HOBI simpan duit syiling lama dorong Syukaihar serius kumpul pelbagai jenis barangan lama. FOTO Ihsan Syukaihar Mohd Sa’adi
HOBI simpan duit syiling lama dorong Syukaihar serius kumpul pelbagai jenis barangan lama. FOTO Ihsan Syukaihar Mohd Sa’adi
Muhamaad Razis Ismail


PADA mulanya dia hanya menyimpan duit syiling lama sebagai hobi sebelum mula serius dengan mengumpul pelbagai jenis barangan antik sejak lapan tahun lalu.

Kini Syukaihar Mohd Sa’adi, 35, memiliki lebih 10,000 barang antik termasuk barangan tembaga, senjata lama, papan tanda dan basikal yang disimpan di rumahnya, selain di galeri yang dinamakan Garage Antique Malaya di Kuantan, Pahang.

Syukaihar berkata, dia mula memiliki barangan antik sejak kecil dengan bermula menyimpan syiling lama sebagai koleksi peribadi.

Katanya, bagaimanapun lama-kelamaan dia mula terbabit mengumpul pelbagai jenis barangan antik yang diperoleh dari seluruh negara.

“Pada mulanya saya hanya menyimpan sebagai koleksi peribadi. Bagaimanapun apabila jumlah barang semakin bertambah dan mendapat permintaan, saya mula menjual sedikit demi sedikit.

SYUKAIHAR (kiri) mula mengumpul barang antik sejak lapan tahun lalu. FOTO Ihsan Syukaihar Mohd Sa’adi
SYUKAIHAR (kiri) mula mengumpul barang antik sejak lapan tahun lalu. FOTO Ihsan Syukaihar Mohd Sa’adi

“Lama-kelamaan, saya mula serius dengan hobi ini dan mula ‘memburu’ pelbagai jenis barangan antik di seluruh negara untuk memenuhi permintaan pasaran.

“Bagi saya, dengan mengumpul barangan lama seperti ini dapat memupuk diri dan generasi akan datang untuk lebih menghargai sejarah,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Menurutnya, semua barang antik itu diperoleh dari kedai lama dan pengumpul barang antik sendiri.

“Biasanya di kawasan pantai timur ini, saya selalu ke kawasan sekitar Jerantut dan Temerloh yang terdapat banyak kedai lama memiliki barang antik.

BERNIAGA di pasar karat. FOTO Ihsan Syukaihar Mohd Sa’adi
BERNIAGA di pasar karat. FOTO Ihsan Syukaihar Mohd Sa’adi

“Malah, saya pernah ke luar negara termasuk ke England semata-mata untuk mencari barangan antik untuk dijual di negara ini.

“Kadangkala saya perlu berulang-alik ke tempat sama untuk memujuk pemiliknya menjual barang antik yang pastinya memiliki nilai sentimental sehingga sukar dilepaskan,” katanya.

Bapa empat anak ini berkata, nilai sesuatu barangan antik itu adalah subjektif bergantung kepada penilaian pemilik dan pembeli sendiri.

BARANG antik yang dijual di pasar karat. FOTO Ihsan Syukaihar Mohd Sa’adi
BARANG antik yang dijual di pasar karat. FOTO Ihsan Syukaihar Mohd Sa’adi

“Kadangkala nilai sesuatu barang bergantung kepada tahun keluaran dan sukar ditemui. Saya sendiri terkejut apabila pernah ditawarkan pelanggan dari Singapura untuk mendapatkan satu papan tanda dengan harga tidak masuk akal iaitu berharga RM4,000.

“Biarpun sudah lama terbabit dengan barangan antik, saya sendiri tidak boleh jangka harga yang ditawarkan.

KOLEKSI milik Syukaihar. FOTO Ihsan Syukaihar Mohd Sa’adi
KOLEKSI milik Syukaihar. FOTO Ihsan Syukaihar Mohd Sa’adi

“Bagaimanapun, bagi pengumpul barangan antik, mereka tidak kisah harga kerana hanya mahukan barang itu menjadi milik mereka,” katanya.

Tambahnya, kini dia memiliki sebuah mesin membuat air soda keluaran tahun 40-an yang dihasilkan di England.

MESIN air soda bernilai RM18,000. FOTO Ihsan Syukaihar Mohd Sa’adi
MESIN air soda bernilai RM18,000. FOTO Ihsan Syukaihar Mohd Sa’adi

“Mesin itu boleh dikategorikan barang yang ‘rare’ dalam kalangan pengumpul barangan antik.

“Saya pernah ditawarkan RM18,000 namun setakat ini saya belum berhasrat menjualnya,” katanya.

Katanya, dia bersyukur isterinya tidak putus-putus memberi sokongan kepadanya untuk meneruskan hobi itu yang mampu menjana pendapatan untuk menyara keluarga.

“Malah, anak saya juga kini mula menunjukkan minat yang sama termasuk mula mengumpul permainan lama, setem dan sebagainya.

“Sebagai bapa sudah pasti saya beri galakkan sepenuhnya kepada mereka untuk meneruskan hobi itu kerana melihat potensi besar di masa hadapan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Mac 2020 @ 7:01 AM
Digital NSTP Subscribe