BIARPUN Danny bergerak aktif atas pentas namun alunan muziknya tetap memukau penonton.
BIARPUN Danny bergerak aktif atas pentas namun alunan muziknya tetap memukau penonton.
BIARPUN Danny bergerak aktif atas pentas namun alunan muziknya tetap memukau penonton.
BIARPUN Danny bergerak aktif atas pentas namun alunan muziknya tetap memukau penonton.
Muhamaad Razis Ismail


MELIHAT remaja lelaki ini bermain biola sambil menari menimbulkan rasa pelik dalam kalangan penonton yang pertama kali menyaksikan persembahannya.

Kebiasaannya pemain biola statik, namun Mohamad Aqmal Daniel Hashim, 18, dilihat aktif bergerak ke sana ke sini atas pentas tanpa rasa kekok.

Ekspresi wajah tidak lekang dengan senyuman membuatkan sesiapa yang menontonnya pasti terhibur sambil turut menggerakkan badan.

Biarpun banyak pergerakan dilakukan, ia sama sekali tidak menjejaskan alunan gesekan biolanya sehingga memukau penonton.

Demikian keunikan yang ditampilkan anak kelahiran Johor Bahru, Johor ini sehingga membawanya ke seluruh negara dan terbang ke luar negara pada hampir setiap minggu demi memenuhi undangan pelbagai majlis.

AKSINYA atas pentas memukau penonton.
AKSINYA atas pentas memukau penonton.

Mohamad Aqmal Daniel atau lebih dikenali sebagai Danny mengakui ramai penonton yang kali pertama melihat persembahannya berasa pelik apabila dia bermain biola sambil menari.

Malah, dia turut menerima kecaman dan dianggap seperti 'monyet' oleh segelintir pihak yang tidak boleh menerima kelainan ditampilkan.

"Saya sudah berada dalam bidang ini hampir 10 tahun dan sudah lali dengan kecaman. Sejak mula sehingga sekarang kecaman tetap ada namun saya hanya pekakkan telinga dan memandang dari sudut positif.

"Apa yang saya lakukan ini adalah minat dan pada saya tidak salah buat kelainan untuk hiburkan penonton," katanya ketika dihubungi.

BAKAT diasah sejak kecil.
BAKAT diasah sejak kecil.

Tambahnya, dia memiliki kemahiran menari zapin apabila turut dihantar ke kelas tarian oleh ibunya sejak kecil.

"Idea untuk menari sambil bermain biola daripada ibu yang mencadangkan supaya ia digabungkan untuk buat kelainan.

"Tidak sangka idea ini menjadi, apabila majoriti penonton menyukainya," katanya.

Di sebalik ketangkasannya bermain biola, ramai yang tidak mengetahui, Danny mula belajar bermain secara 'terpaksa' sejak berusia tujuh tahun.

SENTIASA utamakan penampilan yang unik.
SENTIASA utamakan penampilan yang unik.

"Ibu saya menghantar saya ke kelas muzik kerana tidak suka saya membazir masa. Pada mulanya saya memilih untuk bermain dram namun disebabkan masih kecil saya dicadangkan untuk bermain biola.

"Pada mulanya, saya memang rasa terpaksa kerana hampir setiap hari perlu berlatih sekurang-kurangnya satu jam. Lama-kelamaan minat itu datang dengan sendirinya.

"Pada usia sembilan tahun saya sudah tamatkan semua gred biola di kelas muzik dan mula menerima undangan untuk buat persembahan pada usia 10 tahun," katanya,

Biarpun sibuk dengan pelbagai persembahan di seluruh negara pada hampir setiap minggu, dia tetap mengutamakan pelajaran.

IBU bapa sentiasa menjadi pendorong utama.
IBU bapa sentiasa menjadi pendorong utama.

"Kadangkala saya belajar dalam kereta dan di belakang pentas untuk elakkan tercicir. Apabila di sekolah saya akan berikan tumpuan sepenuhnya.

"Alhamdulillah pelajaran dan aktiviti muzik bergerak seiring dan ketika Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), saya peroleh 5A," katanya.

Katanya, kini dia menuntut di Kolej Yayasan Pelajaran Johor (KYPJ) dalam Diploma Pengajian Perniagaan tetap melakukan perkara sama (bermain biola).

Ditanya mengenai perancangan masa hadapan, Danny berhasrat untuk mengembangkan kariernya dalam bidang perniagaan dengan membuka kelas biola.

PADA usia muda, beliau sudah buat banyak persembahan di dalam dan luar negara.
PADA usia muda, beliau sudah buat banyak persembahan di dalam dan luar negara.

"Ramai dalam kalangan ibu bapa yang buat permintaan supaya saya membuka kelas untuk mengajar anak mereka. Saya lihat ini sebagai satu peluang keemasan.

"Pada masa sama, saya akan keluarkan dua lagu sendiri selain mula berjinak-jinak dengan dunia lakonan. Buat masa ini saya belum berkesempatan untuk ke studio rakaman kerana kepadatan jadual," katanya.

Sementara itu, ibunya, Monahriyanti Mohd Yusof mengakui dia dan suaminya sentiasa memberi sokongan dan galakan kepada anaknya itu untuk menceburi bidang yang diminati.

"Biarpun Danny sibuk sejak kecil, saya sebagai bekas guru sentiasa pastikan pelajaran tetap diutamakan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Oktober 2020 @ 6:35 AM