X
Fairul Asmaini Mohd Pilus

“MUSIM sejuk paling ditakuti pelarian Syria kerana mereka terpaksa berdepan cuaca sejuk melampau dengan suhu mencecah bawah belasan darjah Celsius.

“Selain khemah usang yang disediakan di kem pelarian, mereka tiada tempat untuk berlindung malah banyak kes kematian berlaku di kem membabitkan bayi yang meninggal dunia kerana cuaca terlampau sejuk,” kata Ketua Eksekutif Persatuan Cinta Syria Malaysia (CSM), Ahmad Musa Al Nuwayri.

Menurut Ahmad Musa, krisis kemanusiaan pelarian Syria terutama di sempadan negara itu semakin memuncak dan bertambah kritikal ketika musim sejuk.

Katanya, selain makanan, pelarian begitu terdesak memerlukan bahan api (diesel) bagi menghidupkan alat pemanas dan ia menjadi keutamaan mereka melebihi keperluan lain seperti pakaian.

“Khemah tempat mereka berlindung sudah usang menyebabkan salji ‘bocor’ di sana sini.

“Keadaan mereka sangat menyedihkan. Justeru, atas dasar kemanusiaan dan saudara seagama, CSM mengambil inisiatif mengumpul sumbangan orang ramai bagi mengadakan program tahunan bantuan kemanusiaan, Misi Musim Sejuk CSM 7.0 untuk membantu pelarian Syria di negara itu, Turki dan Lubnan bermula 6 Januari lalu,” katanya.

AHMAD Musa bersama Faizal, Noh, Aizat serta sukarelawan CSM berangkat ke Syria,
AHMAD Musa bersama Faizal, Noh, Aizat serta sukarelawan CSM berangkat ke Syria,

Mengulas lanjut, Ahmad Musa berkata, program berkenaan berjaya mengumpul sumbangan hampir RM1.2 juta dan ia meningkat berbanding kutipan yang diterima pada tahun sebelumnya.

Kata Ahmad Musa, misi berkenaan turut disertai Ketua Jabatan Projek CSM, Puteri Norafiah Sulaiman, selebriti terkenal tanah air iaitu Faizal Tahir, Noh Salleh, Aizat Amdan serta beberapa sukarelawan lagi.

Katanya, berbeza dengan Noh dan Aizat, Faizal kali pertama menyertai misi kemanusiaan berkenaan selain penyanyi terkenal itu jelas teruja kerana berpeluang melihat sendiri pengalaman mangsa perang di negara bergolak.

“Sokongan selebriti tempatan dihargai kerana membantu pelarian Syria adalah tanggungjawab semua dan masing-masing mempunyai peranan sendiri.

WAJAH ceria kanak-kanak pelarian Syria menerima sumbangan permainan daripada CSM.
WAJAH ceria kanak-kanak pelarian Syria menerima sumbangan permainan daripada CSM.

“Justeru, sokongan golongan muda sentiasa dialu-alukan kerana jika tidak dapat menyumbang wang ringgit, mereka mungkin boleh berkongsi kepakaran atau tenaga dalam misi bantuan tertentu,” katanya.

Sementara itu, Puteri Norafiah berkata, misi 12 hari itu merangkumi beberapa lokasi antaranya Arsal dan Bekaa iaitu kawasan yang berhampiran sempadan Syria dan Lubnan, Gaziantep, Kilis dan Sanliurfa (sempadan Turki - Syria) serta sekitar Aleppo dan Idlib di Syria.

Ketika artikel ini ditulis, Puteri Norafiah dan rombongan sukarelawan CSM sudah tiba di bumi Syria untuk menyampaikan sumbangan.

Menurut Puteri Norafiah, berbeza daripada misi sebelumnya, kali ini pertubuhan bukan kerajaan itu memberi fokus kepada sumbangan perubatan dan pendidikan kepada kanak-kanak pelarian Syria sebagai inisiatif bantuan jangka panjang.

AIZAT turut menyertai misi bantuan kali ini.
AIZAT turut menyertai misi bantuan kali ini.

“Misi kami bukan sahaja membantu menyelamatkan nyawa pelarian sebaliknya turut membantu memberi ilmu pendidikan yang penting untuk mereka mengharungi masa depan,” katanya.

Puteri Norafiah berkata, selain makanan, rombongan misi juga akan menyampaikan sumbangan kit musim sejuk yang mengandungi pakaian, selimut, kasut, alat pemanas serta diesel kepada pelarian.

Mereka juga akan singgah melawat Sekolah Kita iaitu sekolah yang menempatkan 300 pelajar kanak-kanak pelarian Syria di Kilis, Turki.

SEKOLAH Kita untuk membantu kanak-kanak pelarian Syria mendapatkan pendidikan.
SEKOLAH Kita untuk membantu kanak-kanak pelarian Syria mendapatkan pendidikan.

“Selain itu, kami turut mengadakan klinik bergerak dengan kerjasama doktor daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di sana dan berkunjung ke rumah sakit Dar Al Esteshfaa dan Daf Al Salama di Syria dan rumah sakit di Berkaa dan Arsal di Lubnan.

“Misi di negara bergolak itu bukan mudah, apapun kami harapkan doa daripada seluruh rakyat Malaysia semoga misi ini berjalan lancar, “ katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 January 2020 @ 6:01 AM
Kabinet Malaysia 2020