KEMPEN isi minyak bantu dana pesakit dialisis.
Zaitie Satibi


PENYAKIT buah pinggang kian menjadi beban besar kepada negara apabila sekurang-kurangnya 39,000 pesakit memerlukan dialisis dengan kos rawatan dianggarkan bernilai RM1.6 bilion pada setiap tahun.

Berdasarkan laporan Kementerian Kesihatan baru-baru ini, angka terbabit dijangka meningkat sehingga 50,000 pesakit pada tahun depan biarpun kesedaran orang ramai untuk mendapatkan rawatan, hasil jaringan komprehensif perkhidmatan dialisis di Malaysia setanding dengan kebanyakan negara maju.

Lebih 66 peratus daripada 55,000 pesakit buah pinggang kronik yang menjalani rawatan dialisis berpunca daripada diabetes, manakala kira-kira 30 peratus disebabkan darah tinggi dan faktor lain seperti penyakit genetik, radang buah pinggang, pengambilan ubat tahan sakit serta ubat suplemen yang tidak mendapat nasihat doktor.

Malangnya, kadar penderma buah pinggang di negara ini masih di tahap rendah iaitu hanya 1.3 peratus daripada kira-kira 30 juta rakyat Malaysia yang mendaftar sebagai penderma buah pinggang. Kira-kira 21,000 pesakit yang sudah melalui rawatan dialisis sedang menunggu penderma buah pinggang dan ia di tahap serius kerana tiada anggota ke luarga yang mahu tampil untuk menderma.

Bagi membantu pesakit buah pinggang kurang bernasib baik di negara ini, Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan Malaysia (NKF) berperanan menyalurkan bantuan kepada pesakit menerusi program dialisis, selain bekerjasama dengan pelbagai badan untuk meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap penyakit buah pinggang kronik melalui kempen kesedaran.

Ini kerana NKF percaya pesakit dialisis juga mempunyai hak yang sama terhadap kehidupan berkualiti sama dengan individu lain. Organisasi ini menyasarkan untuk menyediakan penjagaan holistik dan serba lengkap bagi memastikan pesakit mendapat sokongan terbaik dalam aspek kewangan, emosi dan psikologi, Prihatin akan nasib pesakit buah pinggang di negara ini, Shell Malaysia Trading Sdn Bhd menjalankan kempen kebajikan Anda Pam, Kami Derma sempena sambutan Aidilfitri lalu bagi membantu NKF mengumpul dana.


PESAKIT buah pinggang menjalani dialisis.

Dalam kempen yang bermula pada 15 Jun lalu itu, sebanyak satu sen daripada setiap liter petrol yang dibeli di 315 stesen minyak milik peruncit di Kuala Lumpur, Selangor dan Negeri Sembilan pada hujung minggu akan disumbangkan kepada NKF untuk membeli mesin dialisis baru sekali gus membantu lebih ramai pesakit buah pinggang mendapatkan rawatan.

Pengurus Jualan Kebangsaan Shell Malaysia Trading Sdn Bhd, Zharin Mohd Zhafrael berkata, pihaknya gembira dengan sokongan peruncit yang sama-sama menjayakan kempen berkenaan dalam usaha memberi kembali kepada komuniti.

“Sememang menjadi misi syarikat untuk menjadikan perjalanan hidup rakyat Malaysia supaya lebih baik. Kami ingin meninggalkan impak yang positif dalam komuniti tempat kami beroperasi dan inisiatif ini adalah sesuatu yang kami ingin luaskan ke semua stesen minyak Shell di seluruh negara.

“Dengan sumbangan dana dan mesin dialisis baru, kami ingin membantu pesakit buah pinggang memperbaiki kehidupan mereka termasuk keupayaan untuk kembali berperanan dalam masyarakat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif NKF, Chua Hong Wee berkata, setiap tahun NKF memerlukan RM24.9 juta untuk memberi subsidi kepada rawatan dialisis kepada 1,600 pesakit yang menjalani rawatan dialisis di 28 pusat dialisis milik NKF.

“Majoriti pesakit di NKF adalah pesakit berusia antara 50 hingga 65 tahun yang berdepan masalah kewangan apa-bila tidak mampu menanggung kos yang tinggi di pusat dialisis swasta.

“Oleh itu, kerjasama ini menjadi batu loncatan dalam usaha pihak NKF meneruskan menyokong dan memperbaiki kehidupan pesakit yang memerlukan dialisis. Kami amat berterima kasih kepada Shell yang menganjurkan kempen mengutip dana bagi pembelian mesin dialisis baru.

“Mesin dialisis berupaya untuk beroperasi antara tujuh hingga 10 tahun dengan penyelenggaraan berkala. Setiap tahun sekurang-kurangnya 20 mesin dialisis perlu diganti. Sehubungan itu, kami memerlukan sumbangan untuk pembelian mesin baru supaya rawatan untuk pesakit buah pinggang terus berjalan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Julai 2019 @ 9:45 AM