Balqis Jazimah Zahari

TAK lapuk dek hujan tak lekang dek panas. Kelamai antara makanan tradisi popular masyarakat keturunan Rao yang lazimnya dihidang ketika santai dan perayaan seperti Aidilfitri.

Dibakar seperti lemang dan isi yang sudah dikupas kelihatan 'hitam-hitam manis' seakan dodol, namun itu keistimewaan makanan unik berkenaan yang kini sukar didapati dan hanya dimasak masyarakat itu.

Bagi mengekalkan makanan tradisi itu, perusahaan dari rumah Kelamai Acu di Kampung Gunung Mesah Hilir, Gopeng, Perak memilih untuk terus menghasilkan kelamai supaya tidak hilang ditelan zaman dan kekal dikenali generasi ke generasi.

Pengusahanya, Aris Fadilah Shaharudin, 50, berkata, kalau generasi terdahulu menyediakan juadah itu hanya pada ketika musim perayaan namun kini pihaknya menghasilkan juadah itu sepanjang masa.

Katanya, resipi turun-temurun berasal daripada Rao, Indonesia itu pada awalnya dimulakan abangnya sejak 1992 sebelum dia meneruskan legasi bagi menghasilkan makanan tradisi berkenaan sehingga kini.

"Saya mendapat resipi ini daripada arwah ibu yang sebelum itu diturunkan daripada arwah nenek dan suatu hari pula diwarisi pula oleh anak-anak kami.

ARIS Fadilah memotong buluh aur sambil dibantu anaknya. FOTO & VIDEO Sharul Hafiz Zam
ARIS Fadilah memotong buluh aur sambil dibantu anaknya. FOTO & VIDEO Sharul Hafiz Zam

"Jadi, kami mahu komersialkan kelamai ini supaya kelak ia bukan sahaja dikenali dalam kalangan keturunan masyarakat Rao, malah dapat dirasai semua," katanya ketika sedang menyiapkan tempahan di rumahnya, baru-baru ini.

Aris Fadilah berkata, bermula awal Ramadan sehingga Aidilfitri setakat ini mereka menerima tempahan lebih daripada 500 batang.

"Permintaan memang tinggi dan kami tidak menang tangan. Jika sebelum ini, setiap minggu kami memasak dalam 40 batang dan menjualnya di tepi jalan di sekitar Gopeng.

"Ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan perayaan kali ini juga kami banyak menerima tempahan termasuk dari luar seperti Johor dan Kuala Lumpur, jadi tempahan dihantar melalui pos," katanya.

Menurutnya, sekiranya lemang biasa menggunakan buluh hutan manakala kelamai pula menggunakan buluh aur yang lebih tebal.

"Ruas buluh aur lebih pendek berbanding ruas buluh lemang yang panjang, jadi kita perlu tebuk di tengah-tengah dan kemudian kulitnya pula diraut supaya bahagian luar menjadi lebih nipis.

KELAMAI antara makanan tradisi popular masyarakat keturunan Rao. FOTO & VIDEO Sharul Hafiz Zam
KELAMAI antara makanan tradisi popular masyarakat keturunan Rao. FOTO & VIDEO Sharul Hafiz Zam

KEMERIAHAN memasak kelamai terutama ketika Ramadan dan Syawal. FOTO & VIDEO Sharul Hafiz Zam
KEMERIAHAN memasak kelamai terutama ketika Ramadan dan Syawal. FOTO & VIDEO Sharul Hafiz Zam

"Salah satu kelebihan kelamai ialah boleh bertahan sehingga lebih sebulan sekiranya disimpan di tempat yang elok dan tidak lembap," katanya

Katanya, bahan yang diperlukan untuk memasak kelamai adalah tepung pulut, gula merah, santan dimasak sehingga menjadi 'tahi minyak' dan kelapa parut yang digoreng.

Menceritakan lebih lanjut berkenaan langkah membuat makanan tradisi itu, isterinya, Norizan Dollah, 49, berkata, cara menyediakan kelamai agak rumit dan memerlukan kesabaran yang tinggi.

Ia memerlukan masa tiga hari bagi keseluruhan proses bermula dengan menyiapkan adunan sehingga proses akhir iaitu dibakar.

MEMBAKAR kelamai antara suasana yang mengeratkan silaturahim keluarga dan jiran tetangga. FOTO & VIDEO Sharul Hafiz Zam
MEMBAKAR kelamai antara suasana yang mengeratkan silaturahim keluarga dan jiran tetangga. FOTO & VIDEO Sharul Hafiz Zam

"Pada mulanya beras pulut yang dijemur dan sudah dikisar dimasak dengan air gula kemudian diperam selama tiga hari.

"Kemudian sehari sebelum dibakar, perlu menyiapkan 'tahi minyak' dan kerisik untuk dicampurkan dalam adunan sebelum dituang dalam buluh untuk dibakar menggunakan bara api selama lapan jam," katanya.

Sesudah dibakar ia akan disejukkan sekurang-kurangnya sehari sehingga dua hari sebelum dihidangkan.

Mengikut pantang larang orang lama, buluh untuk dibuat kelamai tidak sesekali boleh dilangkah bagi memastikan hasilnya 'cantik' selepas dimasak.

NORIZAN menunjukkan kelamai yang sudah siap dibakar. FOTO & VIDEO Sharul Hafiz Zam
NORIZAN menunjukkan kelamai yang sudah siap dibakar. FOTO & VIDEO Sharul Hafiz Zam

INFO KELAMAI

• Boleh disimpan sehingga lebih sebulan

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Jun 2020 @ 7:00 AM