SUKARELAWAN diberi penerangan mengenai pokok yang ingin ditanam.
Zaitie Satibi


HUTAN di negara kita antara hutan hujan tropika tertua di dunia, namun ia sedikit demi sedikit di ambang kemusnahan berikutan aktiviti penebangan secara berleluasa.

Hanya kesedaran mengenai kepentingan khazanah warisan negara ini dapat menyelamatkan hutan. Malah, masyarakat turut berperanan dalam memastikan ia terus terpelihara.

Ini kerana, pengurusan hutan tidak hanya tertakluk kepada dasar penebangan dan perlindungan semata-mata, sebaliknya bermula daripada gaya hidup masyarakat yang mesra alam.

Dalam usaha memulihkan biodiversiti dan jaringan ekologi alam sekitar dan pada masa sama memberi fokus kepada menjaga, memelihara serta menyelamatkan hutan hujan tropika negara, Sultan Ahmad Shah Environmental Trust (SASET) menganjurkan program Go Green With SASET (GGWS) yang menumpukan aktiviti penanaman pokok-pokok hutan.

GGWS adalah program penanaman pokok yang diilhamkan Tengku Arif Temenggung Pahang, Tengku Fahd Muad'zam Shah Sultan Ahmad Shah sejak 2011 bertujuan menghijaukan kawasan hutan simpan selain dapat menjadi sumber pendapatan tambahan penduduk setempat khususnya masyarakat Orang Asli dari suku Negrito dan Batek.

Namun, buat julung kalinya SASET menanam anak pokok nadir atau pokok buah-buahan liar yang tumbuh semula jadi di kawasan hutan dan kampung sempena Sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Daerah Jerantut di Jerantut, Pahang, baru-baru ini.

Sebanyak 700 anak pokok nadir spesies durian hutan (durio zibethinus), bruas (garcinia hombroniana), petai (parkia speciosa), kundang rumenia (bouea oppositifolia), sentul (sandoricum koetjape) dan kedondong sengkuang (scutinanthe brunnea) ditanam dalam kawasan seluas 35,000 meter persegi di Hutan Simpan Tekai Tembeling.

Presiden SASET, Tengku Fahd Muad'zam Shah berkata, menerusi program penanaman anak pokok buah-buahan itu ia dijangka dapat menambah pendapatan masyarakat Orang Asli berkenaan dengan hasil yang dikeluarkan pokok-pokok yang baru ditanam, di samping sebagai satu daripada sumber makanan.

“Terdapat 262 perkampungan Orang Asli dengan jumlah 78,636 penduduk di seluruh Pahang dan di Jerantut sahaja terdapat 12 perkampungan Orang Asli dengan jumlah keseluruhannya 3,561 penduduk.

“Daripada jumlah itu dianggarkan terdapat kira-kira 900 Orang Asli suku Batek di daerah Jerantut dan Lipis. Masyarakat minoriti ini cukup sinonim dengan alam semula jadi dan hanya boleh ditemui di Pahang, Kelantan dan Terengganu.

“Ini sekali gus menjadikan mereka istimewa kerana mereka agak ketinggalan disebabkan cara hidup dan adat resam mereka. Malah, mereka masih meneruskan amalan berpindah-randah atau nomad yang diwarisi sejak turun-temurun,” katanya.


SUKARELAWAN bergambar kenangan selepas menanam pokok buah-buahan.

Beliau yang berkenan menyempurnakan majlis perasmian program itu berkata, masyarakat Orang Asli sekitar Jerantut juga tidak mengamalkan sebarang aktiviti bercucuk tanam dan hanya bergantung kepada hasil hutan, sungai dan berburu.

Dalam program GGWS kali ke-6 itu turut mendapat penyertaan seramai 200 sukarelawan dari Muslim Volunteer Malaysia (MVM), Kolej Komuniti Bera dan Jerantut, Universiti Malaysia Pahang (UMP), Universiti Teknologi Kreatif Limkokwing (LUCT), Universiti Automotif Malaysia DRB Hicom (DHU), Amanah Saham Nasional Berhad cawangan Temerloh dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Temerloh Jaya.

“Program ini juga membolehkan kita merapatkan diri dengan alam semula jadi, malah peserta juga diberi peluang untuk belajar mengenai spesies pokok bersama penduduk setempat. Usaha memupuk kesedaran masyarakat terutama golongan belia terhadap kepentingan alam semula jadi adalah tanggungjawab bersama.

“Oleh itu, program kesedaran mengenai kepentingan alam semula jadi perlu dilaksanakan secara konsisten dan membabitkan semua lapisan masyarakat. Pokok dan hutan memainkan peranan penting dalam mengurangkan kesan perubahan iklim dan menanam pokok adalah satu usaha murni yang boleh kita lakukan bagi memperbaiki kualiti alam,” katanya.

Katanya, SASET juga komited untuk menjadikan negeri ini lebih hijau dan berharap usaha ini dapat diteruskan supaya lebih banyak pokok hijau ditanam secara meluas di seluruh Pahang dan memastikan pembangunan fizikal negeri beriringan dengan pemeliharaan alam semula jadi.

Sehingga kini, SASET menanam sebanyak 121,012 pokok sekitar Pahang dengan kerjasama Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) dan pelbagai pihak lain termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO), syarikat korporat dan persendirian bagi menghijaukan khazanah alam semula jadi untuk tatapan generasi akan datang.

Hadir sama, jemputan dari Indonesia, Sultan Indragiri XXVII Tengku Parameswara Arif dan keluarganya; Naib Presiden SASET, Datuk Aida Jusuf; Ketua Kempen SASET, Datuk Mohammad Ezan Ahmad; Pengarah Perhutanan Negeri Pahang, Datuk Dr Mohd Hizamri Mohd Yasin dan Pegawai Daerah Jerantut, Tengku Khairul Zahirah Tengku Kamaludin.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 September 2019 @ 7:43 AM