PELAJAR memilih makanan diperlukan termasuk produk Nestle yang disediakan di Food Bank.
Fairul Asmaini Mohd Pilus


BERDASARKAN statistik dikeluarkan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), rakyat Malaysia menjana sebanyak 15,000 tan metrik sampah makanan setiap hari.

Daripada jumlah itu, didapati sebanyak 3,000 tan metrik lebihan makanan yang dibuang sebenarnya masih elok dan boleh dimakan.

Justeru, seiring dengan Inisiatif Peduli Rakyat, Yayasan Food Bank Malaysia diwujudkan untuk melaksanakan Program Food Bank Malaysia bagi meringankan kos sara hidup rakyat.

Pada masa sama, program itu juga dikatakan dapat membantu menangani masalah pembaziran makanan di negara ini.

Ini kerana program berkenaan menyediakan platform kepada pihak yang terbabit dalam pembekalan makanan untuk mengelakkan pembaziran makanan sekali gus membantu golongan yang kurang berkemampuan.

Dalam pada itu, sasaran utama program terbabit adalah rakyat berpendapatan B40 dan golongan mahasiswa di institut pengajian tinggi (IPT) namun kumpulan sasar program itu akan diperluaskan dari semasa ke semasa mengikut fasa.

Bagi merealisasikan sebahagian daripada komitmennya untuk membekalkan makanan kepada keluarga yang memerlukan, Nestle Berhad (Nestle) tampil berganding bahu dengan Yayasan Food Bank Malaysia untuk membekalkan produk makanan keluarannya kepada lebih 50,000 keluarga B40 dan golongan miskin tegar di seluruh Malaysia.

Kerjasama itu membolehkan lebihan produk yang selamat dan boleh dimakan dikumpulkan untuk disalurkan kepada program berkenaan.

Ia kemudian akan diagihkan kepada isi rumah pendapatan rendah, golongan miskin tegar, rumah kebajikan dan juga pelajar kurang mampu di IPT.

Ketua Pegawai Eksekutif Nestle, Juan Aranols berkata, pihaknya bangga dapat bekerjasama dengan Yayasan Food Bank Malaysia dalam membantu keluarga B40 dan golongan miskin tegar di Malaysia untuk mendapatkan bekalan makanan yang secukupnya.

(DARI kiri) Syed Anwar, Aranols bersama Saifuddin dan Ab Wahab (dua dari kanan) pada majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Nestle Malaysia Berhad dengan Yayasan Food Bank Malaysia di Putrajaya, baru-baru ini.

Kata Juan, menerusi kerjasama itu, pihaknya akan menyumbang produk lebihan bermutu tinggi dengan matlamat membekalkan khasiat pemakanan kepada lebih 50,000 keluarga dan remaja Malaysia setiap tahun yang hidup di bawah garis kemiskinan.

“Kami benar-benar percaya ia antara cara yang lestari untuk menghulurkan tangan kepada golongan yang memerlukan selain berkongsi komitmen dengan Yayasan Food Bank Malaysia dalam mengurangkan pembaziran makanan.

“Kerjasama selama dua tahun itu turut merangkumi produk makanan dari Milo, Nescafe, produk bijiran sarapan Nestle dan banyak lagi.

“Sejak Program Food Bank Malaysia beroperasi, sumbangan makanan yang diberikan memberi manfaat kepada 476,250 isi rumah yang berada di bawah garis kemiskinan di seluruh negara,” katanya pada majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Yayasan Food Bank Malaysia di Putrajaya, baru-baru ini.

Pada majlis itu, Yayasan Food Bank Malaysia diwakili Ketua Pegawai Eksekutif, Ab Wahab Long manakala Juan mewakili Nestle.

Hadir sama, Pengerusi Nestle (Malaysia) Berhad, Tan Sri Syed Anwar Jamalullail dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Saifuddin Nasution Ismail.

Sementara itu, Saifuddin berkata, sejajar dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030, Yayasan Food Bank Malaysia berusaha untuk meringankan beban kumpulan berpendapatan rendah dan menangani cabaran penting membekalkan sumber makanan secukupnya.

“Usaha itu turut membolehkan kami memainkan peranan menangani isu global pembaziran makanan.

“Malaysia tidak terlepas daripada masalah itu memandangkan negara kita menghasilkan 3,000 tan makanan yang dibuang setiap hari, yang boleh menjadi sumber pemakanan kepada kira-kira 2.2 juta orang.

“Untuk itu, kami gembira dapat berganding bahu dengan Nestle

Malaysia bagi memastikan program berkenaan terus memenuhi keperluan keluarga B40 dan golongan miskin tegar selain turut mengurangkan pembaziran makanan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Februari 2020 @ 7:00 AM