ZAINAB bersama bahan yang diperlukan untuk membuat sambal tempoyak daun kayu.
Oleh Amran Yahya


Sambal tempoyak daun kayu antara makanan klasik dan tradisi masyarakat Negeri Sembilan.

Walaupun ramai pernah merasai sambal ini, tidak ramai yang tahu bagaimana sambal ini dihasilkan dan apakah bahan diperlukan.

Menurut Zainab Jamil, 72, sambal tempoyak daun kayu unik kerana ia memerlukan beberapa hari untuk membuatnya.

“Keunikannya adalah kerana ia makanan turun-temurun masyarakat Negeri Sembilan selain membabitkan ramuan tempoyak dan 99 jenis daun kayu.

“Disebabkan 99 jenis daun kayu itulah ia tidak boleh disediakan dalam tempoh sehari kerana perlukan masa untuk mencari daun kayu dan ramuannya sama ada di kawasan rumah, pinggir hutan mahupun dalam hutan,” katanya.

Zainab yang juga ibu soko suku Selemak Pahang itu berkata, 99 jenis daun kayu itu bukanlah bermaksud dimasak sekali gus, tetapi jenis daun kayu yang boleh digunakan.

“Bagaimanapun, faktor peredaran zaman menyebabkan daun kayu ini semakin sukar didapati dan hanya ada beberapa jenis daun yang masih popular digunakan.

“Antaranya daun kunyit, daun mangun, pucuk ubi, daun lidah kerbau, daun kaduk, daun mambul, pucuk labu, pucuk cengkering dan pucuk rambai.

“Bagi menambah keenakan sambal ini, campurannya pula adalah tempoyak, petai, santan, cili api, ikan bilis, kunyit, asam dan garam serta daun herba yang sudah pasti banyak khasiat untuk kesihatan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bukit Perah, Tanjung Ipoh ketika mengadakan demonstrasi masakan sambal tempoyak daun itu, baru-baru ini.

Kata Zainab, sebagai langkah penyediaan, semua daun kayu ini dihiris halus seperti membuat bunga rampai.

“Cili api, kunyit hidup dan serai ditumbuk menggunakan lesung batu kemudian disatukan bersama santan, ikan bilis, tempoyak serta daun kayu yang sudah dihiris tadi.

“Untuk mendapatkan aroma dan rasa yang enak hendaklah dimasak menggunakan kayu api. Apabila campuran pekat, masukkan petai dan garam secukupnya.

“Kemudian sambal tempoyak daun kayu siap untuk dihidangkan dan lebih enak jika dimakan bersama nasi panas,” katanya.

Dia mengakui, resipi ini adalah turun-temurun daripada arwah ibunya.

“Kini saya wariskan pula masakan ini kepada empat anak yang juga mahir membuat sambal ini.

“Saya berharap generasi muda dapat mempelajari masakan ini supaya ia tidak dilupai,” katanya.

Sementara itu, Dayang Noyah Nayan, 56, dari Bandar Sri Begawan, Brunei ketika ditemui berkata, dia mengetahui sambal tempoyak daun kayu ini daripada seorang rakan di Seremban.

“Hari ini saya amat bertuah kerana dapat menyaksikan cara menyediakan sambal ini dan dapat merasai keenakannya sambil makan bersama penduduk kampung.

“Penyediaan bahannya memakan masa, tetapi memasaknya hanya masa kira-kira 30 minit dan boleh dihidangkan terus,” katanya.


SAMBAL tempoyak daun kayu siap dihidangkan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Oktober 2019 @ 10:30 AM