Penghasilan minyak wangi Sugarbomb.
Oleh Zaitie Satibi


Menyedari pemakaian minyak wangi semakin menjadi keperluan dalam gaya hidup masa kini, ia mendorong seorang anak muda menceburi perniagaan minyak wangi, sekali gus meneroka pasaran tempatan dalam bidang berkenaan dua tahun lalu.

Bermodalkan wang simpanan sendiri kira-kira RM15,000, Ahmad Azhari Rosli, mengeluarkan produk haruman itu dengan jenama SugarBomb yang diyakini dapat memikat hati pengguna. Pada peringkat awal, beliau beroperasi dengan tiga kakitangan dan pengeluaran pertama adalah sebanyak 500 unit sahaja.

Minyak wangi yang diformulasi sendiri itu semakin dikenali dan dalam tempoh setahun operasi, beliau mengorak langkah membuka kilang di Setia Alam, Selangor.

SugarBomb kemudian menyaksikan perkembangan yang begitu pantas, malah permintaan yang tinggi dari seluruh negara membolehkan kilang mampu menghasilkan 10,000 unit sehari.

Kini, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Sugarbomb itu boleh berbangga dengan syarikatnya yang beribu pejabat di Klang, Selangor dan beroperasi dengan kekuatan 58 kakitangan di bawah pengurusan Infinite Opportunities Sdn Bhd.

Pengurus Besar SugarBomb Worldwide Sdn Bhd, Kanumbu Agussalim berkata, kekuatan jenama minyak wangi ini terletak pada kawalan kualiti daripada semua aspek bermula dari bancuhan pati sehingga siap dipek ke dalam kotak.

“Kami mempunyai penasihat pakar kimia dari Universiti Sains Islam (USIM) yang dengan teliti memantau campuran dan pengeluaran SugarBomb bagi memastikan setiap produk mencapai piawaian kelas dunia dan pengiktirafan antarabangsa.

“Malah, lebih 50 jenis wangian yang dihasilkan menjalani proses penyelidikan dan pembangunan (R&D) terlebih dulu sebelum boleh dikeluarkan. Kami juga menggunakan pati minyak wangi berasaskan bunga dan buah-buahan berkualiti tinggi yang diimport dari Switzerland.

“Bagi meningkatkan keyakinan pengguna terhadap produk, kilang kami sudah mendapat status Amalan Pengilangan Baik (GMP) sejak Julai lalu dan kini kami dalam proses mendapatkan persijilan halal,” katanya.

Kanumbu berkata, keistimewaan SugarBomb apabila pengguna tidak perlu berbelanja lebih dan boleh berjimat berikutan harga minyak wangi jenama ini jauh lebih berpatutan dan kualitinya sama seperti yang mahal.

Didatangkan dengan dua isian iaitu 30 mililiter (ml) berharga hanya RM35, pula berharga RM15, manakala haruman ‘indoor’ (untuk kenderaan, bilik, almari) dengan harga RM10.

Wangian badan diperkenalkan juga sememangnya wangi, tahan lama pada pakaian sehingga 48 jam dan yang paling penting boleh dibawa solat.

“Sehingga kini, kami mempunyai 5,000 pengedar berdaftar di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak. Malah, SugarBomb juga sudah menembusi pasaran Singapura dan Brunei serta mempunyai ejen di negara berkenaan.

“Bagi mengukuhkan pemasaran, kami wujudkan platform khas yang melengkapkan semua ejen dengan ilmu keusahawanan. Kami sediakan kelas yang akan memberi pendedahan kepada mereka berkaitan pengetahuan produk, bagaimana menjual dan memasarkan produk.

“Pertemuan dengan rakan kongsi eksklusif turut diadakan dalam sesi sumbang saran untuk perancang tahunan, di samping penganjuran kem yang mendedahkan mereka kepada mentaliti perniagaan, sikap posititf, kemahiran komunikasi dan kepimpinan,” katanya.

Katanya, semua ejen mendapat input terus Ahmad Azhari sendiri yang turun padang untuk berkongsi ilmu dan pengalaman, malah tidak segan silu menceritakan keperitan memulakan perniagaan dari bawah.

“Ahmad Azhari adalah lulusan kejuruteraan aeronautikal dari United Kingdom itu tidak mematahkan semangatnya dan beliau melakukan pelbagai pekerjaan untuk menyara diri sehingga tekad untuk menceburi industri minyak wangi. Kecekalannya dijadikan inspirasi kepada ejen untuk menyerlahkan diri dalam menjana ekonomi masing-masing,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 September 2019 @ 9:25 AM