AHMAD Saifulnizam bangkit daripada masalah kesihatan dengan mengasah bakat baharu. FOTO Ahmad Saifulnizam Ahmad Noh
AHMAD Saifulnizam bangkit daripada masalah kesihatan dengan mengasah bakat baharu. FOTO Ahmad Saifulnizam Ahmad Noh
Hafiz Ithnin

"APABILA dimaklumkan saya mengalami masalah penglihatan akibat pecah salur darah mata pada Januari 2018, ibaratnya kerjaya sejak 2014 sebagai pramugara hampir musnah.

"Perasaan tertekan tidak dapat dinafikan. Bagaimanapun, saya bangkit semula. Malah, melakukan aktiviti yang tidak pernah ada dalam diari hidup sebelum ini," kata lelaki berusia 34 tahun itu.

Akibat kerosakan salur darah mata kanannya, pemilik nama Ahmad Saifulnizam Ahmad Noh terpaksa direhatkan seketika dari bertugas di awan biru kerana risiko berada tempat tinggi boleh memudaratkan lagi proses pemulihan matanya.

Dalam tempoh direhatkan, seorang yang sudah biasa sibuk bekerja pastinya merasakan kehilangan sesuatu dalam diri.

Namun, anak kelahiran Kuala Lumpur itu mula mencari aktiviti baharu mengisi waktu lapang. Larian denai kategori ultra! (larian melebihi 42km).

Meskipun belum pernah menyertai sebarang kejohanan larian denai ultra, tetapi pemilik sarjana pengurusan perniagaan itu aktif melakukan larian denai di sekitar pinggir ibu negara dan jaraknya semua melebihi 40 kilometer (km).

Malah, kurang 24 jam dia pernah menamatkan larian 100km.

Membelek profil aktiviti lariannya kepada penulis, Ahmad Saifulnizam masih baharu dalam aktiviti itu kerana kejohanan larian pertama disertai pada tahun lalu membabitkan 30km dan dua lagi sejauh 42km masing-masing tahun lalu dan awal tahun ini.

Ahmad Saifulnizam berkata, sejak direhatkan daripada bertugas dia mula mencari aktiviti baharu bagi mengisi waktu lapang dan tidak menyangka dengan sekadar mengikuti rakan-rakan larian denai di Bukit Dinding di ibu negara pada tahun lalu menjadikan dia ketagih dan serius sehingga kini.

LARIAN denai menguji kemampuan Ahmad Saufulnizam dalam teknik larian. FOTO Ahmad Saifulnizam Ahmad Noh
LARIAN denai menguji kemampuan Ahmad Saufulnizam dalam teknik larian. FOTO Ahmad Saifulnizam Ahmad Noh

"Bagi saya aktiviti larian denai ini sesuatu yang menarik kerana ia mencabar potensi diri untuk terutama mengawal ketahanan mental dan fizikal bagi terus dapat bertahan apabila berada di atas trek.

"Saya lakukan aktiviti ini selepas doktor mengesahkan keadaan mata sudah pulih, tetapi pihak syarikat mengambil berat keadaan diri supaya keadaan mata kanan yang buta seketika akibat salur darah pecah itu betul-betul dalam keadaan baik apabila bertugas," katanya yang masih direhatkan tanpa gaji sehingga hari ini.

Namun dia tidak menyalahkan syarikat kerana faham soal kesihatan kakitangan menjadi keperluan utama.

Maka, disebabkan itu dia tidak pernah merasakan dirinya ibarat terbuang, malah mengasah bakat baharu.

Katanya, apabila dalam keadaan tertekan dia menjadikan aktiviti larian denai sebagai lokasi terapi diri. Apatah lagi bertemu rakan yang mempunyai minat sama dan sentiasa menyokong antara satu sama lain.

"Kejohanan larian yang disertai saya semua adalah maraton, tetapi latihan di denai kerana apabila melakukan latihan denai, ia lebih mencabar dari segi menguasai kemampuan fizikal dan mental menamatkan larian.

"Pandangan peribadi saya, apabila berlari di denai yang perlu melalui trek sukar dijangka dan berbukit, apabila menyertai maraton lebih mudah kerana tubuh badan sudah terbiasa dengan keadaan trek yang mencabar," katanya.

BERSAMA rakan-rakan yang mempunyai minat sama dan sentiasa menyokong. FOTO Ahmad Saifulnizam Ahmad Noh
BERSAMA rakan-rakan yang mempunyai minat sama dan sentiasa menyokong. FOTO Ahmad Saifulnizam Ahmad Noh

Jelasnya, hanya kurang tiga bulan menyertai larian denai dia mengambil keputusan menyertai larian maraton 30km dan seterusnya 42km.

Pada Disember depan, dia juga bersedia menyertai TMBT Ultra Marathon 2020 di Sabah iaitu sebuah acara larian denai yang amat terkenal dengan 'kegilaan' treknya dalam kalangan peminat pelari ultra tempatan dan luar negara.

"Buat masa sekarang saya berlatih larian sekurang-kurangnya 10km sehari, hujung minggu 30km dan amat menjaga nutrisi kerana persediaan untuk menyertai TMBT Ultra Marathon 2020 sejauh 100km.

"Selain itu, saya juga sentiasa mendapatkan tunjuk ajar rakan yang berpengalaman untuk bersedia menyertai larian berkenaan. Bagi saya tidak ada yang mustahil sekiranya kita mempunyai usaha dan minat," katanya mengakhiri perbualan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Julai 2020 @ 6:15 AM