MANIK antara komponen utama perhiasan untuk wanita.
Zaitie Satibi


MENCANTIKKAN diri dengan barang perhiasan adalah amalan umum yang dilakukan semua masyarakat di dunia. Barang perhiasan juga menjadi pelengkap kepada pemakaian seharian mahupun ke acara keraian tertentu, selain menjadi lambang identiti sesuatu masyarakat dan budayanya.

Masyarakat zaman dulu menggunakan bahan seperti emas, perak, suasa, tembaga, mutiara, manik, kulit siput, tulang, kayu dan tembikar untuk menghasilkan barang perhiasan diri. Bagaimanapun, barang perhiasan yang dibuat daripada emas dan perak adalah yang paling disukai kerana bernilai tinggi.

Secara umumnya, manusia menghiaskan diri untuk menceriakan perwatakan diri, kekemasan diri dan menarik perhatian. Penggunaan barang perhiasan diri juga menjadi sebati dalam kehidupan masyarakat dan secara tradisinya ia turut mewakili simbol prestij, kekayaan dan kuasa.

Bagi membolehkan generasi kini mengenali semula barangan perhiasan lama pelbagai kaum di negara ini, Muzium Petaling Jaya, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) mengambil inisiatif mengadakan Pameran Seni Perhiasan Wanita: Keagungan dan Kekuasaan.

Sebanyak 110 jenis barang perhiasan merangkumi hiasan untuk kepala, telinga, leher, pinggang, tangan dan kaki dari beberapa negeri dipertontonkan kepada umum dalam pameran bermula 2 Ogos sehingga 6 Disember ini.


PERHIASAN telinga dari pelbagai kaum antara dipamerkan.

Turut dipaparkan papan maklumat mengenai perhiasan diri, penggunaan emas, jenis hiasan dan tayangan video pemakaian barang perhiasan tradisional.

Kurator Muzium Petaling Jaya, Bonny Eddy berkata, wanita dan barang kemas tidak dapat dipisahkan malah boleh dikatakan setiap wanita sekurang-kurangnya pasti ada satu barang kemas terletak indah pada anggota badan mereka.

Pending, dokoh, cucuk sanggul, caping, hiasan telinga dan gelang kaki antara barang perhiasan yang sering dikaitkan dengan wanita. Terdapat pelbagai reka bentuk dan corak yang melambangkan nilai dan maksud tertentu serta yang membezakan hasil pertukangan antara masyarakat.

“Perhiasan merujuk kepada sesuatu benda yang digunakan untuk menghias atau mencantikkan diri. Perhiasan biasanya diperbuat daripada emas ataupun perak dan terdiri pelbagai jenis bentuk bermula daripada cincin, kalung, gelang, loket dan lain-lain.

“Biasanya perhiasan ini dijadikan sebagai koleksi, milik peribadi atau diberikan sebagai hadiah. Perhiasan mempunyai pelbagai bentuk iaitu bermula daripada bulat, hati, kotak dan sebagainya. Seni perhiasan juga tidak tertakluk kepada kepada bentuk barang saja, tetapi merangkumi aspek hiasan pada pakaian iaitu baju dan adat.


KAKITANGAN muzium memberi penerangan mengenai dokoh yang digunakan wanita Melayu kepada pengunjung.

“Penggunaan perhiasan diri terus berkembang mengikut landasan yang diamalkan oleh manusia bermula pada zaman purba. Lantas membawa kepada perkembangan yang lebih mencabar apabila manusia purba mula-mula menjumpai emas dan menggunakannya dalam berbagai aspek.

“Lama-kelamaan manusia mula meningkatkan ciptaan mereka setapak demi setapak dengan menggunakan emas berasaskan pengaruh dan kepercayaan agama mereka sehingga dapat menjelmakan suatu penciptaan seni yang amat mengagumkan,” katanya.

Katanya, perhiasan diri yang menjadi warisan masyarakat Malaysia terdiri daripada dua jenis bahan logam yang berharga dan bernilai tinggi iaitu emas dan perak. Kedua-dua logam ini disifatkan sebagai sangat berharga digunakan juga oleh orang berada sebagai cagaran hidup untuk menghimpun harta.

“Wanita di Sabah dan Sarawak dan hampir seluruh Kepulauan Borneo satu ketika dulu sangat suka memakai perhiasan diri yang diperbuat daripada tembaga. Namun, sejak kurun ke-19 perubahan berlaku dan mereka mula menumpukan minat terhadap perak. Ini dirasakan lebih sesuai, tidak berat, lebih menarik dan bernilai tinggi.

“Manik juga tidak dapat dipisahkan sebagai bahan atau sumber dalam perhiasan diri. Bagi suku Kenyah dan Kayan di Sarawak, manik satu-satunya khazanah yang sangat berguna. Manik yang diimport dengan cara pertukaran barang menjadi rebutan kerana harganya yang lumayan dan ada antaranya dijadikan sebagai mata wang pada suatu ketika dahulu.

“Kini, wanita Kenyah dan Kayan mengukur taraf dan himpunan kekayaan berdasarkan beberapa utas manik yang meliliti leher mereka dan menganggapnya sebagai rantai yang berharga. Majlis kaum diadakan dan mereka berhias dengan menggunakan manik ini dan tradisi yang diwarisi sejak turun-temurun masih berjalan sehingga kini,” katanya.

Cucuk sanggul turut menjadi satu daripada perhiasan diri bagi orang Melayu, Portugis, India dan Nyonya Peranakan bagi mendandan rambut mereka. Wanita pada zaman itu gemar menyimpan rambut yang lebat dan panjang mengurai.


PELBAGAI bentuk cucuk sanggul yang digunakan wanita zaman dulu sebagai alat mengemas rambut.

Rambut kelihatan semakin cantik apabila dihiasi dengan pelbagai bentuk sanggul. Sanggul mempunyai berbagai-bagai bentuk ada yang lintang, rendah, tinggi, sanggul dua dan sanggul kelongsong yang dikenali mengikut sebutan masyarakat di daerah masing-masing.

Dalam kalangan masyarakat yang miskin, cucuk sanggul mereka diperbuat daripada kayu atau buluh saja. Namun, ia diukir dengan cukup teliti dan dengan menarik sekali seterusnya dapat mencerminkan keperibadian si pemakai.

Peranan utama cucuk sanggul yang sebenar ialah untuk menyemat dan menahan sanggul supaya tidak terburai. Pada mulanya cucuk sanggul bukan semata-mata untuk mencucuk rambut atau sanggul sahaja, tetapi bertukar kepada perhiasan yang cantik dan menambah seri wajah wanita.

“Kancing baju atau lebih dikenali dengan panggilan kerongsang yang digunakan ketika memakai baju kebaya labuh atau kebaya pendek sudah terkenal dalam kalangan wanita sejak berkurun lalu. Beberapa kerongsang dipakai untuk mencantumkan baju mereka supaya tidak terdedah.

“Kerongsang ini dipakai dalam bentuk set tiga biji yang sama bentuknya atau berlainan, tetapi yang seragam motifnya iaitu dua biji bulat sama besar dan satu lagi kerongsang ibu yang berbentuk hati yang disematkan di bahagian atas sekali.

“Satu lagi keistimewaan kerongsang yang seumpama ini ialah ia dapat memaparkan keindahan seni reka tukang emas zaman dulu yang unggul dan halus. Ada pula kerongsang yang bertatah permata yang beraneka warna dan semuanya menambahkan seri pada pakaian tradisional seperti baju kebaya,” katanya.

Sejak zaman dulu, perhiasan diri dianggap sebagai lambang atau kedudukan di dalam sesebuah masyarakat. Namun pada hari ini, tanggapan mengenai simbol status atau kekuasaan seseorang tidak lagi diambil kira kerana semua golongan mampu untuk memiliki barang perhiasan diri mengikut cita rasa dan perkembangan aliran fesyen terbaru.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 September 2019 @ 8:40 AM