Nurul Husna Mahmud

KAGUM dengan seni seramik Jepun berdasarkan falsafah ‘Raku’ menjadikan Pensyarah Kanan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam ini melihat rekaan agronomik sebagai konsep unik.

Khairul Nizan Mohd Aris pernah berada di Jepun hampir setahun untuk mendalami falsafah artis pembuat seramik daripada negara matahari terbit itu.

Selain memahami karakter ‘tidak sempurna,’ rendah diri dan kesederhanaan terungkap dalam setiap produk seramik termasuk set minum petang yang sentiasa mengisi upacara tradisi masyarakat negara itu.

KHAIRUL Nizan menerangkan hiasan seramik dihasilkan berdasarkan falsafah ‘Raku.’
KHAIRUL Nizan menerangkan hiasan seramik dihasilkan berdasarkan falsafah ‘Raku.’

Katanya, faktor ‘insan’ yakni setiap satunya tidak sama dalam setiap penghasilan produk seramik berbanding kaedah pembuatan konvensional baik di Malaysia mahupun banyak negara yang menggunakan mesin untuk menghasilkan set makan porselin dalam menghiasi meja makan.

“Keunikan di sebalik falsafah pembuatan seramik dari Jepun menekankan ‘Raku’ iaitu ketidak sempurnaan dalam rekaan pada saya adalah sesuatu unik dan mempunyai nilai artistik yang cukup tinggi.

Namun di sebalik penghasilan atau bentuk tidak sempurna itu, ia tetap kekal memiliki fungsi terbaik.

“Pada saya konsep tradisi ini boleh menjadi penghubung kepada kelahiran rekaan bercirikan moden kontemporari kerana lingkungan dalam rekaan bentuk pinggan mangkuk itu tidak meletakkan syarat bentuk perlulah statik.

BUKAN seragam adalah karakter semula jadi diadaptasi pada konsep seramik hiasan meja.
BUKAN seragam adalah karakter semula jadi diadaptasi pada konsep seramik hiasan meja.

“Itu secara tidak langsung bersesuaian dengan konsep baru ingin saya perkenalkan dalam teknik pembuatan seramik menggunakan tangan. Kalau sebelum ini pinggan mangkuk porselin semuanya menggunakan teknik tekanan menggunakan mesin dan dihasilkan secara seragam,” katanya yang membangunkan pembuatan seramik di bawah jenama Nizan Design.

Malah teknik baru itu direka hasil kombinasi dalam pembuatan produk tanah liat, iaitu dicanai dan dilekap pada acuan (biskut) menggunakan tekanan sesuai selain teknik ‘jollying’ (berpusing dengan sekata dan ‘jinggering’ (proses ‘penjorongan’ membentuk lempung plastik di atas acuan plaster berputar menggunakan alat tarah untuk menghasilkan barangan leper).

NIZAN dibantu pelajarnya.
NIZAN dibantu pelajarnya.

“Teknik ini mudah bagi tanah liat tapi untuk material porselin yang menggunakan tanah khas lebih halus memerlukan kerja lebih teliti untuk memastikan bentuk itu kekal dalam keadaan baik kerana strukturnya mudah rapuh sebelum kering.

“Ada beberapa langkah perlu dilakukan termasuk kerja mengasah (‘sanding’) ketika separa kering supaya bibir mangkuk dan piring lebih licin. Ketika fasa ini juga tugas pembuat seramik penting dalam menetapkan perincian bentuk supaya hasil kemas selain tampak menarik sebaik diletakkan bersama alat kulinari lain,” katanya.

SIMBAHAN cat menghasilkan motif abstrak.
SIMBAHAN cat menghasilkan motif abstrak.

Di awal penghasilan seramik menggunakan kaedah berkenaan, dia menonjolkan rekaan lebih kosong dan ringkas. Tetapi kini kerja tangan Khairul Nizan dalam pembuatan pinggan mangkuk seramik tampak seperti lebih berseni apabila ada olesan warna menghiasi permukaan kosong terbabit.

“Corak abstrak warna terhasil ketika proses mewarna iaitu dengan teknik simbahan atau lalukan cat pada permukaan pinggan menghasilkan motif bebas. Malah walau teknik dan warna sama digunakan tetapi hasil tetap berbeza bagi setiap pinggan.

MENGASAH atau teknik ‘sanding’ penting untuk memperkemaskan bentuk daripada bentuk asas.
MENGASAH atau teknik ‘sanding’ penting untuk memperkemaskan bentuk daripada bentuk asas.

“Itu membuatkan ia tampak unik dan mematuhi elemen buatan tangan dihasilkan dalam koleksi seramik dihasilkan. Meskipun rekaan itu tidak sekata iaitu bentuk yang tidak ‘rigid’ terlalu bersegi, tetapi apabila koleksi ini disuai padan, ia masih nampak sekata dan menarik pada pandangan mata.

“Justeru, untuk koleksi ini ada yang dipakai sebagai ‘kanvas’ mencorakkan hidangan makanan. Ada juga sebahagiannya menjadikan ia penyeri atau dekorasi meja mahupun kediaman,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Mac 2020 @ 7:01 AM
Digital NSTP Subscribe