GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Sri Ayu Kartika Amri


BERMULA 1 September ini, Bank Negara Malaysia (BNM) dan Agensi Kaunseling Dan Pengurusan Kredit (AKPK) akan menawarkan penyelesaian khusus bagi membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS, termasuk mikro) untuk menguruskan hutang mereka dan menggalakkan amalan pengurusan kewangan yang berhemat.

Langkah ini dibuat berikutan perpindahan fungsi Skim Penyelesaian Pinjaman Kecil (SPPK) daripada BNM kepada AKPK.

Dengan perpindahan ini, AKPK akan menjadi platform sehenti untuk individu dan PKS mendapatkan perkhidmatan penstrukturan hutang, pendidikan dan khidmat nasihat kewangan.

AKPK dalam satu kenyataan berkata, pihaknya kini boleh memberikan perkhidmatan penstrukturan hutang dan khidmat nasihat yang lebih cekap dan holistik untuk PKS yang mempunyai pinjaman dengan beberapa bank.

"AKPK berada pada kedudukan yang baik untuk menjalankan fungsi ini memandangkan pengalaman dan kepakarannya yang luas dalam membantu individu yang mengalami masalah kewangan menguruskan kewangan mereka melalui Program Pengurusan Hutang yang tersusun.

"Ia juga memainkan peranan yang penting dalam memperkukuh kemampuan kewangan rakyat Malaysia melalui program pendidikan dan kaunseling kewangannya yang sesuai mengikut individu.

"Sejak ditubuhkan pada 2006, AKPK sudah memberikan perkhidmatan kaunseling kepada 1,096,448 individu, dengan sebanyak 342,815 peserta sudah memohon masuk ke Program Pengurusan Hutang (PPH).

"Daripada jumlah keseluruhan yang mendaftar dengan PPH, lebih daripada 28,000 peserta sudah menyelesaikan hutang mereka sepenuhnya, yang secara agregat berjumlah RM1.28 bilion," katanya.

Pada masa hadapan, PKS yang menghadapi masalah pembayaran balik pinjaman juga boleh menghubungi AKPK untuk mendapatkan khidmat nasihat dalam menyusun pelan pembayaran balik yang sesuai dengan bank mereka.

PKS juga akan mendapat akses yang mudah dan selesa ke SPPK melalui saluran dalam talian dan rangkaian 12 cawangan AKPK di seluruh Malaysia.

Dengan berakhirnya tempoh moratorium secara umum pada 30 September 2020, PKS yang masih menghadapi kesukaran untuk membayar obligasi pinjaman mereka diminta mendapatkan nasihat awal mengenai pembayaran balik daripada bank masing-masing.

SPPK di bawah AKPK adalah saluran tambahan bagi PKS mendapatkan bantuan dan nasihat mengenai penstrukturan dan penjadualan semula hutang, yang melengkapkan usaha industri perbankan dalam memberikan bantuan kepada PKS yang menghadapi masalah kewangan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Ogos 2020 @ 4:48 PM