SEJAK bangku sekolah dan seawal usia enam tahun bakat lukis Izatul Aswani sudah dihidu arwah ayahnya
SEJAK bangku sekolah dan seawal usia enam tahun bakat lukis Izatul Aswani sudah dihidu arwah ayahnya
Hafiz Ithnin

USAI solat Isyak, cepat-cepat gadis berusia 32 tahun itu masuk ke ruang privasinya. Tidak ada yang boleh diganggu tatkala jari-jemari melayangkan pensil di atas kanvas untuk menzahirkan sebuah karya seni yang bukan sekadar minat, malah ia sebahagian daripada periuk nasinya.

Anak sulung pasangan, Razali Mohamed dan Roszaini Saadon itu perlu menyiapkan tempahan karya seni yang dipesan pelanggan secepat mungkin kerana baginya menepati masa amat penting bagi pelukis yang mencari wang daripada hasil seni.

Lukisan potret adalah kekuatan pelukis bernama Izatul Aswani Razali. Sejak di bangku sekolah dan seawal usia enam tahun bakatnya di dalam seni lukis sudah dihidu ayahnya yang sudah kembali ke Maha Pencipta Disember tahun lalu.

Dalam kalangan artis tempatan mungkin namanya tidak ternama namun melihat hasil seni potret yang dihasilkan begitu unik dan cantik. Apatah lagi wajah pemimpin negara turut pernah dilukisnya untuk menjadi sebuah potret.

Izatul Aswani berkata, dia hanya anak kampung yang membesar di Muar, Johor, tetapi hasil bakat yang mengalir daripada arwah bapanya mampu mengunci kepercayaan ramai pihak untuk menempah hasil karyanya.

Katanya, sejak aktif melukis secara komersial lapan tahun lalu setiap bulan tidak kurang 20 tempahan diterimanya daripada pelbagai pihak sama ada untuk mengabadikan potret sendiri atau dihadiahkan kepada insan istimewa.

POTRET perdana menteri antara yang pernah dihasilkan Izatul.
POTRET perdana menteri antara yang pernah dihasilkan Izatul.

KARYA dihasilkan yang pernah ditempah untuk hadiah untuk orang kenamaan.
KARYA dihasilkan yang pernah ditempah untuk hadiah untuk orang kenamaan.

“Arwah ayah yang banyak memberi inspirasi kepada saya untuk menjadikan karya lukisan sebagai satu pendapatan kerana sejak kecil beliau adalah individu yang banyak memberi sokongan.

“Sebelum ini saya hanya melukis sekadar hobi memandangkan ingin serius dalam bidang pereka grafik. Selepas habis belajar di Politeknik Johor Bahru, sementera menunggu mendapat kerja saya melukis potret kawan-kawan dan jiran. Bermula dari situ ramai yang meminta saya untuk wujudkan perniagaan secara atas talian,” katanya.

Bakat Izatul Aswani bukan sekadar melukis potret. Malah, ketika menuntut di politeknik dia juga meraih anugerah pelajar terbaik.

Izatul Aswani berkata, dia mula menyedari hasil karya mula mendapat perhatian apabila ada pelanggannya menempah potret seorang kerabat diraja bagi dihadiahkan dalam satu majlis.

Bermula dari situ, namanya semakin dikenali untuk melukis potret milik orang kenamaan yang lain.

Katanya, bagi menghasilkan sebuah potret yang berkualiti dia sentiasa menyarankan pelanggan untuk menempah sekurang-kurangnya sebulan lebih awal kerana bagi menyiapkan suatu potret mengambil masa tiga minggu.

“Saya memerlukan gambar asli daripada pelanggan untuk dilukis menjadi sebuah potret dan tidak melukis secara ‘live’ kerana tuntutan waktu kerja yang terhad memandangkan pada siang hari saya bekerja sebagai pereka grafik.

“Dalam berkarya saya suka bereksprementasi dengan warna. Selain itu, kekuatan saya adalah melukis menggunakan media seperti ‘soft pastel’, ‘charcoal’, ‘charcoal stick’, ‘acrilic’ atau ‘oil painting’, katanya yang mula menjual lukisan sejak di sekolah rendah untuk mendapat wang poket lebih.

Ketika ditemu bual wanita itu turut menceritakan kisah manis ketika hayat ‘lelaki agung’ buatnya. Dia masih ingat bapanya mempunyai sebuah pondok menyimpan pelbagai karya lukisan sentuhan peribadi.

MELUKIS potret menjadi pendapatan sampingan Izatul.
MELUKIS potret menjadi pendapatan sampingan Izatul.

“Bakat seni lukis yang ada pada ayah turun ke saya dan adik bongsu, Nur Huda Razali yang kini menuntut di Politeknik Merlimau, Melaka. Huda lebih gemar melukis watak animasi berbanding saya gemarkan karya potret.

“Masih ingat ketika kecil apabila ayah melukis saya akan ikut sama. Tidak sangka bakat seni beliau turun pada saya sehingga mampu menjadikan aktiviti ini sebagai pendapatan sampingan pada hari ini untuk membantu keluarga selepas beliau sudah tiada,” katanya.

Jelasnya, melukis potret bukan sesuatu yang mudah kerana artis perlu mempunyai ketajaman mata untuk meniru sesuatu objek asli supaya tidak kelihatan canggung selepas dihasilkan.

“Jika lihat kepada wajah seseorang, mereka mempunyai keunikan tersendiri dari segi warna kulit, bentuk muka, kedutan dan elemen asli yang lain seperti bentuk mata, hidung dan bibir.

“Apabila saya melukis saya perlu pastikan setiap elemen yang dihasilkan bukan sahaja nampak cantik, tetapi asli bagi mengelakkan hasil karya kelihatan palsu. Sekiranya tidak dilakukan dengan baik, pastinya pelanggan tidak berpuas hati,” katanya yang menjual lukisannya bermula RM150.

Bakat Izatul Aswani juga mendapat perhatian pelbagai syarikat korporat dan penganjur pameran seni untuk mengadakan pelbagai perkongsian hasil seninya kepada khalayak.

“Bagaimanapun, saya terpaksa menolak untuk turut serta memandangkan perlu bekerja di pejabat dan menyiapkan tempahan potret yang diinginkan pelanggan.

“Saya juga mempunyai cita-cita untuk mempunyai galeri sendiri, tetapi biar waktu yang menentukan kerana pada masa ini adalah ruang terbaik untuk membantu keluarga selepas ketiadaan ayah di sisi kami sekeluarga,” katanya menoktahkan perbualan.

SENTIASA berani mencuba dalam mempelbagaikan warna untuk menghasilkan karya yang menarik.
SENTIASA berani mencuba dalam mempelbagaikan warna untuk menghasilkan karya yang menarik.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 April 2020 @ 7:00 AM