KHAIRUL Najib menunjukkan produk roti canai sejuk beku yang dijual syarikatnya.
KHAIRUL Najib menunjukkan produk roti canai sejuk beku yang dijual syarikatnya.
Rosyahaida Abdullah


PENGELUAR produk makanan sejuk beku milik penuh Bumiputera, CR Khan Global Trading (CR Khan) menyasar meningkatkan pengeluaran roti canai sejuk bekunya sehingga lima kali ganda sekali gus menembusi pasaran luar negara menjelang lima tahun lagi.

Pengarah Pemasarannya, Khairul Najib Asrullah Khan berkata, berbekalkan mesin uli roti dengan kapasiti pemprosesan sebanyak 10 kilogram (kg) pada satu-satu masa ketika ini, sejumlah 600 keping roti canai sejuk beku mampu dihasilkannya setiap hari.

Katanya, jumlah itu sedang dipertingkat menerusi penambahan mesin sama dengan kapasiti 30kg dalam waktu terdekat bagi memenuhi permintaan pasaran khususnya dari beberapa negeri yang sedang menanti bekalan daripadanya.

"Memandangkan kami berpangkalan di Jempol (Negeri Sembilan), roti canai sejuk beku CR Khan tentunya sudah ada di kebanyakan kawasan di negeri ini serta baru saja memasuki pasaran Lembah Klang menerusi pelantikan ejen.

"Permintaan sudah diterima daripada ejen di beberapa negeri seperti Johor, Kedah dan Kelantan namun kami juga menghadapi kekangan dari segi pengangkutan menyebabkan ia tertangguh seketika.

"Perancangan kami apabila adanya mesin uli berkapasiti lebih besar itu nanti, pasaran produk roti canai sejuk beku kami dapat menembusi segenap pelusuk negeri di Malaysia selewat-lewatnya tiga tahun lagi.

"Seterusnya, fokus syarikat menjurus ke arah menembusi pasaran luar pula dengan membawa jenama roti canai sejuk beku yang berkualiti dan premium untuk pengguna," katanya.

Menurutnya, meskipun roti canai sejuk beku itu bertapak di pasaran Jempol sejak 2012, kemampuan pengeluaran semasa mengehadkannya untuk menempatkan produk itu di lebih banyak kawasan.

Oleh itu, katanya persediaan diatur bukan saja untuk mesin uli roti malah mesin pembuat doh dan mesin pembungkus juga sedang diusahakan untuk ditambah masing-masing satu unit lagi bagi memastikan pelan peluasan pasaran berjaya direalisasikan.

"Pertambahan semua mesin ini membolehkan kapasiti pengeluaran dipertingkat selain menjadi alternatif sekiranya mesin sedia ada mengalami masalah tertentu kerana penghasilan secara manual bukan lagi pilihan.

"Kami dalam proses mengeluarkan produk sejuk beku seperti murtabak mini, roti canai kismis dan roti canai berperisa bagi memberi lebih pilihan kepada pengguna," katanya.

Roti canai sejuk beku CR Khan dijual pada harga antara RM4.80 hingga RM6 di kedai terpilih serata Negeri Sembilan dan melalui ejen di Lembah Klang selain boleh dibeli menerusi laman Facebook dan Instagram rasmi CR Khan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Julai 2020 @ 7:15 AM