Noor Hidayah Tanzizi

TENGKOLOK adalah hiasan kepala yang sinonim dengan pemakaian busana, kepahlawanan selain dekat dengan pelbagai acara adat istiadat masyarakat Melayu yang kini menjadi trend untuk digayakan pada Aidilfitri.

Penyoleknya, Osman Abd Rahman, 37, berkata, pemakaian tengkolok pada hari raya bukan saja memberikan kelainan kepada gaya lelaki yang lebih sinonim dengan songkok, malah ia dapat menghidupkan kembali identiti budaya dan tradisi Melayu.

Menurutnya yang dikenali sebagai Tok Tulis Perak, trend pemakaian aksesori itu semakin meningkat sejak tiga tahun lalu hingga mendapat permintaan tinggi pada musim perayaan.

"Pada pandangan saya, pemakaian tengkolok tidak terhad untuk berbusana Melayu saja, tetapi ia juga sesuai dipakai bersama baju Melayu atau pakaian lain, sekali gus mengubah tanggapan segelintir generasi muda terhadap pemakaian tengkolok yang dianggap ketinggalan zaman.

"Tetapi, pemakaian tengkolok juga perlu mempunyai adab seperti tidak boleh dilangkah atau dipijak selain tidak dipakai dengan seluar pendek atau singlet.

"Ini kerana tengkolok adalah unsur dan lambang bangsa yang sudah digunakan sejak zaman dahulu dan ia juga dipakai di kepala," katanya di Kampung Teluk Kepayang, Bota Kiri, Bota, Perak baru-baru ini.

TENGKOLOK pelbagai jenis yang dihasilkan mengikut tempahan pelanggan sempena Aidilfitri ini.
TENGKOLOK pelbagai jenis yang dihasilkan mengikut tempahan pelanggan sempena Aidilfitri ini.

ANTARA tengkolok yang sarat nilai estetika sentuhan Osman.
ANTARA tengkolok yang sarat nilai estetika sentuhan Osman.

Bercerita lanjut, Osman berkata, untuk tempahan raya dia menghasilkan tengkolok Ayam Patah Kepak dan Balong Raja selain Keriasi iaitu tanjak olahan baru yang lebih kreatif, namun masih mengekalkan ciri tradisional.

"Ramadan ini, permintaan agak kurang susulan penularan wabak Covid-19. Hingga kini saya menerima 150 tempahan berbanding lebih 400 pada tahun lalu, malah kali ini penghantaran juga lebih banyak dilakukan secara pos.

"Bagaimanapun, sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), sudah ada yang bertanya dan membuat tempahan semula," katanya sudah lapan tahun terbabit bidang itu.

Bapa tiga anak itu berkata, untuk tengkolok Perak perlu ada tiga ciri iaitu garam sebuku (ikatan), pucuk rebung dan solek (layar) dan dia menghasilkannya dari kain songket dan kapas.

"Tanjak Keriasi antara yang mendapat sambutan tinggi hingga menerima tempahan dari Singapura selain Johor dan Kuala Lumpur.

"Paling sukar dihasilkan ikatan untuk tengkolok anak gajah menyusu. Selain itu, keriasi juga agak sukar kerana faktor materialnya dan memerlukan cetusan ilham yang kreatif.

"Dalam sehari hanya 10 unit dapat disiapkan kerana kerja menyolek tengkolok hanya dilakukan seorang diri dan perlu teliti bagi menjaga kualiti," katanya yang pernah membuat tengkolok untuk pelanggan berusia tiga bulan.

Osman berkata, dia mahu terus memelihara martabat identiti Melayu dan berharap seni pembuatan tengkolok terus dipelajari terutama generasi muda.

Tengkolok yang dihasilkan daripada kain kapas bermula harga RM70 hingga RM100 manakala kain songket pula RM100 hingga RM180 untuk kanak-kanak dan dewasa.

PELBAGAI jenis tengkolok dihasilkan.
PELBAGAI jenis tengkolok dihasilkan.

KETELITIAN dan nilai estetika terus dipertahankan.
KETELITIAN dan nilai estetika terus dipertahankan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Mei 2020 @ 7:01 AM
KERJA menyolek tengkolok hanya dilakukan seorang diri dan perlu teliti bagi menjaga kualiti. FOTO & VIDEO Sharul Hafiz Zam
KERJA menyolek tengkolok hanya dilakukan seorang diri dan perlu teliti bagi menjaga kualiti. FOTO & VIDEO Sharul Hafiz Zam