SAMSUDIN bersama pengunjung bertuah menerima karya beliau ketika hari pembukaan pameran.
KARYA Juhari, Kerbau Betina.
JUHARI (kiri) bersama pemenang cabutan bertuah Cheong Tuck Wai sambil diperhatikan Bayu Utomo.
Nurul Husna Mahmud


SENI cetakan mungkin bukan seni yang biasa didengari sedangkan ia mempunyai nilai estetika sendiri apabila pengkarya menampilkan ‘personaliti’ dan gaya tersendiri membuatkan karya dihasilkan kelihatan lebih istimewa.

Meskipun ia mempunyai ‘acuan’ ataupun ‘tekapan’ tersendiri tetapi seni karya itu bukan tiruan,

tetapi mempunyai ciri aslinya apabila menampilkan elemen teraan iaitu bermaksud karya itu dihasilkan dari satu permukaan asli tunggal.

Namun medium digunakan mungkin pelbagai dalam menghasilkan karya cetakan ini baik plat logam, biasanya tembaga atau zink untuk turisan atau goresan, batu untuk litografi, blok kayu untuk toreh kayu, linoleum untuk torehan lino dan plat fabrik untuk percetakan skrin.

Kepelbagaian itu boleh dilihat seperti pada karya Chetak 12 dalam pameran Edisi Kedua yang berlangsung di HOM Art Trans Kuala Lumpur yang menampilkan kombinasi karya artis senior Malaysia dan pendatang baru dari kalangan artis antarabangsa, baru-baru ini.

Chetak 12 ini digerakkan karyawan seni kontemporari iaitu Bayu Utomo Radjikin, Samsudin Wahab dan Faizal Suhif sebagai platform untuk artis genre ini berkembang dengan karya masing-masing.

[gn4id:19438737]

Menurut Bayu Utomo seperti seni arus perdana lain, karya seni cetakan mempunyai peminat tersendiri dan dengan adanya pameran serta gerakan seperti Chetak 12 memberi peluang kepada umum mengenalinya secara dekat.

“Chetak 12 ditubuhkan bagi menjadi tempat di mana seni cetak ini dipelihara dan juga mempertingkatkan pemahaman orang ramai mengenai teknik seni cetak ini melalui bengkel yang dianjurkan.

“Selain itu bagi seniman pula, Chetak 12 yang mempunyai studio khusus bagi penggiat seni ini semestinya mereka mempunyai tempat untuk berkarya dan menjadi ruang untuk diskusi kepada artis baru serta insitusi berkaitan dengan seni cetak ini.

“Seperti dalam pameran Edisi Kedua yang menampilkan keunikan karya artis berpengalaman seperti Long Thien Shih, Juhari Said dan Rahman Mohamed, tidak lupa juga rakan artis dari Filipina dan Indonesia yang turut sama menyertai kami dalam program khas selama sebulan dalam perkongsian mengenai seni cetakan ini,” katanya.

[gn4id:19438742]

Dalam pameran berkenaan pengunjung dapat menyaksikan sendiri karya artis seni cetak tersohor tempatan seperti Long Thien Shih menerusi Pisang Series. Karya menggunakan teknik ‘etsa’ dan ‘akuatin’ menggambarkan dalam bentuk bulat dengan ‘sisir’ pisang berada di tengah pusat dan daun pisang di bahagian bawah daripada plat.

Ini adalah ekspresi artis berkenaan terhadap isu alam sekitar dan berkait dengan kepelbagaian biologi serta pemeliharaan alam semula terutama isu membabitkan teknologi pengubahsuaian genetik organisma (GMO) dalam makanan.

Ia kesinambungan daripada karya warna air yang bertajuk How Many More Will It Take? pada 2011. Selain artis, Juhari tampil bersama karya bertajuk Kerbau Jantan dan Kerbau Betina.

Tidak ketinggalan karya ‘Raut Wajah’, Bayu Utomo Radjikin dicipta dari plat yang digunakan untuk menghasilkan kesan bertindih dalam setiap potret. Manakala Samsudin Wahab menggunakan teknik ‘etsa’ dan ‘akuantin’ dalam karya Cinta Balada sementara Faizal Suhif dengan teknik Chine-collÈ untuk menghasilkan karya inspirasi alam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 November 2019 @ 9:03 AM