PESERTA gelandangan (wajah kabur) gembira menyertai kelas tarian anjuran JKKN.
Zaitie Satibi


GELANDANGAN di ibu kota sering dilabel sebagai pengotor, selekeh dan sampah masyarakat berikutan cara hidup mereka yang merempat di kaki lima, selain dikatakan suka mengemis.

Namun, nasib golongan terbabit yang dipandang hina diyakini dapat diubah menerusi program Pusat Bimbingan Seni Budaya (PuBSB) Komuniti Gelandangan.

Program anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) itu menyediakan platform gerak tari untuk gelandangan menikmati dan menghayati kepelbagaian seni serta budaya yang berkaitan dengan pola kehidupan seterusnya memupuk minat mereka terhadap seni dan budaya, di samping melahirkan bakat baharu.

Pengarah Bahagian Bimbingan Seni Budaya JKKN Fauziah Zakaria berkata, pihaknya sentiasa peka mencari inisiatif untuk memperluaskan seni dan budaya ke setiap lapisan masyarakat tanpa mengira status, latar belakang serta kaum.

Sehubungan itu, dalam program kali ini pihaknya dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) komited membantu dan menyemarakkan seni serta budaya melalui PuBSB Komuniti Gelandangan yang dijalankan di Kompleks Penyayang Bakti, Bandar Sri Damansara, Kuala Lumpur.

“Dalam program ini JKKN mengambil inisiatif dengan menyediakan khidmat Jurulatih Seni Budaya Negara (JSBN) yang mahir dalam bidang tari bagi memberi peluang kepada komuniti gelandangan mempelajari asas tarian tradisional seperti joget, inang, zapin dan asli.

GELANDANGAN diajar menari tarian tradisional.

“Seramai 30 gelandangan dari pelbagai peringkat umur dan kaum di kompleks berkenaan menjalani sesi latihan selama enam bulan bermula April lalu. Ia bertepatan dengan tujuan program ini bagi melahirkan masyarakat dan komuniti yang dapat memahami, mencintai dan menghargai seni serta budaya tempatan.

“Selain itu, program ini juga dapat mengukuhkan identiti nasional, di samping mengeratkan lagi semangat perpaduan, keharmonian dan integrasi dalam kalangan rakyat pelbagai kaum,” katanya pada sesi pemantauan program itu untuk mendapatkan maklum balas peserta atau komuniti yang terbabit untuk penambahbaikan program.

Selain itu, pihak JKKN juga perlu mengumpul data dan maklumat peserta serta kekerapan latihan sepanjang tempoh program berlangsung dengan khidmat jurulatih dan artis budaya JKKN Wilayah Persekutuan, Wan Mohd Faidz Wan Hussain.

LANGKAH-LANGKAH tarian tradisional yang dipelajari.

“Program membabitkan komuniti gelandangan ini masih di peringkat perintis, namun JKKN berhasrat untuk melaksana PuBSB Komuniti Gelandangan di beberapa pusat gelandangan yang lain supaya lebih ramai berpeluang menyertai dalam kegiatan seni budaya ini.

“Aktiviti ini adalah platform bagi mereka yang berminat dalam bidang seni tari, meningkatkan kemahiran di samping menjadi terapi kepada penghuni gelandangan,” katanya.

Katanya, program tarian berkenaan turut dijalankan terhadap komuniti Orang Asli membabitkan kaum Temiar di Kampung Sungai Buah, Selangor, kaum Seleta (Segamat, Johor) dan kaum Semelai (Bera, Pahang), manakala bimbingan permainan tradisional pula dijalankan di Temerloh, Pahang.

Sementara itu, Timbalan Penguasa Kompleks Penyayang Bakti, Zulkifli Md Isa berkata, pihaknya menyambut baik kerjasama JKKN dalam menyediakan modul pembelajaran seni tari kepada komuniti gelandangan di kompleks berkenaan.

“Saya dapati peserta sangat teruja untuk membabitkan diri dalam program seperti ini dan tidak sabar untuk menunjukkan bakat yang ada.

“Mungkin dengan cara ini mereka dapat melupakan seketika masalah mereka dan siapa tahu ada yang berbakat dalam bidang tarian serta menggunakan kemahiran yang dipelajari untuk meningkatkan kualiti hidup,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Julai 2019 @ 9:16 AM