NUR Atila (empat dari kiri, berdiri) bersama sukarelawan 8 For Aid.
NUR Atila (empat dari kiri, berdiri) bersama sukarelawan 8 For Aid.
Muhamaad Razis Ismail


SEBANYAK 1,200 beg 'ajaib' berisi pelitup muka, sarapan pagi dan nota kata-kata semangat diagihkan kepada warga kota terdiri daripada golongan B40 selama lima hari berturut-turut, baru-baru ini.

Projek Koordinator gerakan 8 For Aid, Nur Atila Ibrahim, 27, berkata, inisiatif itu diambil untuk memberi kegembiraan dan berkongsi kebahagiaan dengan masyarakat yang berdepan tekanan akibat pandemik Covid-19.

Katanya, susulan itu, beliau menggerakkan program dinamakan sebagai 8 for Smile dengan mengagihkan sarapan pagi dan pelitup muka di lima stesen transit aliran ringan (LRT) yang terletak berhampiran Projek Perumahan Rakyat (PPR).

"Kami menyasarkan kawasan ini, supaya sumbangan ini dapat disampaikan kepada golongan sasar. Di dalam beg itu juga kami sertakan nota tertulis kata-kata semangat.

"Alhamdulillah, kami menerima maklum balas positif daripada mereka yang terharu dengan sumbangan diberikan," katanya.

Menurutnya, sebagai meraikan Hari Kemanusiaan Sedunia, pihaknya menemui beberapa badan bukan kerajaan (NGO) untuk menghargai jasa mereka.

"Kami akan menyantuni beberapa pejabat (NGO) untuk mengagihkan beg ini sebagai penghargaan kepada mereka," katanya.

Tambahnya, untuk menggerakkan program itu, pihaknya mendapat kerjasama daripada ramai pihak termasuk beberapa NGO dan sumbangan orang ramai.

"Kita harap gerakan ini menjadi platform kepada anak-anak muda untuk aktif dengan aktiviti kesukarelawanan.

"Di masa hadapan pelbagai program akan dijalankan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 September 2020 @ 6:40 AM