KARYA Rais bertajuk 'Solitary: Waiting'. FOTO Nurul Syazana Rose Razman
Alias Abd Rani

INSPIRASI karya yang memaparkan kisah kanak-kanak bermain berseorangan antara tarikan pengunjung pada pameran ‘Art With Heart’ Kumpulan Perbankan RHB Bank di Pusat Beli-belah Bangsar (BSC) bermula 25 Jun hingga 30 Jun.

Karya Rais Azmi, graduan Sarjana Seni Visual, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam itu, memaparkan kehidupannya sewaktu kecil apabila ditinggalkan ibu bapanya di rumah.

Katanya, idea itu lahir selepas dia melalui pelbagai kisah kehidupan sewaktu kecil sekali gus diceritakan dalam karya yang dikenali sebagai ‘Solitary: Waiting’.

“Saya memilih anak saudara, Aisy Hafiy Mohd Suhaidi, 3, sebagai individu dalam karya terbabit kerana ada persamaan. Dalam karya ini menceritakan kisah bagaimana saya membesar hingga hari ini,” katanya yang mula berkarya pada 2011.


MUHAMMAD Bakhtiar (berdiri tujuh dari kiri) dan Khairussaleh (berdiri enam dari kiri) bersama pelukis terbabit. FOTO Nurul Syazana Rose Razman

Berbeza pula dengan Pensyarah Kanan (Seni Visual), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Profesor Dr Zaimi Sahibin yang memilih alam marin sebagai karya sejak 35 tahun lalu.

“Hasil karya saya dibuat melalui penggunaan kamera di dasar laut sebelum dilukis. Saya memilih ‘Marine Series’ yang kemudian dipecahkan beberapa siri seperti penyu dan paling popular ialah siri jerung yang pernah dipamerkan di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Hong Kong.

“Malah siri terbaharu ‘groupe series’ dan ‘coral series’ pernah dipamerkan di Paris beberapa bulan lalu,” katanya sambil memaklumkan sebahagian hasil jualan karya disumbangkan untuk membantu suku Bajau Laut di Sabah terutama dalam pendidikan.

Pameran dengan tema Diversity & Inclusivity ini memasuki tahun ketiga berturut-turut dan pertama kali RHB mengadakannya di pusat beli-belah.

Pengarah Urusan Kumpulan RHB, Datuk Khairussaleh Ramli berkata, pihaknya sentiasa menyokong usaha seperti ini yang boleh mempromosikan budaya masyarakat tempatan.


MUHAMMAD Bakhtiar dan Khairussaleh melawat pameran. FOTO Nurul Syazana Rose Razman

“Ia membabitkan 27 artis dengan lebih 100 karya dalam usaha RHB membantu artis tempatan mengetengahkan bakat mereka,” katanya ketika ditemui selepas majlis pelancarannya di Kuala Lumpur, Isnin lalu.

Majlis pelancaran disempurnakan Timbalan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Kesenian, Muhammad Bakhtiar Wan Chik. Hadir sama, Pengerusi Kumpulan Perbankan RHB, Tan Sri Azlan Zainol.

Antara karya yang dipamerkan ialah Rungus Long House, Ruang dan Kehidupan Masyarakat Bajau, Burung Walet, Jungle Flower, Merak, Barracuda Series dan Rural Condo. Ia dibuka untuk umum bermula 25 Jun hingga 30 Jun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Jun 2019 @ 9:33 AM