GAMBAR kenangan dirakam bersama keluarga dan majikannya.
GAMBAR kenangan dirakam bersama keluarga dan majikannya.
Abnor Hamizam Abd Manap


WANITA ini antara yang bertuah kerana mempunyai majikan yang bertanggungjawab dan sering menjaga kebajikannya.

Berasal dari Kampung Subang, Jawa Timur, Indonesia, Sama Soka, 65, sudah 17 tahun berkhidmat sebagai pembantu rumah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jeram Padang, Jempol, Negeri Sembilan, Datuk L Manickam.

Malah Sama bersyukur biarpun berbeza agama namun bukan halangan buatnya kerana bebas menunaikan solat, mengaji dan berpuasa sunat atau Ramadan.

Sama turut berkongsi pengalamannya yang dibiayai majikan menunaikan umrah pada 2016.

"Sepatutnya saya pergi pada 2014 tetapi ditipu ejen dari Jakarta yang menguruskan umrah berkenaan sebelum majikan sendiri menyelesaikan masalah berkenaan," katanya.

Sepanjang bertugas di rumah itu, majikan dan keluarganya tidak mempunyai banyak masalah termasuk berkaitan makan minum.

Katanya pasangan suami isteri berkenaan hanya makan makanan berasaskan sayur-sayuran malah semua masakan yang dimasak adalah halal.

"Ketika saya berpuasa, adakalanya mereka turut berpuasa dan berbuka bersama-sama bagaikan keluarga," katanya yang mempunyai dua anak sebelum seorang daripadanya meninggal dunia akibat barah payudara selain memiliki empat cucu.

Katanya majikannya itu juga setiap tahun akan 'memaksanya' pulang ke kampung halaman selama sebulan bagi menemui anak dan cucunya.

S​AMA ​(kanan) menunjukkan gambar perkahwinan cucunya kepad​a​ Indhu.
S​AMA ​(kanan) menunjukkan gambar perkahwinan cucunya kepad​a​ Indhu.

"Semua kos dibiayai Datuk sendiri namun kebiasaan apabila sudah berada di kampung, saya mahu cepat pulang ke Negeri Sembilan.

"Kebiasaannya saya akan diusik Indhu (salah seorang anak majikannya) selain berharap supaya saya tidak melupakannya sebaik tiba di kampung halaman.

"Berikutan Covid-19, tahun ini saya belum lagi pulang ke kampung malah tidak dapat menghadiri pernikahan cucu pada September lalu namun Datuk turut memberi sumbangan sebanyak RM3,500 bagi majlis berkenaan," katanya yang menghubungi keluarga apabila kelapangan menerusi panggilan video.

Setiap kali tibanya Aidilfitri dan Aidiladha dia dihadiahkan baju baharu.

DIBANTU Vimala ketika menyediakan makanan.
DIBANTU Vimala ketika menyediakan makanan.

"Kebiasaan pada malam sebelum sambutan, saya, Datin V Vimala dan Indhu akan memasak bersama-sama juadah kegemaran termasuk masakan dari Jawa Timur," katanya.

Bagi Manickam, Vimala, 56 dan tiga anak mereka M Mugilan, 30, Aghilan 24 dan Indhu, 22, Sama adalah pembantu rumah paling dedikasi dan amanah dalam menjalankan tugasnya.

"Saya juga turut menasihatkan anak-anak biarpun berbeza agama, setiap orang apatah lagi jika lebih tua daripada kita perlu dihormati termasuk pembantu rumah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 November 2020 @ 6:10 AM