AZMI Azhar menunjukkan cara pembuatan keris bermula kerja membakar besi.
AZMI Azhar menunjukkan cara pembuatan keris bermula kerja membakar besi.
Helmy Abd Rahman


MENGIKUT legenda, keris Taming Sari yang pernah dimiliki Hang Tuah, mampu menjadikan pemiliknya kebal dan berupaya berlegar di udara mengejar musuh. Itu sebahagian daripada kehebatan keris yang pernah diceritakan.

Tidak kira benar atau hanya mitos, keris sememangnya sinonim dengan tamadun masyarakat Melayu, malah dikatakan wujud lebih 500 tahun sebelum kedatangan agama Hindu dan kemudian Islam di Nusantara. Ia disifatkan senjata orang Melayu terulung dan kerap kali dikaitkan dengan pelbagai elemen mistik serta misteri, sama ada dalam pembuatan atau kemampuannya.

Selama ribuan tahun senjata ini mendominasi medan pertarungan di negara sebelah rantau Asia Tenggara ini.

Rupa bumi di Nusantara satu ketika dahulu yang penuh dengan pokok besar, menjadikan keris senjata yang praktikal digunakan berbanding pedang.

Selain itu, saiz keris yang kecil dan ringan memudahkan senjata ini dibawa ke sana ke mari serta senang disorok.

Kini keris hanya digunakan pada majlis kebesaran masyarakat Melayu atau sebagai perhiasan.

Namun, ia tidaklah bermakna senjata ini dipinggirkan, malah masih mendapat banyak permintaan.

Masih ada pembuat atau penempa keris boleh ditemui di beberapa tempat di negara ini antaranya Datuk Azmi Azhar Ahmad, anak kelahiran Raub, Pahang yang kini menetap di Kuala Kubu Bharu, Selangor.

SELAIN senjata, Azmi Azhar mahir membuat batu cincin dan turut menjual pelbagai jenis kayu hutan untuk pelbagai tujuan.
SELAIN senjata, Azmi Azhar mahir membuat batu cincin dan turut menjual pelbagai jenis kayu hutan untuk pelbagai tujuan.

“Saya mahir dalam pembuatan keris, pedang, parang dan pisau selain batu permata sejak 15 tahun lalu. Jika nak dihitung, sudah ratusan atau mungkin mencecah ribuan bilah keris sudah saya tempa dan jual.

“Bahagian keris ada banyak iaitu bilah, ganja, belalai, aring dan cicak, namun itu sebahagian saja serta bergantung kepada jenis bilah keris juga. Bahan pula perlu besi tawo, besi baja dan jenis besi lain yang terpilih.

“Antara peralatan digunakan membuatnya pula ialah tukul besim ragum, besi pelapik untuk menempa, dapur pembakar besi dan beberapa lagi manakala jenis keris terlalu banyak jika nak dinyatakan Antaranya melela, pandai saras, sepukal, bugis, jarum sepucuk dan unduk-unduk.

“Kebiasaannya ramai yang datang tempah dengan saya keris sepukal dan bertulang belut manakala dari segi harga, saya pernah menjual keris pada harga mencecah ribuan ringgit,” katanya.

Mengagumkan ketika melihat cara dan gaya lelaki berusia 49 tahun ini menempa keris. Mulutnya kelihatan kumat-kamit membaca sesuatu dan sebaik tukul besi menghentam bilah keris yang masih merah berbara, terpercik bunga api yang bagi penulis kelihatan agak ‘hipnotik’.

AZMI Azhar juga mahir membuat pelbagai jenis senjata lain antaranya parang dan pedang.
AZMI Azhar juga mahir membuat pelbagai jenis senjata lain antaranya parang dan pedang.

“Bunga api itu adalah tahi besi dan saya ketuk sehingga keluar semua tahi besi, supaya yang tinggal cuma besi.

“Sebelum memulakan kerja menempa, saya baca beberapa ayat al-Quran untuk memberkati kerja pembuatan senjata ini, bukan jampi serapah.

“Biasanya saya mengambil masa dua minggu untuk membuat sebilah keris dan ada juga memakan masa berbulan, bergantung kepada kualiti bahan yang digunakan.

“Istimewanya keris Melayu adalah dari segi penggunaan besi dan ada peringkat ukuran keris yang sesuai dengan pemakainya,” jelasnya.

Ditanya mengenai cerita mengenai keris yang dikatakan mempunyai semangat, Azmi Azhar menjelaskan, ia bergantung kepada bahan digunakan.

“Selain itu ada juga doa tertentu yang dibacakan sebelum keris ditempa. Sebab itu ada keris dikatakan ‘hidup’ dan mempunyai semangat.

ANTARA bilah keris yang sudah disiapkan Azmi Azhar.
ANTARA bilah keris yang sudah disiapkan Azmi Azhar.

“Tapi ramai juga salah sangka apabila memperasapkan keris dikatakan kononnya memanggil jin seterusnya membuatkan ramai dalam kalangan orang Melayu sendiri kurang berminat menyimpan keris, padahal ia sebenarnya ia untuk mencuci keris.

“Bahan digunakan untuk mencuci keris ialah limau nipis, air kelapa, batang pisang, kemenyan atau damar serta minyak wangi. Tujuannya adalah untuk membuang karat dan menajamkan bilah keris. Kemenyan digunakan sebagai laipsan menyaluti bilah keris supaya tidak dimakan karat,” ujarnya yang lebih 30 tahun menetap di Kuala Kubu Bharu.

Untuk melihat sama ada keris ditempa mempunyai keseimbangan yang baik, katanya, pemilik boleh mencuba mendirikan senjata itu dengan bantuan sarung sebagai penyendal.

“Sesiapa juga boleh mendirikan keris tapi perlu disandarkan hujungnya pada sarung. Jika anda lihat keris berdiri tanpa sarung, itu mungkin menggunakan khidmat jin atau makhluk halus,” jelas bapa kepada tiga anak ini.

TUKUL besi digunakan untuk membuang tahi besi.
TUKUL besi digunakan untuk membuang tahi besi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Disember 2019 @ 9:42 AM