Winky (tiga dari kiri) bersama Adibah Noor (tiga dari kiri) ketika membuat cabutan.
Oleh Hamizah Badiran


“Ini dikatakan rezeki terpijak dan hadiah hari lahir saya yang bakal disambut bulan hadapan,” kata Ng Chye, 52, pemenang cabutan bertuah hadiah utama kereta Perodua Aruz sempena ulang tahun The Store ke-51, ‘Anniversary Gift Away.’

Pesara dari Ipoh, Perak itu tidak menyangka mampu memenangi kereta percuma yang berharga puluhan ribu ringgit.

“Ketika dihubungi dan diumumkan sebagai pemenang utama, saya terkejut kerana ia seperti mimpi.

“Tambah pula ini kali pertama saya memenangi hadiah cabutan bertuah apatah lagi yang menawarkan sebuah kereta.

“Syukur pada Tuhan dan terima kasih pada Kumpulan The Store kerana mencabut borang penyertaan saya,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Tempat kedua dan ketiga yang membawa pulang Proton Iriz pula dimenangi Mohammad Nazri Osman, 49, dari Kulim, Kedah dan Hartini Mat Husin, 40, dari Taiping.

Seramai 20 pemenang sagu hati pula menerima baucar hadiah bernilai RM500 setiap seorang.

Semua nama pemenang itu diumumkan pada majlis khas cabutan bertuah yang dilaksanakan Duta Kumpulan The Store, Adibah Noor, Pengurus Besar Kanan Operasi Kumpulan The Store, Winky Pek, Pengurus Besar Kumpulan The Store (Bahagian Softline, Hardline & Brand DEV), Lim Kok Soon serta Pengurus Besar Kumpulan The Store (Bahagian Pasaraya), Mark Loo Soon Hock.

Peraduan yang berlangsung dari Mei hingga Ogos lalu itu menawarkan hadiah RM500,000 dan ia mendapat sambutan menggalakkan apabila menerima lebih 300,000 penyertaan sepanjang tempoh peraduan.

Sementara itu, turut diadakan pada majlis sama adalah penyampaian replika cek untuk Program Bantuan Makanan Yayasan MyKasih yang berjaya mengumpul sumbangan sebanyak RM85,000.

Replika cek itu disampaikan kepada Timbalan Yayasan MyKasih, Jeffrey Perera oleh Winky.

Tidak ketinggalan, Peraduan Fotogenik ‘Cute Baby 2019’ yang dianjurkan dari Julai hingga Ogos lalu turut menemui pemenangnya selepas Tan Yo Ming dinobatkan sebagai juara dan membawa pulang baucar hadiah bernilai RM8,000, hamper serta piala.

Kumpulan The Store juga memperkenalkan program penebusan terbaharunya, ‘Pisau Tahan Karat Gorme’ eksklusif untuk pelanggan The Store dan Pasific yang berlangsung mulai 1 November 2019 hingga 31 Januari tahun depan.

Terdapat lima produk Gorme untuk ditebus termasuk empat pisau dan satu bekas kaca borosilikat.

Pelanggan hanya perlu membuat pembelian RM30 dalam satu resit untuk mendapat satu pelekat dan menebus satu daripada produk itu pada harga istimewa, sekali gus menikmati penjimatan sehingga 80 peratus.

Khas untuk ahli kad The Store mahupun Pasific, mereka hanya perlu mengumpul dua pelekat untuk membolehkan mendapat semua lima unit produk Gorme.

Bagi bukan ahli pula, mereka perlu mengumpul empat pelekat untuk menebus set lengkap produk berkenaan.

Lawati www.tstore.com.my atau Facebook TheStoreMalaysia/PacificMalaysia untuk maklumat lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 November 2019 @ 10:30 AM