LEBIH kemas, padat dan mudah dibaca menarik pengunjung muda. FOTO Ihsan MPK Bandar Hilir Melaka & Arkib Negara
LEBIH kemas, padat dan mudah dibaca menarik pengunjung muda. FOTO Ihsan MPK Bandar Hilir Melaka & Arkib Negara
MEMORIAL Pengisytiharan Kemerdekaan jadi tarikan pelancong pelajari sejarah kita. FOTO Ihsan MPK Bandar Hilir Melaka & Arkib Negara
MEMORIAL Pengisytiharan Kemerdekaan jadi tarikan pelancong pelajari sejarah kita. FOTO Ihsan MPK Bandar Hilir Melaka & Arkib Negara
Nurul Husna Mahmud


MELIHAT kepada signifikan pentingnya tarikh keramat khususnya 31 Ogos 1957 iaitu tarikh kemerdekaan negara, Arkib Negara Malaysia agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia mengambil pendekatan menganjurkan Majlis Bicara Sejarah Pengisytiharan Tarikh Kemerdekaan di Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan (MPK). Ia serentak dengan pembukaan semula MPK.

Mengenai sejarah bangunan MPK itu sendiri, kata Ketua Pengarah Arkib Negara Malaysia Datuk Azemi Abdul Aziz, kerajaan Melaka memilih bangunan berhadapan Padang Bandar Hilir untuk dijadikan MPK.

“Bangunan ini dibina pada 1911 dan menjadi bangunan Kelab Melaka untuk kegiatan sosial pada masa itu. Ia diambil alih Jabtan Kerja Raya Negeri Melaka di awal kerja pengubahsuaian bangunan itu pada November 1984. Bagi dijadikan MPK dan pada 31 Ogos 1985 ia dirasmikan sendiri Tunku Abdul Rahman Putra Al- Haj.

“Penubuhan MPK ini adalah untuk menimbulkan kesedaran kepada rakyat terhadap perjuangan dalam mencapai kemerdekaan. Di samping itu, ia menjadi satu daripada destinasi tarikan pelancong di Melaka. Arkib Negara Malaysia dipertanggungjawab untuk mengendalikan memorial ini,” katanya.

MERIAH ketika sesi bicara sejarah. FOTO Ihsan MPK Bandar Hilir Melaka & Arkib Negara
MERIAH ketika sesi bicara sejarah. FOTO Ihsan MPK Bandar Hilir Melaka & Arkib Negara

Tambah Azemi, MPK melalui proses pengubahsuaian cukup penting pada tahun lalu bersesuaian dengan peranannya sebagai satu daripada tarikan pelancongan negeri.

“Kerja pembaharuan ini dilaksanakan pada awal tahun lalu dan siap sepenuhnya pada Disember tahun lalu dengan suntikan dana RM300,000. Olahan baru ruang pameran ini adalah diharapkan dapat memberi kefahaman dan penghayatan kepada masyarakat berkenaan sejarah perjuangan kemerdekaan di Malaysia.

“Selain itu, ia juga dapat memasyarakatkan bahan arkib dalam membina jati diri dan cinta kepada negara, sekali gus memberi nafas baharu dan penambahbaikan kepada pameran di MPK.

“Ruang pameran MPK mempunyai 15 segmen pameran, bermula dengan zaman Melaka pada masa dahulu sehingga pembentukan Malaysia pada 1963. Bahan pameran terdiri daripada poster, artifak, gambar, lukisan, dokumen dan sebagainya,” katanya.

Pengisian bicara sejarah mengenai peristiwa berlaku sebelum hari sambutan kemerdekaan perlu difahami golongan masa kini supaya dapat memahami perjalanan perjuangan mencapai keharmonian seperti sekarang dan boleh diraikan.

LAWATAN tetamu kehormat ke ruang pameran. FOTO Ihsan MPK Bandar Hilir Melaka & Arkib Negara
LAWATAN tetamu kehormat ke ruang pameran. FOTO Ihsan MPK Bandar Hilir Melaka & Arkib Negara

PERBINCANGAN sejarah membabitkan dua panel dan moderator daripada PERZIM. FOTO Ihsan MPK Bandar Hilir Melaka & Arkib Negara
PERBINCANGAN sejarah membabitkan dua panel dan moderator daripada PERZIM. FOTO Ihsan MPK Bandar Hilir Melaka & Arkib Negara

“Sebenarnya banyak peristiwa penting perlu diketahui dan diraikan iaitu satu daripadanya pada 20 Februari. Ramai tidak tahu dan itu usaha kami dengan menganjurkan bicara sejarah berkenaan.

“Kami berharap selain pelancong luar yang datang melihat dan mempelajari sejarah negara kita, sebaiknya rakyat sendiri mengunjungi serta memahami peristiwa penting dengan lebih mendalam. Akhirnya dengan itu bukan sahaja dapat menanam kecintaan terhadap negara,” katanya.

Dalam bicara sejarah itu juga, Pensyarah Kanan Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM) Dr Muhammad Azwan Abd Rahman dan Felo Penyelidik Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Mohd Hariszuan Jaharudin tampil sebagai panel. Kurator Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) pula tampil sebagai moderator.

LEBIH banyak paparan dalam bentuk info grafik untuk memudahkan pembacaan. FOTO Ihsan MPK Bandar Hilir Melaka & Arkib Negara
LEBIH banyak paparan dalam bentuk info grafik untuk memudahkan pembacaan. FOTO Ihsan MPK Bandar Hilir Melaka & Arkib Negara

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Mac 2020 @ 7:00 AM
Digital NSTP Subscribe