Zanariah (tiga dari kiri) dan Khairul Hisham (lima dari kiri) bersama pengarah filem, pelakon dan penyanyi filem web UNI.
Hartini Mohd Nawi


SEMPENA Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia tidak lama lagi, Petronas baru- baru ini melancarkan filem web berjudul UNI pada konsert sambutan Ulang Tahun ke-45 syarikat berkenaan di The Plaza, Menara Kembar Petronas, KLCC.

Filem web itu yang dipertontonkan secara langsung pada acara berkenaan, mengetengahkan elemen Malaysia mini, memaparkan kehidupan di kampus universiti yang sarat dengan kepelbagaian kaum, bahasa dan nilai-nilai murni.

Kisah ini juga adalah satu refleksi sambutan perayaan Petronas 2019 yang bertemakan Anugerah Kita untuk memupuk rasa bangga sebagai rakyat Malaysia.

UNI menceritakan kisah dua penuntut universiti, Roger Junior Buang dari Sabah yang pemalu dan Rizwan dari Kedah yang lebih menyerlah peribadinya.

Roger sedaya upaya cuba menyesuaikan diri dengan kehidupan kampus, namun sering kali menjadi sasaran ‘kenakalan’ Rizwan.

Mereka berdua diarahkan berpasangan untuk satu tugasan kumpulan, namun membuat keputusan untuk menyiapkan tugasan itu secara bersendirian. Atas arahan tegas pensyarah, akhirnya mereka terpaksa menyudahkan tugasan itu bersama-sama, pada cuti semester.

Dari situlah Roger dan Rizwan mula mengenali hati budi masing-masing dan menjadi sahabat baik.

Pengurus Besar Kanan Komunikasi Strategik Kumpulan Petronas, Zahariah Abdul Rahman berkata, filem web itu meneroka kehidupan dinamik berwarna-warni masyarakat pelbagai budaya kita.

“Ada ketikanya wujud perbezaan yang menguji kita. Namun, perbezaan itulah sebenarnya yang membawa kita menjadi lebih dekat.“

UNI menghayati nilai-nilai keunikan di Malaysia yang menyatukan kita - menerusi kesefahaman dan keterbukaan,” katanya pelancaran filem web itu.

Turut hadir Pengurus Besar (Pengurusan Komunikasi), Komunikasi Strategik Kumpulan Petronas, Khairul Hisham Mazlan, pengarah filem, pelakon dan penyanyi bagi filem web berkenaan.

Pelancaran filem web ini selari dengan sambutan ulang tahun ke-45 Petronas, yang bertemakan #BersamaMerentasZaman dan #OurTimeTogether.

Konsert sambutan itu menampilkan 45 artis hebat Malaysia sejak empat dekad lalu, antaranya Amy Search, Ella, Jaclyn Victor, M Nasir, Ruffedge dan lain-lain.

Rakyat Malaysia juga dijemput untuk merasai Pengembaraan Kapsul Masa Petronas yang pertama melalui paparan video yang membawakan perjalanan syarikat minyak negara sejak penubuhannya pada 1974.

Trak pengembaraan kapsul masa itu bakal ditempatkan di 22 lokasi di 10 negeri sehingga 14 September ini. Pelawat berpeluang menerima 'pin enamel' edisi terhad apabila mereka mengambil bahagian aktiviti yang dianjurkan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Ogos 2019 @ 10:44 AM