SEORANG penghuni RPWP tekun menyiapkan peralatan PPE.
SEORANG penghuni RPWP tekun menyiapkan peralatan PPE.
Fairul Asmaini Mohd Pilus


PEJUANG barisan hadapan khususnya kakitangan perubatan kini bergadai nyawa untuk melawan pandemik Covid-19.

Jasa dan pengorbanan mereka mendorong sekumpulan anak yatim dan asnaf dari Rumah Pengasih Warga Prihatin (RPWP) Kajang, Selangor untuk tampil membantu menyediakan alat pelindung diri (PPE).

Menerusi inisiatif Projek Pelangi itu, pelbagai peralatan PPE seperti perisai muka (visor), topeng mulut dan hidung, coverall, gaun bedah, tudung kepala dan lain-lain disediakan bagi membantu pasukan perubatan dalam menangani Covid-19.

Jurucakap Projek Pelangi, Azman Salikin berkata, semuanya bermula selepas pihaknya menerima panggilan daripada seorang doktor perubatan dari sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang terbabit membantu tugas barisan hadapan.

Kata Azman, pihaknya dimaklumkan bahawa bekalan PPE sedang meruncing sehinggakan ada yang terpaksa menggunakan plastik sampah dan apron pakai buang tukang masak untuk melindungi diri.

Selain itu, barisan hadapan juga ada yang sudah dijangkiti.

WARGA RPWP bergotong-royong menyiapkan PPE untuk membantu pasukan perubatan.
WARGA RPWP bergotong-royong menyiapkan PPE untuk membantu pasukan perubatan.

“Mereka meminta sekurang-kurangnya 2,000 unit visor dengan kadar segera dan pada malam itu juga gerakan dilancarkan.

“Alhamdulillah 2,000 unit yang diminta dapat disiapkan dalam masa dua hari sahaja namun ia habis diedarkan kepada barisan hadapan kurang daripada 24 jam.

“Ternyata keperluan sangat tinggi dan mendesak, fenomena lockdown di seluruh dunia menjadikan pengimportan barangan itu turut memakan masa,” katanya.

Menurut Azman lagi, untuk menampung keperluan yang meningkat secara mendadak memang sukar jika dilakukan secara sendirian.

Justeru, komuniti anak yatim dan asnaf itu segera menggerakkan inisiatif Projek Pelangi untuk mengajak masyarakat bersama-sama menyumbang bagi membantu barisan hadapan.

Kata Azman, kini, kapasiti pengeluaran projek itu melonjak kepada 3,000 unit sehari.

PERALATAN PPE yang disiapkan diagihkan kepada pasukan perubatan.
PERALATAN PPE yang disiapkan diagihkan kepada pasukan perubatan.

“Ia dibuat sepenuhnya di rumah kebajikan asnaf dan anak yatim RPWP di Sungai Ramal Baru tanpa melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang ditetapkan.

“Pembuatan peralatan itu mematuhi standard amalan perkilangan baik (GMP) yang ditetapkan,” katanya.

Jelas Azman lagi, pihaknya turut memastikan kebersihan dan pengawalan kualiti produk sentiasa menjadi keutamaan.

Katanya, material yang digunakan adalah dua kali ganda lebih tebal dan kukuh berbanding apa yang terdapat di pasaran kerana ia ditempah khas dari kilang.

“Anak-anak RPWP sangat gembira dapat menyertai aktiviti begini. Selain dapat mengisi masa lapang, kerja tangan mereka juga dapat membantu pejuang barisan hadapan yang juga wira negara.

“Lebih dari itu, Projek Pelangi juga dapat memberikan pendedahan pendidikan dan pengalaman kepada mereka dalam bidang pembuatan serta pengilangan,” katanya.

Sementara itu, Projek Pelangi berkenaan menyasarkan untuk menyediakan sekurang-kurangnya 100,000 unit PPE.

Setakat ini, mereka sudah pun berjaya menyiapkan kira-kira 15,000 unit PPE.

“Sumbangan daripada orang awam mampu menggandakan lagi keluaran bagi mencukupkan keperluan petugas kesihatan di negara ini.

“Bagi yang ingin membantu, layari laman sesawang www.projekpelangi.com, “ katanya.

ANTARA visor yang sudah disiapkan.
ANTARA visor yang sudah disiapkan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 April 2020 @ 7:00 AM