AHLI jawatankuasa pertandingan bergambar kenangan.
Helmy Abd Rahman


BUSANA Melayu terutama baju Melayu mempunyai daya penarik tersendiri dan unik selain satu-satunya jenis pakaian tradisi yang mampu membuatkan si pemakainya kelihatan segak.

Proses evolusi pakaian Melayu mencapai tahap tertinggi pada zaman kerajaan Melayu Melaka. Dikatakan, rekaan baju Melayu mula dihasilkan pada zaman kesultanan Melaka sekitar 700 tahun lalu apabila Sultan Muhammad Shah iaitu Sultan Melaka kedua yang mahukan pakaian diraja.

Baju Melayu terbahagi kepada dua bahagian iaitu baju (seakan-akan kemeja lengan panjang) dan seluar panjang, dilengkapi samping dan songkok.

Pakaian tradisional ini mempunyai dua jenis garisan leher iaitu cekak musang dan teluk belanga. Baju Melayu berwarna hitam dengan kain songket hitam bersulam dengan benang emas disifatkan satu bentuk pakaian rasmi yang digunakan untuk acara rasmi negara.

Rekaannya pula bukan sekadar untuk kelihatan bergaya, sebaliknya mempunyai falsafah dan pengertian mendalam yang mengangkat kemuliaan Islam serta ketinggian budaya masyarakat Melayu.

Contohnya, lima butang baju Melayu melambangkan Rukun Islam manakala butang satu pada baju Melayu teluk belanga dikaitkan dengan tauhid yang mempercayai bahawa Tuhan hanya satu.

Selain itu, tiga saku di hadapan baju melambangkan akidah, Islam dan ihsan manakala samping pula membawa maksud kesungguhan menjaga maruah, aurat dan syahwat.

Pemakaian samping di bawah lutut bermaksud si pemakainya sudah berkahwin manakala di atas lutut bermaksud masih bujang. Sekiranya seseorang sudah berkahwin memakai samping di atas lutut, itu menandakan dirinya mungkin ingin menambah isteri.

Busana Melayu untuk golongan hawa juga tidak kurang hebatnya dari segi rekaan mahupun aspek ‘kefalsafahannya.’ Wanita ‘dulu-dulu’ memakai baju kurung berserta kelubung untuk menutup kepala yang terdedah ketika keluar rumah.

Baju kurung yang dipakai masih dikekalkan dalam bentuk labuh dan longgar dan dikenakan dengan kain ikatan ‘ombak mengalun’. Selain baju kurung, ada juga baju labuh yang berbelah di hadapan.

Golongan istana atau bangsawan pula menggunakan aksesori antaranya kerongsang yang sering dipadankan dengan pakaian mereka manakala menerusi pemakaian selendang pula dapat kita tahu status seseorang itu.

Berdasarkan cara pemakaian selendang, kita tahu sama ada orang itu anak dara sunti, janda atau ibu, malah wanita yang baru pulang dari Makkah juga berbeza cara ia dipakai.

Menyedari pentingnya aspek pemakaian busana dalam masyarakat Melayu, Institut Alam dan Budaya Melayu (ATMA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) baru-baru ini menganjurkan Pertandingan Busana Melayu yang diadakan di Dewan Canselor Tun Abdul Razak, UKM.

Pertandingan berkenaan yang diadakan sempena Konvensyen Perubatan Tradisional dan Komplimentari Melayu Nusantara 2019, dihakimi pakar andaman tradisional, Mehran Sedit.

Mengulas pertandingan berkenaan, Mehran berkata, ia dianjurkan pada saat yang tepat kerana masyarakat Melayu di negara ini, lebih-lebih lagi anak muda giat memperkasakan semula sebahagian daripada gaya penampilan Melayu.

“Sekarang ini kita dapat lihat ramai anak muda mengenakan tanjak di seluruh negara, sekali gus ‘melegakan’ hati ‘pejuang’ busana Melayu seperti saya kerana tahu setidak-tidaknya ia takkan pupus ditelan zaman.

“Pertandingan ini juga dapat menghidupkan kembali semangat kemelayuan membabitkan jati diri orang Melayu beragama Islam.

“Dalam kalangan peserta juga bagi saya berjaya menampilkan pemakaian yang sesuai dengan kehendak pertandingan... ada yang memakai busana lengkap tradisional Melayu iaitu tanjak, baju layang, kain samping dan keris.

“Masyarakat Melayu menitikberatkan keperibadian luhur dan murni serta dibekalkan dengan pakaian tradisi untuk melindungi anggota badan. Justeru, perkara ini perlu diteruskan sebagai satu usaha memelihara pakaian tradisional masyarakat Melayu agar terus dikenali sejajar perkembangan dunia fesyen tanah air.

“Meskipun persaingan dunia peragaan dan busana berkembang pesat, permintaan terhadap pakaian tradisional Melayu masih mendapat tempat di hati masyarakat kita,” jelasnya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 January 2020 @ 12:47 PM