KEMPEN Jimat Air dan Hargai Sumber Air Kita akan diteruskan dari semasa ke semasa.
KEMPEN Jimat Air dan Hargai Sumber Air Kita akan diteruskan dari semasa ke semasa.
Muhamaad Razis Ismail

SUNGAI antara khazanah yang perlu dipelihara kerana menjadi sumber bekalan air bersih kepada manusia, haiwan dan tumbuh-tumbuhan selain menjadi habitat semula jadi kepada pelbagai jenis hidupan air.

Biarpun mengetahui kepentingan sungai, namun sumber alam itu kini di ambang kemusnahan apabila berlaku pencemaran air termasuk pembuangan sisa toksik dan sampah sarap.

Menyedari perkara itu, seramai 45 orang terdiri daripada beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pelajar MSU College Kota Bharu menyertai Kempen Jimat Air dan Hargai Sumber Air Kita, baru-baru ini.

Program diadakan di sekitar Sungai Belemok, Kampung Air Deras, Pasir Hor, Kota Bharu membabitkan Pertubuhan Sahabat Alam Kelantan, Persatuan Wira Air dan Persatuan Busana Kelantan.

Lebih menarik, tujuh pelukis tempatan turut meluangkan masa melukis Sungai Belemok sebagai kenangan sepanjang program terbabit berjalan.

Setiausaha Sahabat Alam Kelantan, Muhd Hafiz Muhd Kasasi berkata, program itu dianjurkan pihaknya dengan kerjasama Persatuan Wira Air dan MSU College Kota Bharu.

Katanya, objektif utama program ini dilaksanakan adalah untuk memberi pendedahan kepada masyarakat kepentingan menjaga sumber air.

"Saya bersyukur biarpun dilaksanakan ketika Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ramai yang hadir memberikan kerjasama dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

"Setiap sukarelawan diwajibkan menanda kehadiran dan menjalani pemeriksaan suhu. Kita juga menyediakan pelitup muka dan cecair pembasmi kuman," katanya ketika diuhubungi baru-baru ini.

SEMANGAT sukaralewan dalam kalangan penuntut MSU College Kota Bharu.
SEMANGAT sukaralewan dalam kalangan penuntut MSU College Kota Bharu.

Menurutnya, program berjalan selama lima jam bermula seawal jam 8.30 pagi dengan mendengar taklimat berkenaan kempen yang dilaksanakan.

"Sepanjang program dijalankan, kita turut mengedarkan risalah kempen kepada komuniti setempat dan bergotong-royong membersihkan kawasan sekitar.

SUNGAI Belemok memiliki sejarah tersendiri.
SUNGAI Belemok memiliki sejarah tersendiri.

"Lebih menarik, taklimat pendek turut diberikan mengenai sejarah Sungai Belemok yang dikatakan laluan menghantar ufti ke Siam pada satu ketika dahulu oleh ahli sejarah tempatan.

"Selepas program tamat, peserta dihidangkan makanan tradisional oleh pemilik rumah Singgora, Mohamad Salleh yang terletak di tebing sungai terbabit," katanya.

PELUKIS turut meluangkan masa melukis di Sungai Belemok.
PELUKIS turut meluangkan masa melukis di Sungai Belemok.

Mengulas lanjut, dia berharap menerusi program ini masyarakat lebih cakna mengenai kebersihan sungai sebagai sumber air.

"Harapan kami untuk melihat masyarakat lebih proaktif mengenai kebersihan dan penjimatan penggunaan air.

"Pihak Sahabat Kelantan merancang untuk menganjurkan lebih banyak program seumpama ini dengan pembabitan lebih ramai pihak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Disember 2020 @ 6:20 AM