TIDAK lagi dilihat sebagai aktiviti ‘berniat jahat’ sebaliknya jadi gaya terkini tarik perhatian ramai. FOTO Ihsan Kasturi Studio
TIDAK lagi dilihat sebagai aktiviti ‘berniat jahat’ sebaliknya jadi gaya terkini tarik perhatian ramai. FOTO Ihsan Kasturi Studio
ARTIS memerlukan keberanian untuk bekerja di tempat tinggi bagi menghasilkan karya mural. FOTO Ihsan Kasturi Studio
ARTIS memerlukan keberanian untuk bekerja di tempat tinggi bagi menghasilkan karya mural. FOTO Ihsan Kasturi Studio
Hafiz Ithnin


SATU ketika dulu, timbul persepsi mengenai lukisan besar yang menggunakan cat atau semburan pada dinding bangunan atau kawasan tertentu adalah perbuatan tidak patut dilakukan kerana ia seakan-akan mencalarkan imej sesebuah lokasi.

Namun, ketika ini lukisan itu yang dikenali sebagai mural tidak lagi dilihat sebagai aktiviti ‘berniat jahat’ memandangkan ia menjadi gaya terkini untuk menarik perhatian orang ramai mengunjunginya.

Malah, kebanyakan pemilik premis yang menjalankan perniagaan melihat lukisan mural antara cara memasarkan produk atau jenama mereka kepada khalayak.

Berkongsi mengenai lukisan mural, pemilik bersama dan Ketua Pegawai Operasi Kasturi Studio, Syamsul Addenno berkata, seni itu semakin mendapat perhatian di Malaysia kerana ia mampu memberi kesan yang positif untuk menaikkan nama sesuatu kawasan atau syarikat.

MOTIF haiwan antara yang menjadi perhatian untuk dijadikan mural. FOTO Ihsan Kasturi Studio
MOTIF haiwan antara yang menjadi perhatian untuk dijadikan mural. FOTO Ihsan Kasturi Studio

Beliau berkata, masyarakat tempatan yang semakin menghargai seni mural juga amat membantunya untuk lebih dihargai, sekali gus memberi peluang kepada pengkarya yang terbabit dalam seni lukis untuk mendapat peluang pekerjaan.

“Kewujudan kawasan yang mempunyai mural memiliki aura tersendiri untuk menarik perhatian pengunjung muda terutama kerana ia kelihatan lebih santai.

“Disebabkan itu, jika kita lihat hari ini banyak kawasan yang dibangunkan untuk menarik perhatian pengunjung diwujudkan dengan seni mural di sekitarnya kerana ia mampu menjadi teknik pemasaran yang berkesan,” katanya.

Sejak ditubuhkan pada 2016, syarikat itu mengakui jumlah pelanggan semakin bertambah dan sehingga hari ini Kasturi Studio sudah memberi perkhidmatan kepada 200 pelanggan dengan sekitar 20 peratus adalah pelanggan pihak berkuasa tempatan dan selebihnya pihak swasta.

PENGHASILAN karya mural di dinding mampu jadi tarikan orang ramai. FOTO Ihsan Kasturi Studio
PENGHASILAN karya mural di dinding mampu jadi tarikan orang ramai. FOTO Ihsan Kasturi Studio

Syamsul berkata, mural ketika ini dibangunkan bukan sekadar di luar bangunan, tetapi ada juga di dalam bangunan kerana lukisan itu dilihat sebagai satu terapi kepada golongan pekerja.

Katanya, kebanyakan motif yang dipilih untuk lukisan mural bergantung kepada kehendak pelanggan dan kebanyakannya memilih untuk mewujudkan figura atau ikon tertentu terutama potret.

“Mural juga adalah satu lukisan yang mampu menjadi kempen kesedaran kepada orang ramai untuk memahami sesuatu perkara contohnya mengenai kepentingan menghargai alam semula jadi dan memulihara hidupan liar yang semakin terancam.

KANVAS sebuah mural tidak lagi hanya tertumpu kepada dinding konkrit. FOTO Ihsan Kasturi Studio
KANVAS sebuah mural tidak lagi hanya tertumpu kepada dinding konkrit. FOTO Ihsan Kasturi Studio

“Memandangkan mural ini dibangunkan dalam bentuk yang besar dengan artis menggunakan pelbagai warna termasuk hitam dan putih, ia lebih mudah menarik perhatian orang ramai apabila melihatnya. Jadi secara tidak langsung, karya yang mempunyai maksud tersendiri dapat disampaikan kepada penonton,” katanya.

Bercerita mengenai cabaran melukis mural, Syamsul berkata, keadaan cuaca tidak menentu dan bekerja di tempat tinggi antara cabaran yang dihadapi kumpulan artis untuk menghasilkan sebuah karya mural.

Katanya, sekiranya artis perlu menghasilkan mural di luar bangunan sudah semestinya keadaan cuaca menjadi cabaran kerana jika cat belum kering dan hujan sudah pasti menyebabkan sesuatu karya itu rosak.

BEKERJA di kawasan terbuka dan berpanas antara cabaran artis bagi menghasilkan mural. FOTO Ihsan Kasturi Studio
BEKERJA di kawasan terbuka dan berpanas antara cabaran artis bagi menghasilkan mural. FOTO Ihsan Kasturi Studio

“Tidak sekadar itu, bekerja di tempat tinggi juga menjadi cabaran disebabkan itu artis juga perlu mempunyai keberanian untuk melakukan kerja seni ini. Jika silap langkah mereka boleh jatuh dan tercedera ketika bekerja.

“Kebiasaannya kita menggunakan jentera untuk membantu artis berada tempat tinggi kerana ia lebih selamat dan mereka juga boleh fokus ketika melakukan pekerjaan,” katanya.

PENGGUNAAN jentera diperlukan bagi membantu artis bekerja di aras lebih tinggi. FOTO Ihsan Kasturi Studio
PENGGUNAAN jentera diperlukan bagi membantu artis bekerja di aras lebih tinggi. FOTO Ihsan Kasturi Studio

Ditanya mengenai proses menghasilkan sebuah mural, katanya, secara umumnya sesuatu karya itu akan dihasilkan menerusi lukisan digital terlebih dahulu sebelum ia dizahirkan di atas kanvas sebenar iaitu dinding sesebuah bangunan atau premis perniagaan.

“Ada dua cara untuk memudahkan kerja menekap mural iaitu pertama menerusi ‘marking’ dan kedua, menggunakan pancaran projektor. Bagaimanapun, kebanyakannya menggunakan teknik ‘marking’ kerana lebih mudah untuk artis menghasilkan sebuah karya yang tepat dengan subjek asal dilukis menerusi digital.

ARTIS memerlukan ketelitian dalam menghasilkan mural yang dikehendaki pelanggan. FOTO Ihsan Kasturi Studio
ARTIS memerlukan ketelitian dalam menghasilkan mural yang dikehendaki pelanggan. FOTO Ihsan Kasturi Studio

“Selain itu, cara ini juga membolehkan artis lebih cepat menghasilkan sesebuah lukisan mural,” katanya yang juga pemegang sarjana muda dalam bidang seni halus dari Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Februari 2020 @ 7:01 AM
Digital NSTP Subscribe