Bota Kanan.

Teratak bersejarah ini disempurnakan dengan ciri-ciri keselamatan seperti lubang senjata, loteng, tangga curam 70 darjah serta tingkap berpalang besi.

Rumah keempat dari Kampung Tanjong, Terengganu pula dimiliki nakhoda kapal yang turut dikenali dengan gelaran Rumah Bujang Selasar.

Keunikan rumah ini pula terletak pada serambi terbuka yang dijadikan ruang bersantai oleh nelayan untuk menyulam jala atau jaring.

Kediaman warisan ini juga berwarna hitam kerana ia dilindungi dengan sapuan minyak hitam kapal bagi mengelakkan hakisan angin dan air laut kerana kedudukannya di pesisiran pantai.

Siti Noor Aisyah berkata, sejarah dan keunikan tersendiri rumah tradisional ini membuatkan pihak muzium berusaha memuliharanya bagi berkongsi kegemilangan dan kebijaksanaan orang Melayu dalam pertukangan rumah.

Meskipun begitu, beliau tidak menafikan wujud cabaran dalam mengekalkan warisan ini kerana ia terdedah dengan serangan binatang perosak.


RUMAH warisan jadi pilihan lokasi Aidilfitri. FOTO Azhar Ramli

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Jun 2019 @ 9:51 AM