ANTARA karya pernah dipamerkan di Balai Seni Negara.
ANTARA karya pernah dipamerkan di Balai Seni Negara.
Helmy Abd Rahman


MELAWAT galeri atau muzium seni adalah cara terbaik seandainya anda ingin memahami seni. Untuk mengoptimumkan lawatan anda, sebaik-baiknya buat perancangan awal terlebih dulu dan jangan segan bertanya kakitangan galeri yang anda lawati.

Luangkan masa memerhatikan karya yang ‘bercakap’ dengan anda supaya dapat pengalaman bermakna dan menikmati lawatan anda di galeri seni. Selesai lawatan, anda boleh berkongsi pengalaman dengan rakan atau selidik mengenai karya yang anda minati menerusi dalam talian.

Secara tidak langsung, anda boleh belajar atau tahu lebih banyak karya dihasilkan seniman berkenaan.

Berikut disenaraikan lima perkara yang elok untuk anda amalkan sekiranya bercadang mengunjungi galeri seni:

1. Buat carian maklumat di Internet mengenai galeri seni berhampiran anda

Lawati laman web setiap galeri untuk menentukan yang mana paling sesuai dan menepati cita rasa anda. Sekiranya anda berada di tempat orang, tentukan lokasi dan selidiki galeri atau muzium seni di tempat itu atau paling mudah, pergi saja ke galeri paling terkenal.

BALAI Seni Negara dahulu (kiri) dan sekarang.
BALAI Seni Negara dahulu (kiri) dan sekarang.

2. Tanya kakitangan galeri mengenai polisi fotografi sebelum mengambil gambar

Kebanyakan galeri seni tidak membenarkan pengunjung mengambil gambar dan jika ada yang benarkan, selalunya anda diarahkan tak memasang ‘flash’ untuk memelihara karya. Bagaimanapun, pastikan anda tahu dan faham dasar galeri dilawati atau tanya terus kepada pemilik atau kakitangan galeri.

3. Imbas ruang pameran untuk mencari karya yang menarik minat anda

Selalunya kebanyakan pengunjung bermula di sebelah kanan atau kiri pintu dan cuba melihat semua karya. Anda tak mampu melihat semuanya. Sekecil-kecil galeri pun ada terlalu banyak maklumat yang perlu diproses minda. Tidak perlu memaksa diri untuk lihat dan hafal semua karya dipamerkan.

4. Perhatikan sebentar karya tanpa buat penilaian

Tidak perlu fikir sama ada karya dilihat itu baik atau sebaliknya. Pandang saja, ambil masa, baca label lihat semula karya itu. Sekiranya ia karya lukisan naratif, cuba lihat dan apa hendak disampaikan dan jika potret, lihat lukisan wajah berkenaan dan teka apa perasaannya. Untuk karya abstrak pula, lihat tekstur, warna atau bentuknya yang anda mungkin terlepas pandang ketika mula-mula memerhatikannya.

5. Jangan sentuh apa-apa

Beberapa bulan lalu sebuah karya yang dipamerkan di Balai Seni Visual Negara untuk anugerah Bakat Muda Sezaman dirosakkan selepas ada pengunjung duduk di atas karya berkenaan untuk berswafoto. Jangan sesekali lakukan perkara bodoh seperti itu. Dengan sedikit sentuhan saja mampu merosakkan karya terutama yang sudah berzaman dihasilkan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Disember 2019 @ 9:28 AM