PESERTA bengkel dan pertandingan seni kopi bergambar kenangan.
Oleh Helmy Abd Rahman


DIKHABARKAN pada 850 Masihi, seorang pengembala kambing di Ethiopia bernama Kaldi (ada yang mengatakan Khalid) kehairanan melihat kambing peliharaannya menunjukkan keaktifan luar biasa sebaik memakan sejenis buah beri di dalam semak. Dia kemudian memakan sendiri buah itu dan tiba-tiba menjadi aktif dan teruja namun tidak dapat tidur pada malam harinya.

Keesokan harinya Kaldi membawa buah itu kepada agamawan atau ahli sufi di kampungnya dan menceritakan apa yang berlaku, namun agamawan berkenaan membaling buah itu ke dalam api.

Ajaibnya, sebaik dibakar, buah berkenaan mengeluarkan aroma amat harum menyebabkan agamawan terbabit mengambil biji kopi itu sebelum menghancurkannya dan diletakkan dalam air panas lalu terhasil air kopi pertama di dunia.

Minuman yang baru ditemui itu kemudian menjadi kegemaran ahli sufi kerana dikatakan membuatkan mereka lebih senang memberi tumpuan ketika mengulangkaji kitab agama.

Kemasyhuran kopi yang dilabel minuman ajaib kemudian mula menjadi kegemaran di dunia Arab sebelum tersebar ke seluruh dunia.

Hari ini, kopi menjadi antara minuman paling digemari masyarakat dunia dengan dianggarkan tiga bilion cawan diminum setiap hari malah angka ini menunjukkan peningkatan.


ANTARA karya lukisan kopi yang dihasilkan.

Tanggal 1 Oktober setiap tahun yang dipilih sebagai Hari Kopi Sedunia oleh Pertubuhan Kopi Antarabangsa menjadi tarikh penting bagi peminat kopi yang menyambutnya di segenap pelosok dunia.

Di Malaysia tidak terkecuali apabila penyedia dan kedai kopi menawarkan bermacam-macam promosi sempena menyambut Hari Kopi Sedunia.

Bagi pusat beli-belah The Linc KL, sambutan Hari Kopi Sedunia tahun ini unik apabila pihak pengurusannya menganjurkan bengkel dan pertandingan lukisan seni kopi.

Eksekutif Kanan (Pemasaran dan Promosi) PPB Poperty Development Sdn Bhd (syarikat yang menguruskan The Linc KL), Frennie Boey berkata, pihaknya memilih untuk menyambut Hari Kopi Sedunia dengan cara berbeza bagi merancakkan kemeriahannya.

“Kami menyambut Hari Kopi Sedunia dengan cara kreatif iaitu di atas kanvas atau dengan kata lain, menjadikan kopi sebagai seni.

“Untuk bengkel seni, kami menjemput beberapa seniman menjadi tenaga pengajar sebelum mereka diminta menghakimi pertandingan lukisan seni kopi yang diadakan selepas itu.

“Seramai lapan peserta mengambil bahagian dengan hadiah tempat pertama jatuh kepada Jackie Chua yang memenangi baucar beli-belah di The Linc KL bernilai RM200, kedua Goh Xinyi Joey (baucar bernilai RM150) dan ketiga Nur Iman Mohamad Shukri (baucar bernilai RM100),” jelasnya.

Menurutnya, acara seumpama itu akan terus dianjurkan pusat beli-belah berkenaan dari semasa ke semasa.


SEBAHAGIAN peserta khusyuk melukis karya masing-masing.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Oktober 2019 @ 11:08 AM