BARANGAN peribadi milik Ismail yang boleh dilihat secara dekat. FOTO SALHANI IBRAHIM
Hafiz Ithnin


SUDAH beberapa kali mengunjungi Sasana Kijang ketika ditugaskan di Meja Ekonomi Harian Metro, namun ini kali pertama penulis melangkah masuk ke bahagian galerinya.

Dinamakan Muzium dan Galeri Seni Bank Negara Malaysia, sememangnya mempunyai tarikan tersendiri bukan saja dari sudut kemodenan reka bentuk eksklusif, malah kandungan pameran unik yang diketengahkan.

Ketika mengunjungi lokasi berkenaan, terdapat pameran mengenai ikon negarawan terulung negara yang begitu sinonim dengan perihal kewangan negara iaitu bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) kedua, Tun Ismail Mohamad Ali.

Pameran berkenaan Tun Ismail Ali: Peneraju Amanah dan Integriti mampu membawa penulis menyusuri kehidupan beliau yang juga anak tempatan pertama dilantik sebagai gabenor.


PENGUNJUNG melihat koleksi lukisan ketika era Ismail menjadi Gabenor BNM. FOTO SALHANI IBRAHIM

Sebaik sahaja melangkah masuk dalam ruang pameran itu, pengunjung diberi peluang untuk mengetahui kisah tokoh yang disegani itu ketika zaman kanak-kanak dan keluarganya.

Kemudian galeri berkenaan membawa pengunjung untuk mengetahui siapa beliau sebelum bergelar gabenor dan bagi penulis bahagian ini agak menarik kerana turut dipaparkan sifat amanahnya sebagai pegawai kerajaan yang boleh dicontohi rakyat Malaysia ketika bekerja.


ISI kandungan laporan yang dilaporkan setiap hari kepada Tunku Abdul Rahman. FOTO SALHANI IBRAHIM

Pernah berkhidmat sebagai wakil kerajaan Malaysia di Washington, Amerika Syarikat, siapa sangka tahap kejujuran beliau sehingga melaporkan setiap aktiviti yang dilakukannya kepada perdana menteri ketika itu iaitu Tunku Abdul Rahman.

Laporan yang diberikan kepada perdana menteri bukan berkisar mengenai tugasan sahaja, malah aktiviti hariannya dan ia dilaporkan setiap hari. Malah, laporan dalam bentuk diari itu boleh dilihat lebih dekat dalam pameran berkenaan.


KOLEKSI kotak mancis Ismail masih disimpan untuk tatapan umum. FOTO SALHANI IBRAHIM

Menurut kurator utama pameran berkenaan, Alnizah Shamsudeen, bekas gabenor itu memainkan peranan penting dalam pembangunan BNM dan Malaysia itu sendiri.

“Sumbangan beliau meliputi setiap bidang utama ekonomi, kewangan dan pembangunan. Dalam perjalanan beliau untuk mengatasi cabaran utama di Tanah Melayu yang baru sahaja merdeka ketika itu, beliau bersandar kepada visi jelas, ketekunan tinggi dan integriti tidak dapat dipertikaikan.

“Membangun di atas asas kukuh yang dibina tokoh berkenaan, Malaysia bakal mencapai matlamat menjadi ekonomi berpendapatan tinggi. Malah, selepas beberapa dekad sejak pemergiannya pada tahun 1998, kesan sumbangan beliau terus berkekalan,” katanya.

Secara ringkasnya, pameran berkenaan mempunyai empat bahagian utama iaitu zaman kanak-kanak dan keluarga, sebelum dilantik sebagai gabenor, ketika menjadi gabenor dan kerjaya selepas menamatkan perkhidmatan selama 20 tahun di BNM.


ANTARA catatan peribadi yang dipamerkan di galeri sempena mengenang jasa tokoh kewangan itu. FOTO SALHANI IBRAHIM

Berada di pameran itu, pengunjung juga dapat melihat perjalanan hidup Ismail dari segi peribadi dan profesional. Ia merekodkan falsafah, sumbangan dan pencapaian beliau dengan harapan supaya generasi muda dapat manfaat daripada tokoh ini.

Tidak sekadar itu, di bahagian berasingan terdapat pameran Karya Pilihan Tun Ismail Ali yang menyatakan sokongan beliau terhadap industri seni tempatan dan ketelitian cita rasa seninya yang berada pada kedudukan tersendiri.

Alnizah berkata, karya seni lukisan berkenaan menggambarkan nilai-nilai diri beliau yang begitu jelas iaitu kebijaksanaan, semangat nasionalisme dan berwawasan.

“Diperoleh sejak 1962 sehingga 1980, karya awal koleksi BNM itu menunjukkan dorongan beliau terhadap pelukis muda tempatan ketika itu antaranya Syed Ahmad Jamal, Ibrahim Hussein dan Latiff Mohidin.

“Mereka ini antara yang akhirnya berkembang menjadi pelukis ternama di Malaysia. Turut diketengahkan dalam pameran ini ialah karya yang berkisar aktiviti ekonomi seperti menoreh getah, perlombongan bijih timah dan perdagangan,” katanya.

Koleksi itu turut memaparkan karya bertemakan Kijang yang menjadi identiti BNM diilhamkan Ismail sendiri.

Pameran itu yang dibuka kepada orang ramai tanpa dikenakan bayaran itu dijangka berakhir pada 30 Jun ini dan dibuka pada setiap hari bermula 10 pagi sehingga 6 petang.


MAKLUMAT mengenai biodata kehidupan menarik untuk dibaca. FOTO SALHANI IBRAHIM

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Jun 2019 @ 10:25 AM