SUKARELAWAN Nestle bersama penghuni Pusat Jagaan Warga Emas En Yuan menggaul yee sang. FOTO Ihsan Nestle
Muhamaad Razis Ismail


SERAMAI 33 penghuni Pusat Jagaan Warga Emas En Yuan, Kampung Tunku, Selangor bertuah apabila diraikan Nestle Malaysia sempena sambutan Tahun Baharu Cina.

Dalam program itu Nestle turut berbesar hati menyampaikan sumbangan RM31,088 termasuk barang keperluan dan RM10,000 berbentuk wang tunai kepada pusat jagaan itu.

Penghuni turut menerima buah tangan iaitu sebuah beg berisi produk Nestle, limau mandarin dan ang pau.

Seramai 30 sukarelawan Nestle turut turun padang membantu menghidupkan suasana perayaan dengan menghias pusat jagaan itu.

Mereka turut menghiburkan penghuni pusat jagaan itu dengan pelbagai aktiviti menarik termasuk persembahan tarian singa dan menggaul Yee Sang.

Pada sebelah petang, semua warga emas dihidangkan dengan minum petang yang enak.

Pengarah Eksekutif Hal Ehwal Korporat Kumpulan Nestle Malaysia, Nirmalah Thurai berkata, pihaknya berbesar hati dapat bersama-sama menyambut Tahun Baharu Cina dengan penghuni Pusat Jagaan Warga Emas En Yuan.

PENGHUNI Pusat Jagaan Warga Emas En Yuan menyaksikan tarian singa. FOTO Ihsan Nestle

“Nestle sentiasa komited untuk terus memberi sumbangan yang dapat memberi manfaat kepada masyarakat.

“Pada masa sama, kami berharap, usaha ini memberi impak positif dan menjadi contoh kepada masyarakat untuk bersama-sama menjalankan aktiviti kebajikan,” katanya, baru-baru ini.

Sementara itu, Setiausaha Pusat Jagaan Warga Emas En Yuan, Stanley Yap berkata, pihaknya berterima kasih kepada Nestle yang menganjurkan program untuk penghuninya.

“Kebanyakan penghuni di sini tidak dapat keluar selain tidak mempunyai keluarga.

“Kehadiran Nestle memberi keceriaan kepada mereka dalam meraikan Tahun Baharu Cina seperti di kediaman sendiri,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 January 2020 @ 7:30 AM