AKTIVITI gotong-royong membabitkan penduduk kampung.
AKTIVITI gotong-royong membabitkan penduduk kampung.
Muhamaad Razis Ismail

KITA sering melihat papan tanda ‘Cintailah Sungai Kita’ berhampiran kebanyakan tebing sungai di negara ini.

Bagaimanapun, sejauh manakah kempen ini memberi kesedaran kepada masyarakat dalam terus memastikan sungai sentiasa dalam keadaan bersih dan tidak tercemar?

Sungai adalah khazanah yang perlu dipelihara kerana menjadi sumber bekalan air bersih kepada manusia, haiwan dan tumbuhan selain menjadi habitat semula jadi kepada pelbagai jenis hidupan air.

Biarpun mengetahui kepentingan sungai, sumber alam itu kini di ambang kemusnahan apabila berlaku pencemaran air termasuk pembuangan sisa toksid dan sampah sarap.

Menyedari perkara itu, sebuah kumpulan sukarelawan dinamakan Friends Of Sungai Batu (FoSB) di Batu Caves, Gombak ditubuhkan pada Mac tahun lalu membabitkan penduduk setempat di bawah Projek River of Life Public Outreach Program (ROLPOP) atau Projek Jangkauan Awam Sungai Nadi Kehidupan.

Projek ini adalah usaha Kementerian Wilayah Persekutuan dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bermatlamat mentransformasikan lapan sungai yang terletak di sekitar Lembah Klang.

Di bawah FoSB terdapat tujuh kampung di sepanjang Sungai Batu terbabit termasuk Kampung Sungai Kertas, Kampung Sungai Tua, Kampung Nakhoda dan Kampung Laksamana dan dalam tempoh itu sebanyak 1,500 kilogram sisa pepejal dikutip di sungai itu.

Wakil FoSB merangkap Ketua Kampung Sungai Tua Baru, Ramly Jamaluddin berkata, sejak program ini dijalankan banyak manfaat diperoleh penduduk yang tinggal di sekitar sungai ini.

“Pertamanya saya melihat kesedaran dalam kalangan penduduk semakin meningkat dari semasa ke semasa.

SUKARELAWAN FoSB bergotong-royong membersihkan sungai.
SUKARELAWAN FoSB bergotong-royong membersihkan sungai.

“Apabila kesedaran ini wujud, ramai dalam kalangan penduduk mula menjaga kebersihan sungai selain turun dalam program gotong-royong membersihkan sungai.

“Berbanding sebelum ini, sungai ini sudah berada di peringkat tiga apabila program dijalankan dari semasa ke semasa di sungai ini,” katanya.

Bagi Ketua Kampung Nakhoda, Ahmad Mohd Said berkata, program gotong-royong membersihkan sungai mendapat sambutan cukup menggalakkan.

“Kami juga menjalankan program melukis mural sepanjang 100 meter pada dinding loji rawatan kumbahan Indah Water Konsortium membabitkan 151 peserta menggambarkan landskap Sungai Batu pada September tahun lalu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Kampung Laksamana Roszaidi Ishak berkata, pihaknya turut mengambil inisiatif membuat pengumpulan minyak masak terpakai.

“Penduduk kampung boleh menghantar minyak masak yang tidak digunakan dan dibayar RM1 untuk satu kilogram.

“Ini salah satu langkah diambil untuk mengelakkan minyak masak ini dibuang terus ke sungai. Saya difahamkan kedai makan turut menyertai program ini,” katanya.

Mengulas lanjut, Roszaidi turut mencadangkan pihak berkaitan menyediakan perangkap sampah di setiap kampung untuk mengelakkan kos pembersihan yang tinggi.

Dalam pada itu, bagi Ketua Kampung Penempatan India Batu Caves, Manivanan Sivalingam berharap program gotong-royong dijalankan dengan lebih kerap untuk memastikan kebersihan sentiasa terjamin.

“Kita perlu faham, Batu Caves ini antara lokasi tumpuan pelancongan. Oleh itu, kebersihan di sini terutama di kawasan persekitaran sungai perlu sentiasa dalam keadaan baik untuk memberi gambaran positif kepada pelancong di dalam dan luar negara,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 January 2020 @ 8:00 AM
Digital NSTP Subscribe