NURUL Ain dan suami sanggup sewa kedai tempatkan 400 kucing terbuang untuk penjagaan rapi. FOTO Faiz Anuar
NURUL Ain dan suami sanggup sewa kedai tempatkan 400 kucing terbuang untuk penjagaan rapi. FOTO Faiz Anuar
Muhamaad Razis Ismail


SEPASANG suami isteri sanggup menjadikan kediaman mereka di Taman Sri Muda, Shah Alam untuk menempatkan 22 kucing lumpuh yang dikutip di tepi jalan sejak enam tahun lalu.

Bukan itu sahaja, Nurul Ain Abdul Hamid, 29 dan suaminya, Muhamad Razeef Che Shamah, 39, turut menyewa kedai tiga tingkat yang dinamakan sebagai S I Home Shelter yang terletak kira-kira satu kilometer dari rumah mereka untuk menempatkan lebih 400 kucing terbuang.

Lebih istimewa, sebuah bilik disediakan khas bagi menempatkan semua kucing itu bagi memastikan ia mendapat penjagaan rapi.

Antara kucing yang diselamatkan termasuk yang mengalami masalah lumpuh, kanser dan buta.

Menurut Nurul Ain, semua kucing itu dilayan seperti anak sendiri bahkan ketika ‘berbual’ dengan kucingnya, dia membahasakan dirinya sebagai ‘Mummy’.

Katanya, kos penjagaan, makanan dan rawatan kucing berkenaan menggunakan wang sendiri dan hasil sumbangan orang ramai.

“Saya ikhlas kerana begitu menyayangi kucing dan ia bagaikan satu kepuasan apabila melihat kucing terbiar yang diselamatkan sihat seperti sedia kala,” katanya kepada Harian Metro.

MAKANAN kucing yang disediakan tidak pernah dicatu. FOTO Faiz Anuar
MAKANAN kucing yang disediakan tidak pernah dicatu. FOTO Faiz Anuar

KERJA membersihkan pusat jagaan kucing dijalankan setiap pagi. FOTO Faiz Anuar
KERJA membersihkan pusat jagaan kucing dijalankan setiap pagi. FOTO Faiz Anuar

Ketika temu bual berlangsung di kediaman berkenaan, penulis dan jurugambar turut diserbu kucing peliharaannya yang jinak dan manja.

“Semuanya dijaga dengan baik dan kucing akan dibiarkan bebas berkeliaran sekiranya tidak mengalami penyakit berjangkit manakala yang lumpuh akan dipakaikan lampin pakai buang,” - Nurul Ain

Mengulas lanjut mengenai kerja kebajikannya itu, Nurul Ain berkata, ia sebenarnya dimulakan oleh suaminya sebelum mereka berkahwin.

Kata Nurul Ain, suaminya ketika itu sudah mula menyewa sebuah rumah teres semata-mata untuk menempatkan semua kucing terbiar berkenaan.

Katanya, pertemuan dan jodoh mereka pun sebenarnya disebabkan haiwan ini.

“Pada mulanya saya berjumpa seekor kucing yang cedera selepas dilanggar kenderaan dan terus dibawa ke klinik haiwan untuk rawatan.

“Kemudian, saya bertanya di satu laman di Facebook berkenaan penjagaan kucing jalanan sebelum suami tampil memberi komen dan mencadangkan supaya haiwan itu diberikan kepadanya.

“Bermula daripada saat itulah kami berkenalan sehingga membawa ke jenjang pelamin,” katanya.

KUCING lumpuh yang ditempatkan di kediamannya. FOTO Faiz Anuar
KUCING lumpuh yang ditempatkan di kediamannya. FOTO Faiz Anuar

Nurul Ain berkata, selepas berkahwin, dia dan suaminya semakin aktif menyelamatkan kucing terbiar yang kemudian akan diserahkan kepada keluarga lain.

Katanya, semua kucing terbiar itu akan dirawat terlebih dahulu sebelum diserahkan kepada keluarga yang berminat.

Namun, sejak kebelakangan ini permintaan daripada keluarga angkat semakin hari semakin berkurangan manakala jumlah kucing pula semakin bertambah mendorong mereka menyewa kedai tiga tingkat bagi memastikan ia lebih selesa.

“Semuanya dijaga dengan baik dan kucing akan dibiarkan bebas berkeliaran sekiranya tidak mengalami penyakit berjangkit manakala yang lumpuh akan dipakaikan lampin pakai buang,” katanya.

Ketika ditanya mengenai perbelanjaan yang diperlukan untuk menjaga kesemua kucing terbabit, Nurul Ain berkata, setiap bulan dia memperuntukkan kira-kira RM15,000 untuk kos penjagaan.

Jelasnya, jumlah itu termasuk untuk membeli 450 kilogram makanan, sewa kedai dan pembayaran gaji empat pekerja tetapi ia belum termasuk kos rawatan untuk kucing yang berdepan masalah kesihatan.

“Sumbangan orang ramai memang dapat membantu namun tidak mencukupi dan setiap bulan, kebiasaannya saya yang berniaga kecil-kecilan dan suami yang turut berniaga perlu mengeluarkan duit poket sendiri ,” katanya.

Sementara itu, Nurul Ain berkata, sepanjang terbabit dengan aktiviti kebajikan itu, dia mengakui berdepan pelbagai dugaan termasuk pernah dituduh menggunakan sumbangan orang ramai untuk kepentingan sendiri.

Katanya, meskipun berdepan dengan kos perbelanjaan yang tinggi tetapi dia dan suami tidak tergamak untuk menyalahgunakan sumbangan itu.

“Lebih mendukacitakan, ada juga pihak yang sanggup membuat laporan kepada pihak berkuasa kononnya kami menganiaya semua kucing itu namun apabila pemeriksaan dilakukan, ia terbukti bukan seperti yang didakwa,” katanya yang mengakui mereka mempunyai impian untuk membina pusat jagaan dan perlindungan kucing terbiar di tanah sendiri suatu hari nanti.

KUCING terbiar yang dipelihara. FOTO Faiz Anuar
KUCING terbiar yang dipelihara. FOTO Faiz Anuar

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Mac 2020 @ 7:01 AM
Digital NSTP Subscribe