SHAHRIL (dua dari kiri), Pengerusi Maybank dan Yayasan Maybank, Datuk Mohaiyani Shamsudin (empat dari kanan) serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank, Datuk Abdul Farid Alias (kanan) pada majlis pelancaran program RISE 2.0 di Manila, baru-baru ini.
Oleh Sofyan Rizal Ishak


‘Reach Independence & Sustainable Entrepreneurship’ atau lebih dikenali sebagai RISE yang kini memasuki fasa kedua adalah program pemerkasaan ekonomi lima tahun yang diwujudkan bagi menyokong komuniti kurang bernasib baik terutama golongan orang kurang upaya (OKU).

Malah ia sebuah program tanggungjawab sosial korporat (CSR) anjuran Yayasan Maybank yang dilancarkan di Manila, Filipina, baru-baru ini.

Secara khususnya, program ini diwujud bagi membantu OKU menceburi bidang keusahawanan, membuka perniagaan dan menjadikan ekonomi mereka lebih bebas dan terangkum kewangan.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Maybank, Shahril Azuar Jimin berkata, tiada program CSR di peringkat serantau melaksanakan konsep seperti RISE yang dibangunkan tanpa membabitkan sebarang bentuk kewangan.

“Apa yang kami lakukan adalah membina kapasiti mereka dengan latihan dan tunjuk ajar bagi membolehkan golongan itu meraih pendapatan lebih baik secara mampan sebelum berupaya memohon pembiayaan atas kapasiti mereka sendiri untuk memperkembangkan perniagaan masing-masing,” katanya.

Beliau berkata, program terbabit memiliki pendekatan berbeza apabila ia mula dibangunkan di Malaysia sebagai projek rintis pada 2014 disertai 280 individu yang mengikuti latihan selama tiga hari diikuti tunjuk ajar dalam tempoh tiga hingga enam bulan.

Menurutnya, Yayasan Maybank amat ‘terkejut’ kerana program itu mencatatkan hasil amat baik dengan peningkatan pendapatan 411 peratus dalam kalangan 40 peratus daripada golongan sasaran ini.

“Selepas itu, kami memperluaskan program ini kepada 1,800 individu membabitkan 1,400 penyertaan di Malaysia dan masing-masing 400 individu di Indonesia serta Filipina.

“Kami mengakhiri fasa pertama lima tahun program ini dengan baik apabila ia membantu 6,400 penerima manfaat dari empat negara ini dengan 40 peratus daripada mereka mencatatkan peningkatan pendapatan 390 peratus.


PESERTA RISE dari Medan, Sogimin menjalankan perniagaan pengumpulan sampah.

Shahril berkata, program RISE 2.0 itu disasarkan untuk mencapai 17,100 individu dalam tempoh lima tahun akan datang di empat negara sedia ada dan tambahan dua negara baharu serantau iaitu Myanmar serta Singapura.

Mohd Afiq Barni, individu OKU tempatan kini menjalankan perniagaan peralatan pemanduan untuk golongan OKU dengan purata pendapatan RM20,000 sebulan.

Sebelum menyertai program RISE, Afiq menjalankan perniagaan kedai makanan apabila dia hanya mampu mencapai pendapatan kira-kira RM3,000 sebulan.

Dia yang lumpuh dari pinggang ke bawah itu berkata, berkat penyertaan dalam program berkenaan membantunya untuk meningkatkan perniagaan kedai makanannya.

Bagaimanapun, dia mengambil keputusan menceburi perniagaan peralatan pemanduan bagi OKU kerana minat dan latar belakangnya dalam bidang rekaan.

Usahawan dari Indonesia, Darwin Sidi Aldaud pula berkata, dia mengambil keputusan menyertai RISE kerana ingin mencuba dan mengetahui mengenai pengisian program terbabit.

“Sebelum ini, saya berjaya memperoleh pendapatan sekitar 1 hingga 2 juta rupiah (RM295 hingga RM592) melalui perniagaan mi ayam, namun kini meningkat kepada 20 hingga 24 juta rupiah (RM5,915 hingga RM7,098) melalui perniagaan bengkel membaiki motosikal,” katanya.

Sementara itu, usahawan dari Filipina, Jefrey Ebad berkata, penyertaan dalam program itu disebabkan keinginannya untuk mendapatkan ilmu pengetahuan demi meningkatkan perniagaannya.

“Saya kini mencatatkan pendapatan 35,000 peso (RM2,734) berbanding 2,500 peso (RM195) dan berpuas hati serta berharap akan mempertingkatkan lagi perniagaan ini. Pada masa sama, memberi manfaat dan keuntungan kepada semua orang,” katanya yang mengalami kecacatan berikutan kemalangan.


ZULKIFLI dari Johor melakukan perniagaaan roti canai.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 November 2019 @ 11:29 AM