TEH kelihatan yakin dan mampu mengatur kata dalam bahasa Korea dengan baik ketika gilirannya naik ke pentas.
Helmy Abd Rahman


SEJAK drama Winter Sonata ‘menjengah’ Malaysia pada 2002, ‘demam’ Korea dalam kalangan masyarakat negara ini terutama membabitkan remaja wanita boleh dikatakan tidak kebah-kebah sehingga ke hari ini.

Bukan setakat program TV, saban tahun ada sahaja artis ‘K-Pop’ muncul dan menjadi kegilaan di negara ini antaranya Rain, Kumpulan Wonder Girls, Blackpink dan BTS.

Gelombang Korea atau dikenali ‘Hallyu’ ini menjadi titik tolak atau pemangkin minat untuk mereka belajar dan memahami bahasa serta budaya Korea. Situasi ini secara tidak langsung antara faktor utama hubungan baik Malaysia dan Korea Selatan.

Rentetan itu, sejak 2006 lagi, Kedutaan Korea Selatan menganjurkan Korean Speech Contest iaitu pertandingan bercakap dalam bahasa Korea sebagai inisiatif untuk mempromosikan kebudayaan, bahasa dan masyarakat Korea kepada dunia.

PEMENANG hadiah utama kategori advanced The 14th Korean Speech Contest in Malaysia, Teh (dua dari kiri) bergambar bersama Dekan Fakulti Bahasa dan Linguistik UM, Profesor Madya Dr Jariah Mohd Jan (kiri), Pengarah King Sejong Institut, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Ryu Seung Wan (kanan) dan Prof Kim Jeum Hyun yang berlangsung di Auditorium Asia Europa Institute (AEI), UM.

Tahun ini pertandingan memasuki edisi ke-14 yang dianjurkan secara bersama antara Kedutaan Korea Selatan dan Universiti Malaya (UM). Menariknya, penganjuran kali ini yang diadakan di UM turut dihadiri Duta Korea di Malaysia, Lee Chi Beom.

Peserta dikehendaki memilih satu daripada tiga topik yang diberikan dan menghantar permohonan mereka dalam masa ditetapkan.

Penganjuran kali ini dimeriahkan dengan penyertaan 20 peserta yang terdiri daripada pelajar sekolah, penuntut universiti dan orang awam. Pertandingan merangkumi tiga tahap penguasaan bahasa Korea iaitu asas, pertengahan dan mahir.

Setiap peserta perlu melalui proses temu duga melalui telefon bersama panel juri untuk menentukan tahap penguasaan bahasa Korea masing-masing.

SEMUA peserta peringkat akhir Korean Speech Contest bergambar beramai-ramai.

Hadiah utama termasuk tiket pergi-balik ke Korea Selatan dan baucar menghadiri Kelas Bahasa Korea selama 10 minggu di Ewha Womans University yang dimenangi Teh Yi Shyuan, pe

lajar Malaysia yang sedang menuntut di sebuah universiti di Hong Kong.

Pemenang tempat pertama bagi setiap kategori membawa pulang tablet Samsung dan baucar belajar bahasa Korea selama tiga minggu di Ewha Womans University atau Seoul National University.

Tempat kedua setiap kategori pula menerima baucar belajar bahasa Korea di Hanyang University selama dua minggu berserta elaun belajar di Korea Selatan berjumlah RM1,000 manakala tempat ketiga setiap kategori membawa pulang power bank Samsung. Setiap peserta di pentas akhir menerima sijil dan hadiah sagu hati.

Lee dalam ucapannya berkata, dengan gelombang Korea semakin popular dari hari ke hari, pihaknya berharap untuk menyebarkan bahasa dan budaya Korea secara lebih meluas.

“Pada masa sama, kita juga menyasarkan untuk meningkatkan persefahaman antara Malaysia dan Korea Selatan menerusi pertandingan seperti ini,” ujarnya.

Hadir sama, Naib Canselor UM, Datuk Ir Abdul Rahim Hashim, Timbalan Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Imran Ho Abdullah dan Pengarah Urusan Korea Tourism Organization, Lee Young Geun.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 January 2020 @ 10:56 AM