PASIR sungai diangkut menggunakan pacuan empat roda.
PASIR sungai diangkut menggunakan pacuan empat roda.
Asmaruddin Jamaluddin


SERAMAI 28 sukarelawan dari TechnipFMC Sdn Bhd dan Kay Adventure Creative Studio menabur bakti menerusi kerja menggali perigi tapisan air untuk kegunaan penduduk Kampung Pos Selaor, Grik, Perak baru-baru ini.

Perigi tapisan air berkenaan akan dimanfaatkan lebih 30 keluarga sebagai sumber alternatif air bersih kerana sumber utama sedia ada iaitu air bukit akan keruh dan berkeladak apabila tiba musim hujan.

Projek sama pernah dijalankan di Pos Bihai Gua Musang, Kelantan sebelum ini. Jumlah sukarelawan yang ramai tidak bermakna misi untuk membina perigi tapisan air di kampung berkenaan tidak mudah.

Menurut Penyelaras program Kay Adventure 4x4, Khairul Badri Abdul Basit, sukarelawan kali ini berdepan cabaran sukar apabila keadaan tanah terlalu lembut menyebabkan kerja membina perigi terbabit lebih rumit.

“Berbanding dengan projek lalu di kampung ini, kerja menyiapkan perigi tapisan air dilakukan dalam keadaan yang sukar. Masuk saja laluan ke kampung mengambil perjalanan lebih lama daripada biasa apabila trek berselut dan kenderaan diselaputi lumpur.

“Kemudian beralih pula kepada kerja menyiapkan perigi, disebabkan hujan setiap hari, tanah di kawasan tapak perigi menjadi sangat lembut sehingga menyukarkan kerja menambak pasir dan batu di dasar perigi.

“Malah kami terpaksa melakukan kerja simen di bahagian tapak sebanyak dua kali kerana tanah mendap dan merosakkan binaan simen yang awal sebelum ia sempat mengeras.

PERIGI dibina membantu membekalkan air bersih untuk penduduk sepanjang masa.
PERIGI dibina membantu membekalkan air bersih untuk penduduk sepanjang masa.

“Biarpun susah namun apabila memikirkan penduduk kampung akan mendapat air bersih sepanjang masa, kami jadi semangat untuk menyiapkan perigi berkenaan,” katanya.

Tambah Khairul Badri, sukarelawan terpaksa bekerja dalam serba kekurangan baik dari segi peralatan mahupun sumber tenaga.

“Sukarelawan terpaksa berfikir di luar kotak setiap kali ada masalah yang timbul. Mahu tidak mahu, kena siapkan juga secepat mungkin. Hasilnya, lahir banyak kaedah kreatif dalam menyelesaikan setiap masalah,” katanya.

Bagi memastikan perigi berkenaan siap seperti dijadualkan, pihaknya terpaksa memulakan kerja awal pagi dengan mengangkut pasir dari sungai ke tapak perigi yang terletak sejauh 200 meter.

Selain itu, agihan kerja yang cekap dengan membahagikan kepada beberapa kumpulan kecil bagi pembinaan longkang saliran air, membersihkan kawasan sekitar dan sambungan paip ke dalam perigi membantu melancarkan misi terbabit.

Ketua Program TechnipFmc Mohd Zaini Kadir berkata, dengan projek terbabit kesedaran mengenai pentingnya usaha menyumbang kepada masyarakat dapat disemai dalam kalangan peserta.

AGIHAN makanan kepada penduduk.
AGIHAN makanan kepada penduduk.

“Sukarelawan dapat memahami tanggungjawab memberi semula kepada mereka yang tidak berkemampuan. Ia tidak dilihat dalam aspek material mahupun kewangan semata-mata kerana tenaga juga antara sumbangan boleh diberikan.

“Lebih manis, saya lihat dalam program ini

ialah silaturahim dan kerjasama yang terjalin antara satu sama lain bertambah erat. Masing-masing boleh toleransi dan saling bertolak ansur,” katanya.

Kemuncak program ialah menjamu penduduk. Ia dilakukan sukarelawan wanita bersama kru dapur yang ditugaskan menyediakan menu untuk 200 orang. Mengikut perancangan asal, penduduk kampung akan diraikan dalam suasana kenduri, namun disebabkan hujan makanan terpaksa diagihkan kepada penduduk untuk dibawa pulang ke rumah masing-masing.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Disember 2019 @ 6:01 AM