MOHD Nasri (tiga dari kanan), Lokman dan Dr Mohd Fozi melawat pameran.
Hamizah Badiran


BERKONSEPKAN Cabaran Digital, Petron Malaysia menggunakan pendekatan menyeronokkan, menarik dan interaktif bagi penganjuran Program Keselamatan Jalan Raya Petron 2019 untuk 11 universiti tempatan.

Menerusi Cabaran Digital itu, penuntut universiti akan bersaing menyelesaikan kuiz keselamatan jalan raya dan elemen berkaitan keselamatan termasuk pemanduan berhemah.

Ketua Korporat Keselamatan, Sekuriti, Kesihatan dan Alam Sekitar Petron Malaysia, Lokman Hani berkata, konsep Cabaran Digital yang membabitkan permainan dalam talian melalui laman web rasmi syarikat dipilih bertepatan dengan selera dan trend anak muda terkini.

“Menerusi permainan dalam talian ini, tahap pengetahuan peserta mengenai keselamatan jalan raya, penjagaan dan penyelenggaraan kenderaan, peraturan lalu lintas serta sebagainya akan diuji.

“Penyertaan terbuka kepada semua penuntut mulai 12 November hingga 8 Disember depan. Pemenang yang diumumkan menerusi media sosial Petron Malaysia akan membawa pulang pelbagai hadiah menarik.

“Kami percaya, keselamatan di jalan raya adalah tanggungjawab semua pihak dan melalui platform dalam talian seperti ini, kami dapat menjemput lebih banyak institusi pengajian tinggi dan peserta menyertai inisiatif keselamatan di jalan raya,” katanya pada sidang media selepas majlis perasmian program itu di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Puncak Alam, Kuala Selangor.


MOHD Nasri mencuba simulasi perlumbaan basikal.

Program itu dirasmikan Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Mohd Nasri Ishak dan hadir sama ialah Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) UiTM, Profesor Dr Mohd Fozi Ali, Rektor UiTM Cawangan Selangor, Profesor Datuk Dr Abu Bakar Abdul Majeed dan Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor, Nazli Md Taib.

Program kesedaran hasil kerjasama dengan JKJR, JPJ, BOSCH Automotive Aftermarket, Pusat Latihan M

emandu Shah Bandar, Nestle dan Yeo’s itu disasarkan kepada 6,000 penuntut universiti terpilih.

Universiti itu adalah Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur, Universiti

Tenaga Malaysia (UNITEN), UiTM Puncak Perdana, UiTM Shah Alam, Kolej Universiti Poly-Tech MARA, Kolej Poly-Tech MARA, SEGI University & Colleges, Dasein Academy of Art, Saito University College dan UiTM Puncak Alam.

Mohd Nasri pula berkata, objektif penganjuran itu amat baik di mana memberi pendedahan dan meningkatkan kesedaran penuntut mengenai kepentingan keselamatan di jalan raya.

“Program keselamatan jalan raya Petron adalah selaras dengan objektif United Nations Decade of Action for Road Safety 2011-2020. Ia juga inovasi dan inisiatif terbaru Petron dalam usaha mempelbagaikan kempen keselamatan di jalan raya khususnya buat anak-anak muda pada hari ini.

“Saya mohon semua orang supaya berwaspada di jalan raya. Ini kerana, menurut laporan perangkaan punca utama kematian di Malaysia pada tahun lalu, kematian akibat kemalangan jalan raya menduduki tangga keempat dengan 3.7 peratus selepas penyakit jantung iskemik, pneumonia dan serebrivaskular.

“Remaja berumur 16 hingga 25 tahun dan penunggang motosikal pula direkodkan paling ramai terbabit kemalangan jalan raya,” katanya.

Program Keselamatan Jalan Raya Petron yang mula diperkenalkan sejak 2013 membabitkan lebih 15,000 penuntut.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 November 2019 @ 8:41 AM