KOMUNITI setempat turut turun padang menanam pokok di persisiran Sungai Klang.
KOMUNITI setempat turut turun padang menanam pokok di persisiran Sungai Klang.
Fairul Asmaini Mohd Pilus


KERAJAAN Negeri Selangor melancarkan inisiatif Friends of River (FoR) bagi memupuk rasa kebertanggungjawaban dalam kalangan komuniti setempat terhadap kebersihan sungai.

Inisiatif itu juga dilancarkan sempena sambutan Hari Sungai Sedunia peringkat negeri itu, baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri Selangor, Izham Hashim berkata, kewujudan FoR di setiap sungai di negeri itu akan memberi tumpuan kepada aspek pemeliharaan dan pemuliharaan sungai oleh komuniti setempat.

Kata Izham, ia secara tidak langsung menjadi mata dan telinga pihak berkuasa dalam memantau sebarang aktiviti membabitkan sungai serta sumber air.

Katanya, ketika ini, sebanyak 30 FoR di beberapa lembangan sungai negeri itu mengambil bahagian dan secara rasminya menjadi sebahagian daripada FoR Negeri Selangor.

"Kami percaya jumlah itu akan disusuli dengan pertambahan lebih banyak FoR secara berperingkat.

"Sebagai permulaan, kit pemantauan air sungai akan diedarkan kepada semua FoR yang terbabit secara berperingkat.

"Kit itu bagi membolehkan komuniti memantau secara mudah kualiti air sungai di kawasan mereka," katanya ketika berucap merasmikan majlis sambutan Hari Sungai Sedunia peringkat Selangor di Subang Jaya.

IZHAM (tengah) merasmikan sambutan Hari Sungai Sedunia peringkat Negeri Selangor.
IZHAM (tengah) merasmikan sambutan Hari Sungai Sedunia peringkat Negeri Selangor.

Hadir sama, Pengarah Lembaga Urus Air Selangor, Datuk Ir Hashim Osman, Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Selangor, Datuk Ir Gafar Asan dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Noraini Roslan.

Mengulas lanjut, Izham berkata, kerajaan negeri melalui Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) turut memperuntukkan RM1 juta tahun depan bagi mengembangkan pelaksanaan FoR program pemeliharaan dan pemuliharaan sungai serta sumber air oleh komuniti.

Kata beliau, asas kepada inisiatif FoR adalah usaha komuniti itu sendiri dengan bantuan yang minimum daripada kerajaan.

Menurutnya, kelestarian adalah kunci kepada inisiatif itu dan ia tidak hanya sekadar bermusim atau program 'one-off' sebaliknya kerajaan negeri mengharapkan setiap FoR melaksanakan aktiviti pemeliharaan serta pemuliharaan sungai secara konsisten selain berterusan.

IZHAM dan Noraini menanam pokok sempena sambutan Hari Sungai Sedunia peringkat negeri Selangor, baru-baru ini.
IZHAM dan Noraini menanam pokok sempena sambutan Hari Sungai Sedunia peringkat negeri Selangor, baru-baru ini.

ANAK ikan dilepaskan ke dalam sungai ketika aktiviti gotong-royong FoR sempena Hari Sungai Sedunia.
ANAK ikan dilepaskan ke dalam sungai ketika aktiviti gotong-royong FoR sempena Hari Sungai Sedunia.

"Contohnya aktiviti gotong-royong membersihkan sungai secara berkala iaitu seminggu sekali atau dua kali sebulan.

"Menerusi elemen dan aspek inilah kerajaan negeri melalui LUAS akan menilai keperluan penyaluran peruntukan yang berkaitan untuk membantu komuniti-komuniti terbabit.

"Kami mengharapkan dengan adanya peruntukan itu dapat membantu mewujudkan lebih banyak FoR di setiap anak-anak sungai di Selangor pada masa akan datang," katanya.

Pada majlis sama, Izham bersama tetamu kehormat lain turut menanam pokok dan melepaskan benih ikan patin ke Sungai Klang.

Tetamu jemputan turut menyertai komuniti setempat membersihkan pinggir sungai.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 November 2020 @ 6:39 AM