X
SEBANYAK 277 koperasi berdaftar dengan SKM hanya membuka keahlian kepada wanita.
SEBANYAK 277 koperasi berdaftar dengan SKM hanya membuka keahlian kepada wanita.

KEMENTERIAN Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Medac) komited membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) khususnya usahawan wanita yang terjejas ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Timbalan Menteri Medac, Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin berkata, sehingga kini jumlah usahawan PKS berdaftar di Malaysia adalah sebanyak 907,065 syarikat dan daripada jumlah itu, 186,855 atau 20.6 peratus adalah usahawan PKS wanita.

Katanya, Medac melalui Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) akan memberi geran bantuan kecemasan kepada koperasi wanita yang terjejas.

"Tidak dinafikan perniagaan koperasi wanita juga terjejas sepanjang PKP dan beberapa inisiatif dilaksanakan bagi membantu mereka.

"Setakat ini terdapat 14,688 koperasi berdaftar dengan SKM di mana 277 koperasi atau 1.9 peratus daripada jumlah berkenaan adalah koperasi yang hanya membuka keahlian kepada wanita.

"SKM juga menawarkan pembiayaan tanpa cagaran sehingga RM50,000 dengan tempoh bayaran balik selama lima tahun dan kadar keuntungan yang rendah (1.0 ke 2.0 peratus) mengikut baki berkurangan," katanya kepada Bisnes Metro.

Menurutnya, bagi membantu usahawan terjejas juga program peningkatan kapasiti disediakan melalui program padanan niaga dan mentoring dan coaching serta khidmat nasihat perundangan dan perniagaan tetap diteruskan.

Beliau berkata, terdapat program pembangunan kapasiti khusus untuk usahawan wanita melalui Institut Keusahawanan Negara (Insken) antaranya Insken BizLife-Wanita, Insken Women Entrepreneur Biz Coaching dan Insken Women Champion.

"Selain Insken, Tekun Nasional juga menawarkan pembiayaan melalui Program Prihatin Wanita Tekun Nasional, SKM (Program Pemantapan Koperasi Wanita), Bank Rakyat (Biz Cares Lady) dan UDA Holdings Berhad (UDA BizzNita-FinCare iaitu Pembiayaan mikro (UDA Malls).

"Malah, UDA turut menyediakan program perolehan keluaran usahawan wanita sebagai pembekal bagi hotel miliknya, UDA Ancasa," katanya.

Mas Ermieyati berkata, pihaknya berharap inisiatif yang dijalankan oleh agensi kerajaan ini dapat membantu usahawan dan koperasi wanita.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Mei 2020 @ 9:00 AM