LIM (empat dari kanan) bersama Ismail (tiga dari kanan) ketika perasmian Hari beras 2019.
Oleh Nurul Husna Mahmud


Beras atau nasi ialah makanan ruji bukan saja di Malaysia malah rantau Asia kerana ia membekalkan tenaga seharian selain mempunyai khasiat penting untuk keperluan badan.

Jasmine Food Corporation sekali lagi pada tahun ini mengambil inisiatif menganjurkan Hari Beras 2019 dengan tema ‘HealthyRicestyle’ untuk memberi maklumat tepat selain berkongsi panduan mengenai pilihan hidangan nasi sihat dalam diet di North Court, IOI Mall Puchong, Selangor, baru-baru ini.

Program Hari Beras 2019 yang berlangsung selama lima hari itu membabitkan pelbagai pengisian termasuk pameran varieti beras sihat, demonstrasi memasak daripada cef selebriti, pemeriksaan kesihatan percuma, rancangan bual bicara khas dan bengkel memasak disediakan kepada pengunjung.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Jasmine Food Corporation, Lim Swee Keat, pihaknya sentiasa berusaha meningkatkan tahap kesedaran pengguna Malaysia berhubung faedah beras yang sihat.

“Melalui acara ini, kami menumpukan perhatian kepada pengguna untuk membina tabiat sihat di samping menghapuskan tanggapan biasa yang salah bahawa nasi punca masalah kesihatan.

“Sebagai peneraju, kami mewujudkan program khusus kepada orang ramai agar mereka dapat memilih varieti hidangan nasi yang tepat demi kesihatan,” katanya.

Dalam pameran berkenaan, pengunjung bukan hanya dapat mengetahui semua jenis beras berkualiti daripada Jasmine malah dapat menikmatinya sendiri. Ini termasuk Jasmine Royal Pusa Gold dan PusaCream yang memenangi anugerah, NutriRice (ThaiRed dan Blackberry) dan beras perang, selain beras wangi serta beras tempatan.

Kata Lim, pihaknya sentiasa menekankan pilihan produk beras berkualiti terutama varieti beras sihat dalam usaha menyokong gaya hidup masyarakat supaya kekal sihat.

“Kajian saintifik membuktikan nasi bukanlah punca utama penyakit kardiovaskular seperti diabetes.

“Bagaimanapun, pesakit diabetes perlu memberi tumpuan pada diet dan gaya hidup yang seimbang, menekankan varieti beras khusus yang mempunyai skor glisemik (GI) rendah, rendah kalori, tanpa kolesterol dan tinggi dengan vitamin serta mineral,” katanya.

Dalam program itu pihaknya turut meraikan pengunjung dengan pelbagai aktiviti menekankan mengenai gaya hidup sihat termasuk ceramah berkaitan kesihatan oleh Pusat Darah Negara & Hospital Tung Shin.

Sementara itu Pengarah Urusan Bernas, Ismail Mohamed Yusof yang hadir merasmikan Hari Beras 2019 menyokong usaha murni Jasmine selaku jenama beras dipercayai selama 15 tahun berturut-turut terus menganjurkan kempen kesedaran bersama pelanggan tempatan.

“Mengenai hidangan nasi, saya kongsikan satu pencapaian daripada menu tradisi kita iaitu nasi lemak dinobatkan antara 10 sarapan paling sihat di dunia oleh TIME Magazine. Oleh itu, hidangan nasi ini masih relevan dalam diet seharian apabila diambil dalam setiap waktu makan penting pada waktu pagi, tengah hari mahupun malam.

“Dengan purata 80 kilogram beras per kapita setiap tahun oleh pengguna di Malaysia, kita melihatnya sebagai usaha Bernas untuk terus mengembangkan pilihan beras varieti sihat. Kalau 10 tahun lalu kita mengimport 80 jenis varieti beras dan sekarang sudah ada 160 beras mengikut keperluan, rasa dan tahap kesihatan pengguna.

“Jadi apatah lagi dengan usaha seperti dilakukan Jasmine dan rakan kolaborasi iaitu Tefal Malaysia boleh memberi panduan wajar mengenai pengambilan nasi dengan seimbang untuk kesihatan pengguna,” katanya.

Dalam kempen itu juga, Jasmine tidak lupa menghadiahkan setiap 500 gram beras kepada pengunjung cilik yang menyempurnakan cabaran pendidikan kanak-kanak selain pengunjung yang menderma darah di lokasi berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Oktober 2019 @ 9:05 AM